Sepanjang beberapa dekad kebelakangan ini, dunia menyaksikan peningkatan ketara usaha menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ. Apa yang dahulunya dianggap bertentangan dengan agama, budaya, dan fitrah manusia kini dipersembahkan sebagai sebahagian daripada “hak asasi”, “kebebasan individu”, dan “kepelbagaian” yang kononnya perlu diterima tanpa sebarang pertikaian. Perubahan ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan melalui strategi jangka panjang yang tersusun rapi.
Pendukung agenda LGBTQ memanfaatkan pelbagai saluran untuk membentuk persepsi awam dan mempengaruhi dasar negara. Antaranya termasuk aktivisme politik, kegiatan melobi pada peringkat antarabangsa, perarakan awam (LGBTQ pride), penggunaan media sosial dan media arus perdana, seni dan hiburan, serta penyelidikan akademik. Pendekatan menyeluruh ini bertujuan mengubah norma sosial secara beransur-ansur sehingga perkara yang dahulunya ditolak akhirnya dianggap biasa dan wajar diterima.
Dalam menghadapi realiti ini, pendekatan paling berkesan bagi sesebuah negara ialah menzahirkan ketegasan prinsip yang jelas, konsisten dan berpaksikan asas perundangan serta nilai masyarakat. Ketegasan ini tidak boleh bersifat reaktif atau bermusim, tetapi perlu diterjemahkan melalui dasar awam yang menyeluruh merangkumi pendidikan, perundangan, kebudayaan, serta seni dan hiburan.
Dalam bidang pendidikan, penekanan perlu diberikan kepada kefahaman yang jelas tentang perbezaan jantina dan peranan semula jadi lelaki serta wanita dalam pembentukan institusi keluarga. Pendidikan yang bersifat neutral nilai dalam isu yang menyentuh fitrah manusia berisiko melahirkan kekeliruan identiti dalam kalangan generasi muda. Sekolah bukan sekadar tempat menyampaikan maklumat, namun sebaliknya institusi pembentukan insan serta nilai akhlak yang luhur. Apabila asas ini diabaikan, masyarakat akan menanggung kesannya dalam tempoh jangka panjang.
Dari sudut perundangan, Malaysia mempunyai kerangka yang jelas untuk mempertahankan nilai agama dan struktur sosialnya. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, sekali gus memberikan legitimasi perlembagaan kepada nilai moral dan hukum Islam dalam pembentukan dasar negara. Isu LGBTQ sering kali cuba dibingkaikan di bawah Perkara 8 (kesamarataan) dan Perkara 5 (kebebasan diri). Namun, tafsiran perlembagaan tidak boleh dilakukan secara terpisah dan mutlak. Prinsip kesamarataan dalam Perkara 8 tidak pernah dimaksudkan untuk menghapuskan perbezaan yang berasaskan fitrah, agama, dan kepentingan awam. Begitu juga kebebasan diri dalam Perkara 5 yang sentiasa tertakluk pada undang-undang dan kepentingan moral masyarakat di samping perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 3(1). Oleh itu, undang-undang sivil dan syariah sedia ada yang tidak mengiktiraf hubungan homoseksual bukanlah suatu bentuk diskriminasi, sebaliknya merupakan manifestasi kuasa sah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam melindungi institusi kekeluargaan dan kesejahteraan sosial.
Meskipun mempunyai asas perlembagaan yang kukuh, Malaysia sentiasa berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, khususnya melalui mekanisme hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) yang berlangsung setiap empat hingga lima tahun menjadi platform utama negara-negara barat untuk mengemukakan syor agar Malaysia memansuhkan undang-undang berkaitan dengan homoseksualiti. Statistik menunjukkan peningkatan konsisten syor sedemikian, iaitu dua syor pada 2009, lapan pada 2013, sembilan pada 2018, dan meningkat kepada 18 syor pada Januari 2024. Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan untuk menekan Malaysia agar menerima nilai yang bertentangan dengan agama, budaya dan Perlembagaan Persekutuan. Namun, pendirian Malaysia untuk sekadar “mengambil perhatian” tanpa menerima syor tersebut adalah satu bentuk ketegasan berperlembagaan yang wajar dipertahankan. Ia menegaskan prinsip kedaulatan negara dalam menentukan hala tuju moral dan sosialnya sendiri.
Dalam konteks perbandingan, Rusia sering dijadikan contoh negara yang menzahirkan ketegasan dalam isu ini. Rusia mengharamkan propaganda homoseksual, khususnya yang menyasarkan kanak-kanak, atas dasar melindungi perkembangan psikologi dan moral generasi muda. Selain itu, Rusia melarang pengambilan kanak-kanak Rusia sebagai anak angkat oleh pasangan dari negara-negara yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Undang-undang yang ditandatangani oleh Presiden Vladimir Putin pada Julai 2013 bertujuan memastikan kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang dianggap stabil dan selari dengan nilai masyarakat setempat. Meskipun sering dikritik oleh Barat, Rusia kekal berpegang kepada prinsip kedaulatan dan kepentingan nasionalnya.
Ketegasan menolak normalisasi LGBTQ juga pada hakikatnya selari dengan prinsip maqāṣid al-syari‘ah, khususnya pemeliharaan agama (ḥifẓ al-dīn), keturunan (ḥifẓ al-nasl), dan akal (ḥifẓ al-‘aql). Normalisasi hubungan sejenis bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama, tetapi juga mengancam struktur keluarga dan kelangsungan generasi. Islam tidak sekadar menilai perbuatan secara individu, tetapi mengambil kira kesan sosial jangka panjang. Oleh yang demikian, larangan dan ketegasan dalam isu ini bertujuan mencegah kerosakan (mafsadah) yang lebih besar terhadap masyarakat.
Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan tidak pernah mudah. Ia menuntut keteguhan prinsip, kesabaran dan kebijaksanaan dalam menghadapi tekanan dalaman dan luaran. Namun, umat Islam diyakinkan bahawa kebenaran akhirnya akan tetap ditegakkan. Allah SWT berfirman (maksudnya), “Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” (Surah al-Anfal (8):8). Dalam ayat lain, Allah SWT menjanjikan pertolongan kepada mereka yang mempertahankan agama-Nya:
“Wahai orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu.” (Surah Muhammad (47): 7).
Ketegasan mempertahankan prinsip agama, perlembagaan dan nilai moral bukan sekadar pilihan politik, tetapi satu amanah demi keteguhan prinsip agama dan kesejahteraan masyarakat serta negara.

