Sehingga ke hari ini, sudah hampir setahun pandemik COVID19 melanda dunia dan melumpuhkan hampir semua aktiviti berkaitan kemanusiaan dan kehidupan. Dunia pula akan memasuki fasa tahun yang baharu, manakala vaksin Covid-19 pula telah ditemui dan negara bakal menerima bekalan vaksin tersebut menjelang tahun 2021. Sepanjang tahun 2020 itu, banyak perkara yang telah manusia pelajari berkaitan dengan pandemik tersebut. Bermula daripada karakter virus SARS-COV-2, langkah-langkah pencegahan penularan, sehinggalah bab berkaitan penemuan vaksinnya. Manusia juga telah mempelajari akibat daripada kesan jangkitan teramat serius pandemik tersebut iaitu kegawatan dan keruntuhan sistem ekonomi dan kehilangan pekerjaan, kesukaran sistem sosial dan kemasyarakatan, serta pelbagai aktiviti kehidupan yang lain, malah lebih menakutkan kerana jangkitan tersebut boleh meningkatkan risiko kematian bagi mereka yang tergolong ke dalam kategori kumpulan berisiko tinggi. Memang banyak lagi yang boleh dipelajari sebenarnya jika ditinjau dari sudut yang lebih murni dan positif.
Walau apa pun, semua peristiwa yang berlaku ini ialah satu ujian kepada seluruh umat manusia, dan kepada umat Islam, mereka dituntut untuk terus bermuhasabah diri dan bertaubat serta berdoa, berfikir dan terus berusaha mencari kaedah terbaik untuk menghadapinya, bagi membuktikan bahawa Islam itu terus berada di atas dan bukannya di bawah. Allah berfirman di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Pada peringkat permulaan wabak ini, kita telah mempelajari cara dan kaedah untuk menghalang penularannya. Kaedah ini sebenarnya amat dekat dengan diri dan tingkah laku setiap individu daripada kalangan kita, tetapi amat sukar untuk dilaksanakan melainkan jika ada dorongan dan daya motivasi yang tinggi serta memerlukan kerjasama teguh semua pihak. Bermula dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya melibatkan penjarakan sosial dan fizikal yang lebih cenderung menggunakan pendekatan psikososial dengan beberapa SOP yang tersendiri. Kaedah tersebut telah berjaya sepenuhnya menghalang jangkitan meluas virus itu.
Namun malangnya apabila keberkesanannya tidak dapat bertahan lama kerana kealpaan dan kerakusan sikap individu yang telah mengabaikan segala SOP yang telah ditetapkan itu. Akibatnya, negara telah memasuki fasa jangkitan gelombang kedua dan seterusnya sehinggalah ke hari ini, dan ketika artikel ini ditulis, jumlah kes keseluruhan jangkitan dalam negara terus meningkat kepada sebanyak 95, 327 kes, dan faktanya, jumlah ini telah mengatasi jumlah kes negara asal China yang memiliki kes jangkitan keseluruhan sebanyak 86,829 kes, dan Singapura dengan sebanyak 76, 800 kes. Ironinya, kes jangkitan yang berlaku di negara China dinyatakan sebagai terkawal memandangkan lebih-lebih lagi jumlah penduduk di negara berkenaan yang berjumlah 1.4 bilion orang berbanding Malaysia iaitu seramai 32 juta orang sahaja, iaitu 40 kali lebih rendah berbanding Negara China.
Malah, kes jangkitan harian di Malaysia ini akan terus meningkat kepada sehingga sebanyak 5000 kes sehari bermula 25 Februari 2021 depan sebagaimana yang diunjurkan oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME). Besar kemungkinan, kes terkumpul negara akan melepasi jumlah 100, 000 kes pada tahun 2021. Bagi meredakan gejala ini dari terus berjangkit, kita disarankan agar terus berada di rumah, atau bekerja dari rumah, dan tidak bercampur secara bebas dalam kesesakan komuniti dan orang awam lain. Memandangkan virus ini telah sedia ada di merata tempat yang dijangkiti, adalah lebih elok sekiranya kita tidak mencampuri kelompok masyarakat atau berurusan di tempat tersebut bagi mengelakkan jangkitan.
Selain daripada itu, kita juga belajar tentang etika norma baharu yang berlaku ketika ini sebagai satu tindakan balas yang proaktif. Norma baharu ini ialah prosedur dan tindakan yang tertentu yang perlu dilakukan bagi mengekang jangkitan virus tersebut daripada terus merebak seperti penjarakan sosial dan fizikal, memakai pelitup muka dan amalan kebersihan diri yang tinggi. Ia turut melibatkan keputusan seperti bekerja dari rumah dan penggunaan aktiviti dan kegiatan dalam talian secara sepenuhnya. Besar kemungkinan juga, ujian swab pantas bagi mengesan kehadiran virus ini pula akan berterusan menjadi satu amalan prosedur standard bagi setiap prosedur perubatan dan kesihatan selepas ini nanti.
Bekerja dari rumah pula akan terus menjadi pilihan yang standard untuk sepanjang tempoh ini dan tidak dilihat sebagai satu peluang bagi melemparkan tuduhan nakal seperti makan gaji buta dan sebagainya, kerana inilah norma baharu yang perlu diikuti, melainkan kaedah ini terus diperbaiki dengan lebih produktif lagi, kerana mekanisme bagaimana satu-satu pekerjaan itu dilaksanakan turut telah berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Malahan, sejumlah besar kes jangkitan pandemik ini pada ketika ini turut berpunca dari kluster tempat kerja yang tidak mengendahkan langsung prosedur norma baharu yang cuba diterapkan.
Amalan norma baharu yang perlu dilaksanakan pada ketika ini, besar kemungkinan, ia akan terus dilaksanakan buat selama-lamanya selepas ini, kerana virus tersebut telah pun berada bersama dengan kita dan akan terus berada bersama kita buat selamanya. Apa yang diharapkan daripada komuniti ialah perubahan sikap dan persepsi berkaitan dengan norma baharu ini, dengan menerima hakikat bahawa banyak perkara telah berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Inilah perubahan yang perlu dilakukan dan diterima dengan berlapang dada serta bersedia menerimanya dari segi mental dan emosi kerana sebaliknya ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal sendiri.
Di samping itu, aktiviti yang melibatkan kegiatan pembelajaran dan pekerjaan, mesyuarat, serta aktiviti pembelian dalam talian telah menjadi semakin penting ketika tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya. Kebergantungan terhadap kemudahan internet telah menjadi semakin tinggi. Namun, keadaan ini telah mendedahkan kepada kita bahawa masih terdapat isu jurang digital serta kemiskinan digital yang berlaku secara berleluasa di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar, terutamanya yang melibatkan keterhadan capaian kepada teknologi digital. Akhirnya, keadaan ini akan menggagalkan usaha negara untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan platform ekonomi digital serta sektor IR4.0. Sewajarnya platform yang berkaitan seperti ini telah ada tersedia bagi menghadapi saat-saat sukar seperti situasi ini agar kita tidak dilihat sebagai gagal bersedia menghadapinya.
Banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada pandemik yang telah berlaku ini, termasuklah kesesuaian diri kita untuk menerima suntikan vaksin Covid19 khususnya isu berkaitan dengan tahap keselamatan dan juga fatwa yang berkaitan dengannya. Walaupun vaksin berkaitan telah ditemui, masih belum masanya lagi untuk kita mengucapkan selamat jalan kepada Covid-19, dan langkah terbaik kita sekarang ialah untuk terus mengamalkan kebersihan diri, penjarakan sosial dan fizikal serta terus kekal duduk di rumah bagi mengelakkan jangkitan.