SUASANA Hari Raya masih terasa. Lagu Hari Raya yang telah berkumandang di corong radio sejak 10 hari terakhir Ramadan, masih kedengaran. Begitu juga dengan peti televisyen yang masih mempertontonkan program Hari Raya, baik yang bercorak muzikal, mahupun drama dan filem.
Drama khusus yang membawa mesej Hari Raya masih dapat ditonton. Begitu juga dengan filem yang walaupun tidak ada kaitan dengan sambutan Hari Raya, ia tetap dipertontonkan. Malah, telah menjadi satu kemestian seolah-olah sebagai bonus dalam kita menyambut hari lebaran ini.
Walaupun ramai warga kota telah meninggalkan kampung untuk kembali ke kediaman masing-masing, ini tidak bererti sambutan Hari Raya telah berakhir. Sebaliknya, sambutan akan dimulakan di kediaman masing-masing dan akan berterusan hingga habisnya Syawal.
Jika permulaan Syawal disambut bersama kaum keluarga terdekat di kampung, kini ia disambut bersama jiran serta handai-taulan. Tidak cukup di rumah, hari raya disambut pula di tempat kerja.
Sekali lagi, untuk tahun ini, silaturahim dihidupkan dengan penuh sedar dan komited. Amat jarang sekali kita tidak hadir di rumah-rumah terbuka sempena Hari Raya yang dianjurkan oleh saudara-mara, jiran-tetangga, malah sesiapa sahaja yang kita kenali. Jemputan-jemputan ini telah dianggap sebagai satu kewajipan sebagaimana wajibnya kita memenuhi jemputan walimatul urus. Mungkin kerana kita sedar bahawa perubahan corak hidup yang kita alami kini, menyebabkan majlis seumpama ini menjadi antara beberapa kesempatan yang amat berharga untuk kita menghidupkan silaturahim.
Yang tidak kenal, saling berkenal-kenalan. Yang lama tidak bersua, saling bertanya khabar untuk mendapatkan perkembangan terkini kaum kerabat mahupun handai taulan dan kenalan.
Namun, bagi yang benar-benar mengerti fadilat Ramadan dan menghayatinya, pasti akan terasa kehilangan. Mereka kehilangan kenikmatan beribadat di bulan mulia itu. Walaupun, ibadat puasa boleh diteruskan dengan puasa sunat, khususnya puasa enam hari di bulan Syawal ini, ataupun di masa-masa lain, namun keseronokan bertarawikh tidak lagi dapat dinikmati sehinggalah Ramadan yang akan datang.
Begitu juga, walaupun amalan bertadarus masih boleh diteruskan, mungkin tidak ramai yang dapat mencari waktu senggang semudah mereka melakukannya ketika bulan Ramadan.
Mungkin kerana perginya Ramadan bersama janji Allah tentang ganjaran yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan biasa, maka masyarakat, umumnya tidak lagi tergerak atau terdorong untuk membanyakkan amal ibadat di bulan-bulan lain. Begitu juga, kerana janji Allah tentang ganjaran pahala yang berlipat kali ganda ini jugalah, maka ramai dari kita yang memohon doa agar dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang.
Ramadan akan dirindui bukan hanya kerana peluang-peluang beribadat serta ganjaran-ganjaran yang dijanjikan. Tetapi ia juga akan dirindui kerana perubahan yang berlaku kepada media hiburan. Jika lazimnya kulit depan majalah hiburan memaparkan gambar artis yang berpakaian menjolok mata dengan `pose’ yang mendebarkan, Ramadan memberikan kelainan. Bukan sahaja artis-artis ini tidak lagi dalam keadaan demikian, malah, kadangkala mereka, khususnya yang wanita, mengenakan tudung dan kelihatan begitu sopan sekali. Ternyata mereka ini tidak kurang cantik dan manisnya dalam keadaan itu.
Melihat kepada larisnya jualan majalah hiburan edisi Hari Raya, kita terfikir apa rasionalnya pendekatan mendedahkan aurat dan `pose’ yang menggoda sebagai alasan untuk melariskan jualan.
Begitu juga dengan program televisyen arus perdana. Di bulan Ramadanlah dapat kita tonton program agama dalam kuantiti yang lebih dari biasa. Bukan sahaja program agama, tetapi juga drama-drama yang membawa ajaran-ajaran serta nilai-nilai murni Islam. Kita maklum, drama-drama ini ramai penontonnya dan ia juga boleh menjadi platform terbaik dalam memberi kefahaman Islam dan menanam nilai-nilai mulia di kalangan penonton.
Malangnya, drama yang sebegini hanya ditayangkan di bulan Ramadan dan beberapa hari di bulan Syawal. Mungkin bukan salah penulis skrip atau penerbit drama. Untuk apa membuat skrip dan drama berunsur Islam jika stesen televisyen tidak mahu membelinya di luar musim perayaan?
Peneraju stesen televisyen sepatutnya mengubah minda dari berfikir bahawa drama dan program agama hanya layak ditayangkan ketika bulan Ramadan semata-mata.
Mendidik masyarakat adalah usaha yang berterusan bukannya bermusim. Oleh yang demikian, stereotaip bahawa drama agama hanya untuk bulan puasa dan Hari Raya semata-mata hendaklah dihapuskan sekiranya stesen televisyen benar-benar mahu membantu kerajaan mendidik seluruh ahli masyarakat.
Perubahan dalam media hiburan ini mungkin ada kaitannya dengan menghormati bulan Ramadan. Memang benar, Ramadan perlu dihormati. Namun, apakah bulan-bulan Islam yang lain tidak layak dihormati? Akibat tiada publisiti, majoriti orang Islam hanya tahu nama tiga bulan Islam sahaja – Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Malang bagi sembilan bulan yang lain, bukan sahaja urutannya tidak diketahui, malah nama-namanya pun, tidak dikenali. Bila namanya tidak dikenali, bagaimana ia ingin dihormati?
Walau apa pun, Ramadan tetap berlalu. Syawal yang sedang diraikan ini juga pasti akan pergi. Persoalannya, di manakah kita? Apakah terdapat perbezaan yang positif akibat latihan sepanjang Ramadan atau kita masih di takuk lama yang tidak terkesan oleh datang dan perginya bulan yang mulia itu?