Bulan Syawal ialah bulan yang memberikan kegembiraan buat seluruh umat Islam. Pada bulan berkenaan perayaan Aidilfitri disambut oleh umat Islam bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT setelah berjaya menempuh puasa selama sebulan. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur (Al-Baqarah, 2:185).“
Kegembiraan yang dibawa oleh bulan Syawal menjadikan ia suatu bulan yang dinanti-nantikan. Seluruh umat Islam tanpa mengira lapisan umur berasa tidak sabar-sabar untuk merayakan Aidilfitri. Pelbagai persiapan dilakukan bagi menyambut bulan ini. Persiapan dilakukan bagi menyambut kunjungan-kunjungan daripada sanak saudara, teman-teman dan jiran tetangga. Justeru, ada yang melakukan persiapan secara besar-besaran dengan menghias rumah, menyediakan pelbagai juadah dan mempersiapkan persalinan-persalinan istimewa khusus untuk menyambut aidilfitri.
Apabila menyentuh gaya yang sihat dalam sambutan Syawal, antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah berhubung pengambilan makanan sepanjang bulan yang mulia ini. Hal ini kerana bulan Syawal adalah terkenal sebagai bulan yang meriah dengan makanan. Perayaan bulan Syawal melalui majlis-majlis sambutan hari raya dan rumah-umah terbuka dilimpahi dengan juadah raya yang pelbagai. Pengambilan makanan sepanjang bulan ini secara berlebihan menjadi isu kesihatan yang serius.
Selain itu, kebanyakan juadah yang dihidang ketika musim Syawal seperti lemang, rendang, kambing golek, ketupat dan kuih-muih yang mempunyai jumlah kalori yang tinggi. Oleh yang demikian, pengambilan juadah seumpama ini tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan seperti menyumbang kepada penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti. Berlebih-lebihan dalam pengambilan makanan ketika musim perayaan bukanlah gaya yang sihat untuk menyambut Syawal.
Alangkah baik sekiranya sambutan Syawal dilakukan dengan gaya yang sihat sebagai usaha untuk mengekalkan tubuh badan yang sihat. Tambahan pula, cara pemakanan begitu ditekankan di dalam Islam. Hal ini boleh difahami melalui sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidaklah seorang anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sebenarnya beberapa suap sahaja sudah cukup untuk menegakkan tulang rusuknya. Jika terpaksa diia harus mengisinya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk bernafas (Sunan Ibn Majah, Hadis 3349).”
Selain panduan asas yang ditekankan di dalam Islam, terdapat juga beberapa panduan khusus pemakanan secara sihat ketika Syawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui penerbitan ringkas bertajuk “Makan Secara Sihat di Hari Raya. Antara yang ditekankan ialah: (1) makan juadah raya dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil, (2) mengutamakan makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan, (3) menghadkan pengambilan makanan yang berlemak dan berminyak seperti lemang dan rendang, (4) mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula seperti kek dan biskut raya, (5) mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek, dan (6) memilih untuk meminum air kosong berbanding minuman berperisa atau minuman berkabonat.
Selain daripada mengawal pemakanan melalui panduan-panduan khusus yang disarankan di atas, kita juga boleh memanfaatkan anjuran sunnah berpuasa sunat Syawal sebagai jalan untuk mengekalkan momentum ibadah puasa di samping mengekang nafsu makan. Anjuran ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari yang bermaksud, “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal,maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa (Sahih Muslim, Kitab Puasa, Hadis 1164).”
Selain aspek sambutan Syawal yang sihat secara individu, adalah penting juga bagi penyedia atau penganjur hidangan jamuan Aidilfitri dan rumah terbuka untuk beralih kepada meraikan tetamu-tetamu yang berziarah dengan gaya yang sihat.
Antara perkara yang boleh diusahakan penyedia hidangan Syawal ialah: (1) menyediakan makanan dalam saiz hidangan yang kecil, (2) menyediakan air kosong kepada para tetamu, (3) mengasingkan gula apabila menghidang minuman seperti teh dan kopi bagi memberi ruang kepada para tetamu menentukan kuantiti gula yang diingini di dalam minuman berkenaan, (4) memperbanyakkan hidangan berunsurkan sayur-sayuran dan buah-buahan ketika menghidangkan juadah utama, (5) menyediakan hidangan yang lebih sihat seperti sup berbanding hidangan yang berlemak, dan (6) mengurangkan hidangan juadah-juadah berunsur manisan atau yang tinggi dengan kandungan gula.
Bulan Ramadan telah menjadi fasa penyucian diri agar kembali kepada fitrah kejadian asal kita iaitu bersih daripada dosa. Secara fizikalnya pula, dengan kebaikan puasa kita juga turut kembali kepada keadaan asal kita iaitu dijadikan sihat dan sempurna tubuh badan oleh Allah SWT. Kita kembali kepada fitrah ini dengan latihan mengawal nafsu dan mendekatkan diri kepada pencipta.
Oleh yang demikian, kedatangan Syawal dan Aidilfitri tidak sepatutnya menjadi permulaan kepada kita untuk menghentikan perkara-perkara yang telah dipraktikkan pada bulan sebelumnya sehingga merosakkan fitrah yang dikurniakan tersebut. Bahkan, ia patut diteruskan sebagai tanda kejayaan kita memupuk nilai-nilai baik sepanjang Ramadan.
Nafsu kepada makanan pada bulan Syawal perlulah dikawal secara berterusan sebagaimana yang dilakukan pada bulan Ramadan dengan harapan kita sentiasa sihat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT sekali gus menjadikan Syawal diraikan dengan gaya yang sihat.