Keruntuhan akhlak remaja yang berlaku dalam negara ini bukan satu masalah baharu. Masalah ini dilihat masih berterusan hingga kini. Secara umumnya keruntuhan akhlak merangkumi berbagai perlakuan negatif remaja yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
Kes pembuangan bayi, anak luar nikah, pecah rumah, kecurian tabung masjid/surau, kecurian kereta, merogol dan sumbang mahram adalah antara contoh keruntuhan akhlak yang masih berada pada tahap membimbangkan. Sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa umat Islam yang terlibat dalam sumbang mahram pada tahun 2009 sebanyak 385 kes dan meningkat kepada 413 pada tahun 2010. Mengikut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), anak luar nikah Melayu (Islam) atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009 sebanyak seramai 17,303 berbanding 16,541 pada 2008.
Namun, disebalik apa yang berlaku ini sudah tentu ada puncanya. Keruntuhan institusi kekeluargaan atau ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kasih sayang dan pendidikan agama, kemerosotan dari segi asuhan dan bimbingan dilihat sebagai salah satu puncanya.
Begitu juga alam rumah tangga yang tidak teratur seperti perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, dan berdamping antara satu sama lain malah ada yang jarang bersua muka serta suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Begitu juga dengan keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain untuk tujuan bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud, “Barang siapa daripada kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubah dengan tangannya (kuasa) maka jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya jika tidak mampu juga dengan hatinya. Dan yang demikianitu (merubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” Maka ibu bapa yang berada paling dekat dengan anak-anak ini patut mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata. Sekiranya mereka tidak menghiraukan keruntuhan akhlak yang berlaku ini ditakuti Allah akan menurunkan azab-Nya.
Bagi menjamin keberkesanannya, dalam hal ini ibu bapa merupakan anggota terpenting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Di sinilah tugas mereka dalam mencorakkan peribadi dan tingkah laku anak-anak sebagaimana firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” Malah tanggungjawab ini merupakan amanah daripada Allah yang wajib dilaksanakan. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Seharusnya mereka mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik.
Selain itu, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia dan amanah. Moga-moga dengan menangani institusi kekeluargaan ini dapatlah ibu bapa diangkat sebagai role model terbaik kepada anak remaja seterusnya mampu melahirkan generasi yang berketrampilan dan sahsiah yang unggul.