Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 telah pun diumumkan. Pencapaian pelajar kita keseluruhannya semakin baik. Seramai 559 daripada 468,808 calon SPM tahun 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada tahun 2010.
Pencapaian keseluruhan sekolah juga meningkat, apabila bilangan sekolah dalam kategori ‘cemerlang’ dan ‘baik’ masing-masing meningkat sebanyak 13 dan 60 buah sekolah. Sekolah-sekolah berkenaan diukur menggunakan Gred Purata Sekolah (GPS) dan dikategorikan sebagai “sangat baik”, “baik”, “memuaskan” dan “berpotensi”.
Ibu bapa dan sanak saudara sudah tentunya berbangga dengan pencapaian ahli keluarga mereka. Namun menuntut ilmu bukan setakat pendidikan secara formal di sekolah atau kolej. Sebagai umat Islam kita dianjurkan menuntut ilmu sepanjang hayat. Sesungguhnya agama Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu.
Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah SAW adalah “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu”(Surah al-‘Alaq:1). Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia.
Dari Anas r.a: Rasulullah SAW bersabda: “Tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke negeri China, kerana menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam. Dan sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana gembira (suka) dengan apa yang mereka tuntut”. (Riwayat al Bara).
Sesungguhnya orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu lebih tinggi makamnya (kedudukannya) di sisi Allah. Allah memberi pahala yang lebih kepada amalan orang yang berilmu berbanding mereka yang tidak berlimu.
Dalam Surah Az-Zumar: 9, “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi kepadanya : adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Di antara adab dalam menuntut ilmu adalah dengan niat yang ikhlas demi mencapai keredaan Allah dan berbakti kepada makhlukNya. Oleh itu menuntut ilmu bagi tujuan peribadi, bermegah-megah atau memiliki tujuan-tujuan duniawi bakal menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehancuran, kejahilan dan kerosakan.
Bagi para graduan, harus diingatkan bahawa segulung ijazah bukanlah tiket untuk mengejar pangkat, jawatan mahupun gaji besar apabila melangkah ke alam kerjaya. Apa yang lebih penting adalah sumbangan kita kepada agama dan negara.
Orang yang menuntut ilmu juga haruslah bersedia untuk berkorban tenaga, masa dan wang ringgit. Sememangnya proses menuntut ilmu itu memerlukan banyak pengorbanan. Namun segala pengorbanan dan usaha itu akan dibalas oleh Allah SWT. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”(Riwayat Muslim).
Proses menuntut ilmu juga merupakan suatu proses yang berterusan tanpa ada titik noktah. Minat mencari ilmu harus terus disemai dan dipupuk sehingga ke akhir hayat. Tiada istilah sudah habis belajar agama atau mengetahui segala-galanya. Kita tidak seharusnya berhenti selagi masih bernafas dan menyedut udara kurniaan Allah.
Ilmu yang dipelajari pula adalah untuk diamalkan. Ilmu tanpa amalan adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah-kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” (Surah al-Saff: 2-3).
Orang yang berilmu seharusnya menjadi lebih berakhlak, ikhlas dalam perbuatan, serta semakin takut dan taat kepada Tuhan. Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri.
Sebagai “ummah terbaik” maka kita harus mengambil peluang menambahkan ilmu pengetahuan dan memperkayakan minda. Amalan membaca mampu menyubur budaya ilmu seterusnya dapat membangunkan masyarakat ke arah matlamat yang ingin dituju.
Ilmu yang dimaksudkan pula bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut ilmu agama. Kedua-dua ilmu naqli (revealed knowledge) dan ilmu aqli (acquired knowledge) dapat membentuk dan mendidik generasi ummah agar menjadi insan yang mampu menghadapi cabaran zaman.