Sejarah terlakar pada 24 Februari lalu apabila YAB Perdana Menteri menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-Biontech. Negara juga turut menyaksikan Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan fasa pertamanya bermula pada tarikh berkenaan sehingga April 2021. Pelaksanaan program imunisasi bertujuan membendung penularan pandemik dan memelihara kesejahteraan kehidupan rakyat. Impak buruk yang dibawa pandemik kepada dunia umumnya dan negara ini khususnya sejak lebih setahun lalu dapat disaksikan dengan ketara. Ia bukan sahaja melibatkan keselamatan nyawa tetapi juga segenap aspek kehidupan, termasuklah ekonomi dan pekerjaan, pendidikan serta kekeluargaan. Oleh yang demikian, program imunisasi sewajarnya diberikan sokongan kerana matlamat luhur yang disasarkan. Usaha ini malah bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur diperkatakan kini, “Tindakan pemerintah tertakluk pada maslahah atau kebaikan bagi rakyat”.
Kaedah ini berasal daripada kenyataan Imam Syafie yang menyebut, “Kedudukan pemerintah dengan rakyat sama seperti kedudukan penjaga dengan anak yatim”. Kata-kata beliau ini pula merupakan inspirasi daripada ungkapan Khalifah Umar r.a. yang menegaskan kedudukan beliau seumpama penjaga harta anak yatim dalam mentadbir harta Allah. Syeikh Muhammad al-Burnu dalam kitab Al-Wajiz fi al-Usul al-Fiqh mengatakan bahawa kaedah fiqh ini bermaksud pelaksanaan sesuatu dasar, peraturan atau kewajipan oleh pemerintah atas rakyat, sama ada mereka mahu atau enggan mematuhinya, tertakluk pada hasil dan manfaat. Hal berkenaan pula sama ada melibatkan perkara agama mahupun juga dunia.
Maslahah merupakan setiap perkara yang membawa kebaikan dan menolak keburukan kepada manusia untuk memelihara lima perkara utama, iaitu kesucian dan ketinggian agama, keselamatan diri dan nyawa, kecerdasan akal fikiran, kepentingan keturunan selain keselamatan harta benda. Langkah yang diambil kerajaan bagi membendung penularan dan mencegah jangkitan pandemik melalui program imunisasi malah berasaskan pengesahan dua badan berautoriti utama, iaitu perubatan dan keagamaan. Kedua-dua badan ini memikul amanah dan melaksanakan tugas yang bukan kecil. Keberkesanan peranan yang dilaksanakan misalnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarahnya sendiri terbukti melalui pengiktirafan diberikan sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Bagi badan kegamaan pula, iaitu Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Negeri, setiap pandangan atau hukum yang diputuskan melalui proses penelitian dalil seperti al-Quran, hadis, ijmak, qiyas serta pelbagai sumber lain termasuk kaedah fiqh. Di samping itu, pandangan hukum juga dihasilkan melalui perbincangan dengan pakar bidang (ahl al-khabir) yang turut menganggotai Jawatankuasa Muzakarah atau Jawatankuasa Fatwa Negeri. Keanggotaan jawatankuasa muzakarah atau fatwa yang menggabungkan mufti dengan ahli dilantik Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada ulama, golongan profesional serta pakar bidang menunjukkan bahawa pandangan hukum yang dihasilkan melalui proses perbincangan yang tekun dan menyeluruh.
Sudah pasti, pakar bidang kesihatan dan perubatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dirujuk dalam penentuan pandangan hukum berkenaan dengan vaksin Covid-19. Jika diteliti sehingga tahun 2015, terdapat sekitar tujuh keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan berhubung dengan vaksin. Daripada jumlah ini, hanya satu sahaja keputusan yang tidak membenarkan penggunaan vaksin, iaitu Biothrax dan Rotateq kerana sumbernya ialah haram. Terkini, pada 3 Disember 2020, resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 ialah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.
Menarik jika diimbau sejarah, Kerajaan Uthmaniyyah turut memberikan sumbangan besar dalam penggunaan imunisasi bagi mengawal penularan penyakit, iaitu cacar. Kaedah tersebut ialah variolasi atau lebih khusus, inokulasi bagi memberikan imunisasi terhadap pesakit. Vaksinisasi pula merupakan antara cabang inokulasi yang tercatat sebagai kaedah terawal bagi menghalang penyebaran penyakit cacar sebelum vaksin ditemui. Penggunaan kaedah variolasi oleh Kerajaan Uthmaniyyah diketahui dan disaksikan oleh Lady Mary Wortley Montague, isteri Duta British ke Istanbul ketika itu. Lady Mary juga dikatakan sebagai individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah inokulasi di England. Lady Mary yang memiliki pengalaman kehilangan saudara lelaki disebabkan penyakit tersebut dan beliau sendiri terselamat namun wajahnya berparut, merakamkan amalan variolasi di Turki dalam koleksi surat kepada sahabatnya di England. Surat itu kemudian diterbitkan dengan judul Turkish Embbasy Letters.
Sebelum kembali ke England, beliau meminta doktor Kedutaan British, Charles Maitland untuk melaksanakan kaedah inokulasi terhadap anak lelakinya. Pada tahun 1721, ketika penyakit cacar menyerang England, beliau sekali lagi meminta Maitland untuk melaksanakan kaedah yang sama terhadap anak perempuannya. Maitland kemudiannya menghasilkan penulisan bagi menjelaskan amalan inokulasi dan menenangkan pengritik atau penentang keras amalan tersebut. Presiden Kolej Perubatan Diraja selanjutnya memberikan pengesahan untuk pelaksanaan inokulasi, bermula dengan kanak-kanak dalam keluarga diraja Britain serta kelas atasan dan disusuli seluruh penduduk negara berkenaan. Terdapat catatan terperinci berhubung dengan sejarah dunia ini dan sesetengah pihak menggambarkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran kemudiannya oleh Republik Turki bermula 1923 sehingga kini. Jelas melalui catatan sejarah ini, kaedah pencegahan penyakit atau imunisasi menjadi tumpuan dan keprihatinan pemerintah Empayar Uthmaniyyah bagi melindungi rakyat mereka.
Sebagaimana dihadapi negara-negara lain pada setiap zaman dan ketika, negara kita juga tidak terkecuali. Pelaksanaan program imunisasi dan vaksinasi negara turut menerima penentangan. Meskipun kumpulan berkenaan hanyalah minoriti, namun berita dan teori konspirasi yang disebarkan menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Hujah pihak berautoriti agama bersandarkan dalil serta kaedah agama dan fakta tepat lagi meyakinkan berasaskan penyelidikan daripada pihak berautoriti perubatan tidak juga dapat diterima berbanding teori yang sukar dipastikan kebenarannya. Pendekatan terbaik yang dapat dilaksanakan pemerintah ialah beristiqamah dalam pendirian dan terus bertegas bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai melalui vaksinasi. Dengan demikianlah, rakyat keseluruhannya terlindung daripada penyebab jangkitan dan pemulihan segenap aspek kehidupan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, langkah positif kerajaan selayaknya diberikan sokongan padu. Segala persoalan sudah terjawab dan setiap keraguan telah terungkai melalui pelbagai wadah. Selain itu, sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, skim perlindungan yang diwujudkan akan memberikan pampasan sekiranya penerima vaksin menerima kesan sampingan serius. Bersyukurlah dengan peluang yang diberikan untuk melindungi diri daripada jangkitan dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Bandingkanlah situasi dengan saudara seagama kita di Gaza. Suntikan vaksin untuk penduduknya tidak selancar di negara ini kerana terpaksa menghadapi sekatan Israel pada awalnya dan tidak mustahil akan berulang kembali. Berterima kasih kepada negara sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Bersyukur kepada Allah membuka ruang untuk digandakan nikmat-Nya buat rakyat dan negara tercinta ini.