Tragedi menyayat hati membabitkan kehilangan nyawa bersilih ganti. Kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa, mencederakan tujuh yang lain, dan memusnahkan sebahagian premis sementara Pusat Tahfiz Darul Qur’an al-Ittifaqiah, 14 September 2017 lalu masih terbayang di ruangan mata. Sebelumnya, naluri keinsanan kita tercabar oleh keganasan yang diperbaharui atas etnik Muslim Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar sejak 25 Ogos 2017. Lebih 10,000 nyawa terkorban. Lebih 400,000 pula menjadi pelarian dan keselamatan nyawa mereka juga tidak terjamin.
Telah banyak yang diperkatakan tentang kedua-duanya dalam segenap wahana dan wacana. Demikian juga banyaknya pengajaran yang diperoleh , terutama tragedi kebakaran yang melibatkan pusat tahfiz berkenaan. Antara pengajaran terpenting ialah tanggungjawab besar mempertahankan kemuliaan nyawa. Al-Qur’an menegaskan bahawa sesiapa yang membunuh seseorang tanpa alasan yang benar atau melakukan kerosakan, ia seolah-olah membunuh seluruh manusia. Sebaliknya, bagi individu yang berusaha memelihara keselamatan hidup seseorang, ia dianggap seperti memelihara keselamatan nyawa semua manusia . Oleh sebab keselamatan nyawa begitu dipentingkan, maka syarak menetapkan hukuman berat bagi perbuatan mencederakan apatah lagi membunuh. Dalam kes pembunuhan secara sengaja, seandainya keluarga mangsa memberikan kemaafan dan hukuman qisas tidak dilaksanakan, keluarga tersebut berhak menerima diyat daripada keluarga (`aqilah) penjenayah. Diyat adalah sejumlah wang yang dibayar kepada mangsa atau warisnya disebabkan jenayah yang dilakukan terhadap diri atau nyawa. Kadar diyat (ganti rugi) ialah 100 ekor unta bagi mangsa lelaki dan 50 ekor unta bagi wanita. Jika emas atau perak digunakan, nilainya menyamai 1,000 dinar atau 12,000 dirham. Nilai dinar atau dirham ini seterusnya boleh ditentukan berasaskan nilai emas atau perak semasa. Ganti rugi ini amat bermakna terutama bagi keluarga yang kehilangan anggota yang menyara kehidupan mereka.
Oleh sebab kepentingan nyawa sedemikian besar, maka beratlah juga tanggungjawab mempertahankan kelangsungannya. Lantas pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara berkenaan perlu memberikan sepenuh komitmen bagi melaksanakan amanah yang dipikul. Dalam hubungan ini, persediaan terperinci perlulah dirangka bagi memastikan keselamatan nyawa sentiasa terjamin, terutama dalam situasi kritikal seperti perbuatan khianat atau kemalangan. Semuanya ini berkaitan persoalan urus tadbir yang bukan sahaja terhad pada institusi pendidikan agama tetapi juga institusi-institusi lain termasuk rawatan dan perubatan, iaitu hospital. Data daripada Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita Bernama (BLIS) misalnya menunjukkan tujuh kebakaran besar melibatkan hospital sejak tahun 1993. Ada antaranya yang mengakibatkan korban jiwa, sebagaimana yang berlaku tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Pengajaran seterusnya adalah berkaitan polemik salah-menyalahkan yang lazimnya timbul apabila sesuatu kemalangan besar berlaku, termasuk susulan tragedi pada 14 September lalu. Hakikatnya, perbuatan menyalahkan orang lain sememangnya jauh lebih mudah daripada mengambil pertanggungjawaban, mengakui kesilapan, dan bersedia melakukan penambahbaikan. Kita benar-benar berharap agar pandangan bernas pelbagai pihak diambil perhatian Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. Kesefahaman dan kerjasama padu antara agensi-agensi Persekutuan dengan Negeri begitu diperlukan demi penyelarasan dan pengurusan berkesan institusi pendidikan agama.
Pengajaran selanjutnya yang cukup mengesankan jiwa adalah pelaku dan motif pembakaran pusat tahfiz tersebut. Dalam tempoh dua hari selepas kejadian, negara sekali lagi digemparkan dengan penglibatan sekumpulan 7 orang remaja yang berusia antara 11 – 18 tahun yang keciciran sekolah dalam tragedi tragis itu. Lebih mengejutkan, enam daripada mereka didapati positif ganja dan dua orang memiliki rekod jenayah lampau. Apa pun juga bentuk tindak balas kita; terkejut, sedih, marah, atau kecewa, namun yang pasti, segala-galanya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa. Justeru, undang-undang sedia ada perlu dipatuhi sepenuhnya. Namun jelas penyebaran maklumat siasatan dan identiti, termasuk gambar suspek terus berlaku, sebagaimana sebelumnya, iaitu yang membabitkan gambar-gambar mangsa kebakaran.
Sama ada sedar atau tidak, perbuatan menyebarkan maklumat suspek jelas bertentangan Akta Kanak-Kanak 2001. Pelakunya boleh didakwa dan didenda. Akta Kanak-Kanak 2001 diluluskan untuk memelihara kepentingan kanak-kanak, termasuk yang melakukan jenayah atau salah laku, iaitu untuk menjalani proses pemulihan. Tragedi yang menyedihkan ini sekali lagi menyedarkan kita bahawa permasalahan akhlak remaja tidak ubah seperti bom jangka. Sebaik tiba masanya, letupannya bukan sahaja mengakibatkan kejutan tidak terkawal malah kemusnahannya di luar jangkauan fikiran. Demikianlah yang dikatakan orang cerdik pandai, betapa orang kecil, tidak seharusnya diperkecil kesan perbuatannya.
Penglibatan tujuh remaja berkenaan dalam tragedi kebakaran berkenaan turut menimbulkan persoalan tentang peranan keluarga. Sebagaimana dinayatakan dalam mukadimah Akta Kanak-Kanak 2001, keluarga berperanan menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran dan kebajikan, khususnya kanak-kanak. Ini membolehkan mereka membesar dalam suasana aman dan penuh kasih sayang yang seterusnya membina nilai diri mereka. Turut ditegaskan bahawa keluarga perlu diberikan bantuan bagi membolehkan tanggungjawab memelihara, memulihkan, dan membentuk perkembangan diri kanak-kanak dilaksanakan. Dengan mengambil kira ketidakupayaan sesetengah keluarga menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka, maka sewajarnyalah anggota masyarakat duduk semeja dan mencari penyelesaian bagi permasalahan yang berat ini. Pada masa yang sama, sokongan berterusan dalam segenap aspek, perlu diberikan kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat. Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Bantuan yang dihulurkan sekali gus menyempurnakan hak sebagai saudara seagama, “Orang Islam adalah saudara kepada Muslim yang lain, ia tidak boleh menzalimi atau menyerahkannya kepada orang yang zalim. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, nescaya Allah memenuhi hajatnya. Sesiapa yang membantu melepaskan satu bentuk kesulitan daripada seorang Muslim, Allah akan melepaskan salah satu kesulitan pada hari kiamat….” (Muttafaq `Alaih)
Tanggungjawab dan pertanggungjawaban bukan sebarangan isu atau persoalan. Pelaksanaannya memerlukan nilai amanah dan kecekapan yang tinggi. Tidak sedikit kemudaratan yang diakibatkan oleh kegagalan menunaikan tanggungjawab, khususnya yang berkaitan keselamatan nyawa. Malah, tidak kecil pula nilai yang perlu dibayar, bukan sahaja oleh pihak yang terbabit secara langsung tetapi juga oleh kita semua sebagai anggota masyarakat atau warga bagi negara ini.