Rejab yang telah pun berada di penghujungnya mengobarkan semangat untuk menanti dan mendoakan agar diberi peluang bertemu dengan penghulu segala bulan, Ramadan. Kemuncak kelebihan bulan kesembilan dalam takwim Islam itu ialah penurunan al-Qur’an yang disebut oleh Allah S.W.T. sebagai nur yang menerangi segala-galanya dan petunjuk bagi golongan bertaqwa dan manusia umumnya. Kehidupan di dunia yang sarat dengan ujian sememangnya memerlukan petunjuk yang benar. Dengan demikian, al-Qur’an merupakan sebesar-besar kurniaan Allah yang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Apatah pula al-Qur’an sendiri mengungkap bahawa golongan yang memperoleh kejayaan hanyalah mereka yang kekal atau sentiasa memperoleh petunjuk daripada Tuhan mereka. (Surah Luqman 31 : ayat 5)
Kecintaan terhadap al-Qur’an terzahir dalam kehidupan umat Islam umumnya di segenap pelosok dunia. Penekanan diberikan terhadap pengajian al-Qur’an pada pelbagai peringkat; dari serendah-rendah sehinggalah setinggi-tingginya. Dengan yang demikian institusi dan pusat pengajian al-Qur’an, termasuk di universiti bercambah dengan pesatnya. Demikian juga dengan pelajar-pelajarnya yang akhirnya melahirkan sedemikian ramai huffaz dan tokoh-tokoh terbilang dalam ilmu-ilmu al-Qur’an. Di negara ini secara khususnya pula majlis tilawah al-Qur’an peringkat kebangsaan dan antarabangsa saban tahun diadakan. Justeru, muncul pembaca-pembaca al-Qur’an yang handal membaca dan melagukan bacaan dengan penuh tertib lagi indah. Perkembangan baik ini sewajarnya diberikan penghargaan. Namun hakikatnya, kita dituntut supaya mengorak langkah lebih jauh, iaitu menerokai rahsia dan memanfaatkan pengajaran penting yang terkandung di dalamnya. Hal ini penting dilakukan kerana al-Qur’an antaranya mengandungi petunjuk bagi memahami dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam kehidupan. Selain, itu, al-Qur’an juga mengandungi gagasan-gagasan penting untuk memperbaiki kelemahan atau kesilapan, mencapai kemajuan, dan membina peradaban. Gagasan atau prinsip ini begitu penting dihayati dan dilaksanakan umat Islam hari ini dengan mengambil kira pelbagai permasalahan, musibah serta ujian yang tidak berkesudahan menimpa mereka.
Nilai besar tidak terbanding yang ada pada al-Qur’an ini diingatkan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali r.h. Menurut beliau, al-Qur’an bukan semata-mata bunyi dan huruf. Kebesaran kitab suci itu Qur’an menjangkaui apa yang terzahir daripada bunyi dan huruf dan melangkaui alam saujana yang pelbagai serta langit yang berlapis-lapis. Al-Ghazali juga menegaskan bahawa seandainya pembaca al-Qur’an (al-muqri’), sekadar mengehadkan penerokaan akalnya terhadap pembetulan makhraj huruf maka perbuatannya itu secara tidak langsung merupakan penghinaan terhadap kebesaran al-Qur’an dan juga keupayaan akal yang merupakan nikmat terbesar Allah S.W.T. kepada manusia.
Pada asasnya, kefahaman terhadap isi kandungan al-Qur’an telah diterjemahkan dalam bentuk pelbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqh, dan tasawuf oleh `ulama’ terdahulu. Sebagai contoh, ayat-ayat berkaitan dengan akidah dihuraikan oleh ‘ulama’ dengan terperinci dalam kitab-kitab tulisan mereka dalam bidang tauhid dan usuluddin. Demikian pula, ayat-ayat berkaitan dengan ibadah dijelaskan dengan mendalam oleh `ulama’ fiqh dan usul al-fiqh dalam kitab-kitab mereka. Sementara ayat-ayat berkaitan dengan kerohanian dihuraikan oleh `ulama’ tasawuf. Dengan kata-kata lain, `ulama’ salaf dan khalaf telah pun membina jambatan yang baik dan utuh bagi kita untuk sampai kepada al-Qur’an. Justeru, amatlah tidak wajar bagi kita untuk meninggalkan tradisi yang telah diasaskan oleh `ulama’ berkenaan.
`Ulama’ atau ilmuwan dalam bidang-bidang ilmu yang lain seperti perubatan, sains serta teknologi juga turut melaksanakan perkara yang sama. Ayat-ayat al-Qur’an berhubung dengan alam ciptaan dan manusia misalnya diterokai serta diteliti bagi menghasilkan karya-karya penting. Turut dihasilkan ialah pelbagai bentuk peralatan bagi memudahkan peribadatan dan urusan kehidupan secara umumnya. Betapa ilmuwan-ilmuwan berkenaan telah membuktikan dinamiknya keimanan yang ada dalam diri sehingga mengupayakan mereka untuk mencapai kemajuan dan kegemilangan. Kegemilangan tersebut, iaitu dalam bentuk pembinaan peradaban tidaklah pula menjadi cita-cita mereka, namun ia dicapai hasil daripada keteguhan iman dan ketinggian akhlak mereka. Disebabkan asas yang teguh inilah maka peradaban atau tamadun Islam berbeza sama sekali dengan tamadun-tamadun dunia yang lain.
Sebagai contoh ialah al-Jazari yang menghasilkan Jam Gajahnya yang masyhur memperoleh dorongan daripada ayat al-Qur’an yang menyentuh tentang kepentingan masa (Surah al-`Asr 103 : 1-3). Masa diketahui umum amat berkaitan dengan ibadah yang dilaksanakan umat Islam seperti solat, puasa, haji, dan sebagainya. Al-Jazari meninggalkan karya agungnya, The Book of Knowledge of Indigenous Mechanical Devices sebagai warisan keilmuan untuk dunia, khususnya bidang kejuruteraan. Demikian juga dengan ilmuwan dalam bidang perubatan seperti Ibn Sina dan al-Zahrawi. Ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan sudah pasti mendorong mereka memberikan sumbangan besar dalam dunia perubatan dan penjagaan kesihatan. Ibn Sina yang menjadi rujukan dunia Islam dan barat, berjaya mewariskan karya besarnya, “Al-Qanun fi al-Tibb” (Canon of Medicine). Karya ini kekal menjadi rujukan utama dunia barat, misalnya oleh Universiti Brussel sehingga tahun 1909. Al-Zahrawi pula menghasilkan karya yang menghimpunkan sejumlah 200 ilustrasi peralatan pembedahan. Beliau mengilustrasi setiap peralatan dengan menggunakan lakaran lukisan tangan yang jelas selain menyatakan cara dan masa ia perlu digunakan. Jika diamati, peralatan pembedahan yang digunakan pada zaman moden kini tidak jauh berbeza daripada yang dihasilkan oleh al-Zahrawi.
Apa yang perlu dilaksanakan oleh kita pada hari ini ialah berusaha untuk mempelajari, membaca, dan memahami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’ sanjungan kita itu. Pada hakikatnya, usaha seumpama ini samalah kedudukannya dengan usaha mengkaji al-Qur’an. Bagi golongan yang berilmu, mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar, iaitu menggali tradisi yang dibina oleh ulama’ terdahulu dan menterjemahkannya dalam bentuk baharu-baharu. Hal ini misalnya dalam usaha mendepani cabaran pemikiran semasa yang menggugat akidah umat Islam seperti sekularisme dan liberalisme. Asas yang telah disediakan oleh ulama’ silam dalam kitab-kitab karangan mereka dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan dalam bentuk atau dimensi baharu, sesuai dengan keperluan dan cabaran masa kini.
Sekiranya usaha digiatkan untuk meneladani kegigihan generasi Islam terdahulu untuk menterjemahkan gagasan-gagasan penting al-Qur’an dalam kehidupan seharian, maka tidak mustahil kegemilangan yang pernah dicapai mereka akan dapat diulangi. Harus diingat bahawa jika sekalipun kita tidak dapat melaksanakan sepenuhnya usaha keras yang telah digembleng oleh generasi Islam terdahulu, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya. Hal ini bertepatan dengan kaedah dalam agama kita yang berbunyi, “Apa yang tidak mampu dilakukan sepenuhnya, janganlah ditinggalkan kesemuanya.”