Kebimbangan terhadap arah tuju sistem pendidikan negara kini semakin mendesak. Apabila Perdana Menteri sendiri menyebut bahawa sistem pendidikan negara kita “cacat,” ia bukanlah satu kenyataan retorik politik, tetapi satu teguran yang sangat bermakna — tanda bahawa sudah tiba masanya kita menilai semula apakah pendidikan kita benar-benar mendidik manusia, atau sekadar menghasilkan tenaga kerja untuk ekonomi.
Insiden buli, rogol, dan terbaharu kes pembunuhan melibatkan pelajar jelas memperlihatkan bahawa masalah pendidikan kita bukan sekadar kelemahan pengurusan sekolah, tetapi krisis keinsanan. Pelajar yang cemerlang akademik tetapi kosong nilai dan akhlak akhirnya menjadi mangsa sistem yang tidak membina jiwa. Di sinilah kita perlu jujur — sistem pendidikan kita tidak gagal dari segi penyampaian ilmu, tetapi gagal dalam membentuk manusia.
Krisis Makna dan Arah Pendidikan
Pendidikan seharusnya membina insan yang seimbang dari segi akal, jiwa dan moral. Namun sistem kita kini lebih menekankan pencapaian akademik, kemahiran, dan kebolehpasaran. Sekolah menjadi kilang yang melahirkan “pekerja berkelulusan” bukan insan beradab. Kita telah mengabaikan aspek rohani dan moral yang menjadi asas kepada pembangunan insan.
Maka tidak hairanlah apabila kita melihat pelajar yang hilang rasa hormat terhadap guru, rakan, malah diri sendiri. Nilai ta’dīb (pembentukan adab) semakin pudar. Mereka dibesarkan dalam suasana yang menilai kejayaan hanya dengan gred dan sijil, bukan dengan akhlak dan budi. Itulah sebabnya pendidikan kita perlu dirombak, bukan sekadar dari segi struktur, tetapi dari segi falsafah dan tujuan. Dalam menghadapi pelbagai insiden pelajar membawa senjata dan melakukan kekerasan di sekolah, timbul cadangan untuk memperketat kawalan keselamatan — menambah kamera litar tertutup (CCTV), malah mungkin selepas ini diusulkan pemasangan pengesan senjata seperti di lapangan terbang. Langkah ini mungkin boleh mencegah kejadian sementara, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang terhadap sistem pendidikan negara kita.
Kita tidak boleh menyelesaikan masalah keinsanan dengan teknologi. Menambah CCTV atau alat pengesan logam tidak akan memulihkan hati manusia yang kosong daripada iman dan takut kepada Tuhan. Pengawasan luar tidak akan berjaya jika pengawasan dalam — muraqabah, kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati — tidak wujud. Sistem pendidikan yang berjaya bukan yang mampu mengesan pelajar sebelum mereka berbuat jahat, tetapi yang mampu membentuk pelajar supaya tidak mahu berbuat jahat walaupun tiada siapa yang melihat. Inilah makna sebenar pendidikan akhlak — melahirkan insan yang berbuat baik kerana takut dan cinta kepada Allah, bukan kerana diawasi oleh kamera.
Akar masalah ini sebahagiannya berpunca daripada warisan pendidikan kolonial yang memisahkan antara agama dan ilmu. Sistem kita terpecah-pecah — sekolah kebangsaan, vernakular, swasta, agama, tahfiz, antarabangsa — sehingga kanak-kanak membesar dalam dunia sosial yang berbeza tanpa nilai bersama yang kukuh. Jika hal ini dibiarkan, ia bukan sekadar melahirkan pelajar tanpa adab, tetapi juga mewujudkan jurang sosial dan perkauman yang semakin dalam. Kita belum lagi menempuh perbalahan kaum besar akibat sistem pendidikan yang terpisah ini—dan kita berdoa moga dijauhkan—tetapi tanda-tanda awal sudah kelihatan apabila generasi muda yang tidak memahami atau menghargai kepelbagaian bangsa dan budaya kerana tidak pernah dididik bersama dalam semangat kebangsaan yang sejati.
Profesor DiRaja Ungku Aziz pernah menegaskan bahawa pendidikan mesti membebaskan manusia daripada kejahilan, bukan sekadar mempersiapkan mereka untuk mencari makan. Namun, tokoh pemikir Islam Profesor DiRaja Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas melangkah lebih jauh dengan menyatakan bahawa tujuan pendidikan Islam ialah melahirkan insan beradab (insān ādib). Beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar ta‘līm (pengajaran) atau tarbiyyah (penyuburan), tetapi ta’dīb — proses meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak. Dengan kata lain, adab bermaksud pengenalan dan pengakuan terhadap tempat yang betul bagi diri, ilmu, manusia dan Tuhan. Inilah inti falsafah pendidikan Islam yang hilang dalam sistem kita hari ini.
Pendidikan agama perlu kembali menjadi teras sistem, bukan pelengkap atau sekadar subjek moral. Ia bukan sekadar mengajar hukum dan ibadah, tetapi membentuk pandangan hidup berasaskan tauhid. Semua bidang ilmu — sains, teknologi, ekonomi, seni — harus diajar dalam kerangka tauhid agar pelajar memahami hubungan antara ilmu, nilai dan tanggungjawab moral. Pelajar yang dididik dengan kesedaran muraqabah akan tahu bahawa Allah melihat setiap perbuatannya, sama ada di rumah, di sekolah atau di media sosial. Mereka yang memahami ihsan akan melakukan kebaikan dengan penuh ikhlas, walaupun tanpa ganjaran duniawi. Maka, reformasi pendidikan mesti bermula dengan perubahan falsafah — daripada sistem yang berpusat kepada pasaran, kepada sistem yang berpusat kepada insan.
Guru pula tidak boleh dilihat hanya sebagai penyampai silibus. Mereka ialah muaddib, pembentuk adab, jiwa dan akhlak. Maka latihan perguruan perlu dirombak supaya para guru memahami tanggungjawab mereka sebagai pendidik yang membina manusia, bukan sekadar jurulatih akademik. Guru yang berjiwa muaddib akan mendidik dengan kasih, mendisiplinkan dengan hikmah, dan mengasuh dengan doa. Mereka bukan sekadar mengawal pelajar dengan undang-undang, tetapi membimbing dengan hati. Pendidikan yang berkesan bukan bergantung pada CCTV, tetapi pada hati yang beradab — baik hati guru mahupun hati pelajar. Sejarah membuktikan bahawa tamadun Islam dibina atas asas ilmu dan adab. Ketika pendidikan menjadi medan penyucian jiwa dan pencerahan akal, lahirlah insan-insan besar seperti al-Ghazālī, Ibn Sīnā, al-Rāzī, dan al-Fārābī. Mereka bukan sekadar cendekiawan, tetapi manusia berakhlak tinggi yang memahami erti hidup dan tanggungjawab terhadap Tuhan dan manusia. Sebaliknya, apabila pendidikan kehilangan ruh dan nilai, masyarakat menjadi rapuh walaupun maju teknologinya. Maka, reformasi pendidikan hari ini mesti berani mengembalikan ruh tersebut — pendidikan sebagai jalan menuju kebenaran dan keadilan, bukan sekadar jalan menuju pekerjaan. Kenyataan Perdana Menteri bahawa sistem pendidikan kita “cacat” harus membuka mata semua pihak — bahawa yang perlu dibetulkan bukan sekadar silibus atau prasarana, tetapi asas falsafahnya. Kita tidak akan mampu melahirkan pelajar yang berakhlak hanya dengan memasang lebih banyak kamera, menambah peraturan atau memperketat hukuman.

