Masyarakat Malaysia seringkali berhadapan dan sedang melalui beberapa rangkaian wabak penyakit yang cukup membimbangkan. Selain daripada demam denggi, influenza dan Japanese encephalitis (JE), wabak terbaharu yang melibatkan ancaman nyawa kepada manusia ialah penyakit anjing gila (rabies) dan penyakit bawaan kencing tikus (leptospirosis). Penularan wabak penyakit tersebut amat menggusarkan masyarakat setempat. Disebabkan penyebarannya yang begitu cepat dan mudah, maka langkah pencegahan dan pengawalan perlulah dilaksanakan secara holistik dari semasa ke semasa dan perlu bersifat proaktif agar masalah ini dapat ditangani dengan baik.
Persatuan Sedunia untuk Kesihatan Haiwan (World Association for Animal Health) pada tahun 2012 telah mengiktirafkan Malaysia sebagai bebas Rabies apabila kes terakhir pada tahun 1999 hanya melibatkan anjing berlaku, sehinggalah kejadian wabak Rabies di kalangan anjing pada tahun 2015. Mutakhir ini, beberapa tempat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia pula telah diisytiharkan kawasan wabak rabies dan telahpun membabitkan kematian manusia.
Demam denggi pula bukanlah satu isu baharu di Malaysia. Malah, kesnya semakin meningkat dan tidak pernah ada titik penamatnya. Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 20 Ogos 2017, sebanyak 63,246 kes sepanjang tahun 2017 telah dicatat. Paling menggerunkan, terdapat juga kes yang membabitkan kematian iaitu sebanyak 141 kes dicatat sehingga 12 Ogos 2017. Mungkin disebabkan demam denggi bukanlah suatu penyakit baharu malah sering didengari berlaku, maka masyarakat mengambil mudah dengan segala jenis bentuk pencegahan yang disarankan.
Penyakit leptospirosis pula dikaitkan dengan persekitaran yang kotor, penempatan yang sesak dan padat, juga kekerapan Malaysia dilanda banjir kilat disebabkan sistem perparitan yang kurang memuaskan. Malah penularan wabak tersebut lebih serius apabila berlakunya bencana banjir. Begitu juga dengan penyakit-penyakit wabak lain yang kebanyakannya berpunca daripada haiwan yang menjadi vektor dan akhirnya boleh menjangkiti manusia dengan menunjukkan simptom-simptom penyakit seterusnya boleh meragut nyawa. Walau bagaimanapun, serangan wabak ini masih boleh dikawal dengan langkah pencegahan dan pengawalan berkesan untuk membendung jangkitan penyakit tersebut. Sekiranya langkah tersebut dilaksanakan secara menyeluruh dan melibatkan segenap lapisan masyarakat, maka pengurangan kes seterusnya pembasmian penyakit akan dapat dicapai.
Untuk tujuan tersebut, masyarakat perlu dididik. Masyarakat perlu ada kesedaran bersama walau apapun jenis wabak yang melanda. Kesedaran masyarakat terhadap wabak yang boleh merebak dengan cepat tersebut menjadi tunjang utama dalam langkah pencegahan dan pengawalan. Bukan sekadar melihat ia sebagai wabak penyakit, tetapi harus dipandang sebagai satu tanggungjawab dan amanah untuk menjaga persekitaran, ahli keluarga dan masyarakat supaya bebas daripada sebarang jangkitan merbahaya. Perkara ini perlu disemai dalam setiap diri masyarakat dan tidak mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Kejadian wabak penyakit dalam masyarakat kita perlu diambil sebagai pengajaran bersama dan tidak saling menuding jari. Seringkali masyarakat bersikap tidak mempedulikan apabila berlaku sesuatu wabak, dan saling menyalahkan. Selagi mana, ahli keluarga tidak dijangkiti penyakit, maka mereka memandang mudah malah merasakan bukan tanggungjawab mereka untuk mengambil langkah pencegahan dan pengawalan. Sikap sebegini perlu dikikis dalam diri masing-masing malah sewajarnya berusaha membina satu kerjasama antara komuniti setempat dalam membanterasnya.
Apabila terdapat jangkitan wabak terhadap diri atau keluarga, seseorang perlu mempunyai pengetahuan untuk bertindak sewajarnya. Reaktif terhadap apa yang berlaku dan tidak panik menjadi kunci agar sesuatu wabak itu tidak mudah merebak dan mengelakkan keseriusannya dengan mendapatkan rawatan segera. Selain daripada kesedaran masyarakat, ilmu pengetahuan juga amat penting dalam menangani penularan ketika berlakunya wabak. Dua kompenen ini perlu digabungjalinkan dalam merencanakan langkah pengawalan dan pencegahan yang melibatkan program mobilisasi sosial.
Setiap individu perlu tahu dan peka terhadap perkembangan serta ketersediaan vaksin terbaharu daripada pihak berkuasa kesihatan terutamanya apabila melibatkan penyakit cegahan vaksin. Kerajaan juga banyak mengadakan kempen-kempen pencegahan wabak dan turun ke padang dalam melaksanakan program pencegahan dan pengawalan. Ini merupakan peluang untuk masyarakat mengambil tahu dan mengikuti nasihat yang disarankan oleh pihak berkuasa.
Jika kita kembali kepada ajaran Islam, kebersihan amat dititikberatkan. Ia merupakan salah satu langkah pencegahan dan perlu bermula daripada diri sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda; “Bersihkanlah halaman rumah kalian, jangan samakan diri kalian dengan bangsa Yahudi”. Menjaga kebersihan persekitaran menjadi perkara penting selain daripada menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Untuk hidup sihat, tempat kediaman dan persekitaran juga perlu sihat dan bersih. Rumah kediaman perlu bebas daripada tempat takungan air, pembuangan sampah sarap yang tidak terurus, bau busuk dan udara yang kotor. Ini kerana, faktor-faktor ini akan menggalakkan pembiakan lebih banyak haiwan yang dijangkiti virus dan bakteria seterusnya akan menjangkiti manusia.
Dalam Islam, pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping mengamalkan gaya hidup secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Manakala bidang kesihatan moden yang berasaskan kaedah penyelidikan dan pembuktian saintifik turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu wabak penyakit. Dan ia menjadi asas dalam disiplin kesihatan awam.
Dalam sebuah hadis lain, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: ”Apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu, demikian juga jika berjangkit di negeri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.” Dalam konteks perubatan pencegahan dan rawatan pada hari ini, kuarantin dikenakan ke atas pesakit yang terkena jangkitan yang mudah berjangkit. Kekhuatiran ini disebabkan berkemungkinan kita sebagai pembawa yang terlibat menjangkitkan pula penyakit berkenaan kepada orang lain. Dan dilarang untuk seseorang melawat kawasan yang terkena wabak supaya tidak menjangkiti diri. Bentuk pencegahan ini juga dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang mewartakan larangan ke negara-negara yang dilanda wabak ataupun mengambil langkah pencegahan awal dengan mengenakan suntikan vaksin sebelum melawat ke luar negara atau kembali dari negara tertentu.
Islam menegah umatnya daripada terlibat dengan sebarang perkara yang menjerumuskan kepada kemudaratan, kesengsaraan dan kerosakan. Maka, dalam konteks menangani pelbagai wabak yang kian menular dalam masyarakat kita, langkah pencegahan dan pengawalan perlu bermula daripada diri sendiri, keluarga seterusnya komuniti setempat. Selain kesedaran yang wujud, ilmu dan maklumat yang tepat dapat menjamin keberkesanan langkah pencegahan dan rawatan penyakit. Komitmen padu antara masyarakat, pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO dalam melaksanakan program serta usaha pencegahan menjadi benteng kepada penularan wabak tersebut.