Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan kematian tragis bayi berusia 7 bulan di pusat asuhan di ibu negara. Bahkan lebih malang doktor mengesahkan bayi tersebut meninggal dunia dua jam sebelum diambil bapanya dan hasil bedah siasat menunjukkan kematian bayi tersebut akibat tersedak susu. Kejadian menyayat hati ini berlaku ketika bayi ini masih lagi di bawah penjagaan pusat asuhan yang sepatutnya disedari oleh pengasuh yang bertanggungjawab menjaga bayi tersebut.
Kejadian ini bukanlah yang pertama terjadi bahkan kita sering dipaparkan dengan kematian tragis bayi, penderaan bayi dan kanak-kanak sama ada di pusat asuhan ataupun di rumah pengasuh mereka. Walaupun tiada data khas berhubung dengan kematian bayi dan kanak-kanak yang diletakkan di bawah penjagaan pengasuh ketika ibu bapa bekerja, namun hakikat bahawa kematian walau seorangpun anak-anak kecil ini amatlah mendukacitakan kita. Apatah lagi jika kejadian tersebut dapat dielakkan sekiranya ada pemantauan yang baik oleh penjaga yang diberi amanah menjaga anak-anak tersebut.
Hakikat peristiwa ini membawa kepada persoalan sama ada bayi dan anak-anak kecil tidak dipantau, kurang latihan penjagaan kanak-kanak dalam kalangan pengasuh ataupun bayi tersebut sememangnya mempunyai masalah kesihatan. Bagi ketiga-tiga sebab ini langkah pencegahan sebenarnya boleh mengurangkan risiko yang mengancam nyawa anak-anak kecil. Pemantauan bayi dan mempunyai pengasuh yang terlatih sememangnya isu lama yang telahpun diperdebatkan. Bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat telahpun menetapkan syarat kelulusan penubuhan pusat asuhan antara lain untuk mendapatkan pengasuh yang mempunyai sijil asuhan awal kanak-kanak. Terdapat juga pusat asuhan yang mengambil pendekatan enggan menerima kanak-kanak sakit (seperti demam) bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Walau bagaimanapun terdapat kekangan kepada syarat dan peraturan begini sungguhpun ia dilakukan sebagai langkah keselamatan. Sebagai contoh, kekurangan pengasuh terlatih menyebabkan ada pemilik pusat asuhan mengambil pekerja secara sebarangan disebabkan oleh jumlah kanak-kanak semakin lama semakin ramai. Kanak-kanak yang dihantar ke rumah pengasuh pula hanya bersandarkan kepada pengalaman sendiri pengasuh tanpa ada pengetahuan khusus seperti bantuan kecemasan dan seumpamanya. Keengganan pusat asuhan menerima kanak-kanak yang sakit seperti demam dan selsema yang ringan mencetus permasalahan kepada ibu bapa lantaran gejala kesihatan seperti ini sering dialami bayi dan kanak-kanak dan ibu bapa tidak dapat bercuti setiap kali anak mengalaminya disebabkan oleh limitasi cuti tahunan.
Kedua-dua situasi ini sebenarnya memberi satu perspektif bahawa permintaan kepada pusat asuhan berdaftar dan pengasuh terlatih adalah sangat kronik di dalam negara. Permintaan ini sebenarnya berkembang seiring dengan perkembangan kerjaya wanita di Malaysia. Suasana tradisional yang ideal sesebuah keluarga ialah apabila si ayah keluar bekerja manakala si ibu mengasuh anak-anak di rumah. Namun, perkembangan yang berlaku dalam persekitaran dunia hari ini menyebabkan wanita bekerja demi menambah pendapatan keluarga, membayar pinjaman pendidikan, memenuhi cita-cita dan kerana kepakaran dan kemahiran wanita tersebut diperlukan oleh masyarakat.
Kita telah lama mendengar cadangan agar majikan menyediakan pusat asuhan di tempat kerja bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka pada waktu kerja. Malah kerajaan juga menyediakan insentif dan memberikan pengecualian cukai kepada majikan sekiranya menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja. Malangnya saranan ini hanya diambil sambil lewa disebabkan oleh tidak ada penguatkuasaan, kurang pertimbangan kemanusiaan dan lebih mementingkan keuntungan.
Hakikatnya pertimbangan kemanusiaan adalah punca utama mengapa majikan enggan menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja. Ini termasuklah kerana zaman mempunyai anak-anak kecil mereka telah berlalu atau mempunyai isteri, saudara terdekat atau pembantu rumah yang boleh menjaga anak-anak mereka dengan baik. Selain itu, melihat kepada ketenangan emosi pekerja sebagai liabiliti dan kerugian kepada organisasi berbanding melihatnya sebagai insentif kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti menjadikan saranan penubuhan pusat asuhan di tempat kerja ini dipandang sepi.
Sedarkah kita bahawa penubuhan pusat asuhan di tempat kerja sebenarnya membenarkan ibu bapa untuk sama-sama memantau kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka. Sebagai contoh, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, ibu bapa boleh dihubungi dengan segera dan bertindak pantas memberi bantuan kecemasan ataupun menghantar anak ke hospital. Selain itu juga, keadaan ini boleh memupuk sifat bertanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak apabila mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tugas menjaga anak-anak kepada pengasuh apabila bekerja.
Tambahan lagi, penubuhan pusat asuhan di tempat kerja boleh memupuk amalan penyusuan susu ibu di kalangan wanita bekerja. Amalan ini membolehkan bayi mendapat khasiat susu yang terbaik bahkan memberi pelindungan dan manfaat emosi kepada ibu dan bayi walaupun ibu bekerja. Penyusuan esklusif selama enam bulan pertama dan diteruskan hingga dua tahun memberi kesan perkembangan fizikal dan mental yang baik kepada bayi bukan sahaja ketika kecil namun membentuk sahsiah diri anak tersebut untuk sepanjang hidupnya. Menyusukan anak bukanlah peranan si ibu semata-mata akan tetapi juga peranan masyarakat di sekitarnya termasuklah majikan. Bahkan di dalam Islam turut menunjukkan peranan bapa dan tidak meletakkan hanya ibu semata-mata sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud, “dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”
Di antara cadangan-cadangan yang boleh menambah baik permasalahan ini ialah dengan menguatkuasakan penubuhan pusat asuhan di organisasi yang berkemampuan setelah saranan sebelumnya tidak disahut. Selain itu, kerajaan diharap dapat mengeluarkan panduan ringkas penjagaan bayi dan anak-anak kecil beserta garis panduan apabila berlaku kemalangan dan langkah-langkah bantuan kecemasan agar dapat dimanfaatkan oleh pengasuh yang terdiri daripada suri rumah bagi meminimumkan kehilangan nyawa di kalangan bayi dan anak-anak kecil. Selain itu juga kerajaan disaran untuk mempertimbangkan cuti tanpa rekod kepada pekerja yang menjaga anak sakit yang disahkan oleh pegawai perubatan bagi menyelesaikan masalah limitasi cuti tahunan yang dihadapi mereka.
Sesungguhnya hubungan pekerja dan majikan adalah ibarat kuku dan isi yang tidak dapat dipisahkan. Bahkan majikan dan tempat kerja adalah rumah kedua bagi individu yang bekerjaya. Walaupun kita mendambakan produktiviti dan keuntungan yang maksimum diberi oleh setiap individu dalam organisasi, namun hakikat pekerja sebagai manusia dan mempunyai keluarga hendaklah sentiasa diambil kira. Dalam satu hadith diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya, “Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin kedukaan dunia dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dar satu kedukaan dari segala kedukaan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan atas orang yang susah nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam dunia dan di akhirat…”