Sektor awam merupakan satu sektor yang telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan negara. Sejak sekian lama, sektor ini telah diikhtiraf sebagai satu sektor utama bagi menyokong perkembangan dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan. Oleh itu, sumbangan yang diberikan oleh sektor awam ini sama sekali tidak boleh dinafikan.
Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini telah wujud beberapa kelemahan dalam sektor awam. Pada masa kini, kelemahan paling ketara yang begitu mendapat perhatian hebat adalah dari segi penyampaian perkhidmatannya.
Penyampaian perkhidmatan sektor awam ini seringkali dikaitkan dengan ketidakcekapan, lambat, tidak mesra, berpiawaian rendah, lembap dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan keyakinan rakyat semakin luntur terutama apabila berurusan di bahagian hadapan sektor awam yang disebabkan sikap penjawat awam yang seakan sudah menjadi tabiat mereka dalam penyampaian perkhidmatan ini.
Apa yang dapat diperhatikan melalui beberapa komen, aduan atau kritikan yang diberikan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan sebenarnya boleh mengundang imej negatif terhadap perkhidmatan awam. Malah semasa berurusan dengan sektor awam rakyat bukan sahaja mahu perkhidmatan itu sampai kepada mereka dengan cepat tetapi perkhidmatan itu perlulah bermutu. Ini bermaksud perkhidmatan itu perlu merangkumi pelbagai ciri misalnya cepat, bertimbang rasa, mesra, baik, berbudi bahasa dan sebagainya.
Justeru, kita ingin melihat sejauh manakah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dapat memberikan satu lagi suntikan baru dalam sektor awam ini supaya lebih baik dan positif terutama semasa berurusan dengan rakyat sebagai pelanggannya.
GTP yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada April tahun lalu, sebenarnya dilihat dapat meningkatkan lagi keupayaan penyampaian perkhidmatan di kalangan penjawat awam melalui beberapa transformasi, perubahan atau pengubahan yang akan dilakukan.
Hakikatnya, GTP itu sendiri adalah bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan khususnya kepada kerajaan dan seterusnya kepada rakyat selari dengan dasar pentadbiran Perdana Menteri “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.”
Matlamat dan sasaran GTP ini juga perlu dilihat sebagai satu lagi transformasi kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan. Selain itu, GTP turut berperanan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat di samping dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu dan saksama dalam standard kehidupan yang tinggi.
Oleh itu, dalam merencanakan pelan tersebut, maka kerjasama erat antara semua pihak yang bermula daripada transformasi sikap penjawat awam atau individu yang terbabit perlu dimulakan terlebih dahulu. Transformasi ini juga merupakan satu lagi cabaran yang besar kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini.
Pun begitu, penjawat awam perlu faham bahawa dasar baru yang diperkenalkan ini bukan satu kerahan mahupun arahan tenaga semata-mata, bahkan penjawat awam perlu melihat GTP ini sebagai dasar yang dapat memotivasikan diri ke arah sikap yang lebih baik dan positif.
Sehubungan itu, sebagai penggerak kepada perubahan itu, maka perlulah dimulakan dalam diri penjawat awam yang terlibat terlebih dahulu barulah berkembang kepada unit-unit yang kecil dalam organisasi, masyarakat dan negara. Persoalannya, bagaimana GTP ini boleh berjaya jika sikap penjawat awam dan masyarakat juga masih ditakuk yang lama?
Dalam melaksanakan GTP ini, selain perubahan sikap penjawat awam, mereka juga perlu mengambil manfaat daripada pelan ini. Mereka perlu mengetahui di manakah kedudukan mereka dalam mencapai pelan tersebut.
Pengetahuan berkaitan dengan kedudukan dalam pelan ini adalah penting untuk memulakan gerak kerja bagi mencapai pelan berkenan supaya ia tidak terhenti di pertengahan jalan. Sehubungan itu, para penjawat awam tidak boleh mempunyai sikap tunggu dan lihat sahaja tanpa ada usaha ke arah menggerakkan pelan berkenaan.
Sebagai contoh penjawat awam harus peka dengan sistem teknologi semasa seperti mempunyai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain mengetahui prosedur-prosedur terbaru dalam amalan organisasi. Hal ini dianggap penting untuk melancarkan GTP ini.
Malah keadaan yang sama juga perlu dihayati bersama-sama rakyat kerana melalui GTP kita perlu mengambil berat bukan sahaja penjawat awam tetapi rakyat yang berpengetahuan tinggi mengikut keadaan semasa. Ini bermakna rakyat juga perlu mengetahui serba sedikit selok belok sebelum berurusan di jabatan yang berkaitan agar apa yang ingin disampaikan oleh penjawat awam mudah difahami. Sikap mengambil tahu ini adalah penting agar apa sahaja urusan dapat dilaksanakan bukan sahaja dengan baik malah berkesan dan sempurna.
Justeru, perubahan sikap semua pihak adalah amat penting bagi melancarkan lagi GTP ini. Jika mereka hanya berpeluk tubuh atau bersikap tunggu dan lihat sahaja tanpa sebarang perubahan ke arah kebaikan bagaimana mungkin perancangan demi perancangan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tanpa adanya transformasi dalam diri, maka agak sukar untuk melihat hasil positif kerana ia dilihat seakan-akan menolak kepada pembaharuan yang baik kepada diri, organisasi, masyarakat dan negara.
Justeru, adalah penting bagi kita untuk menunjukkan dan menyokong GTP ini dengan meletakkan gagasan ‘1Malaysia’ demi negara tercinta, dengan semangat bersatu padu mengubah sikap dalam mencapai dasar-dasar kerajaan kerana kita adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia.