Pembentangan Bajet 2012 pada hari ini sememangnya dinantikan rakyat Malaysia seluruhnya terutama bagi mereka yang mengikuti perkembangan dan usul-usul yang dicadangkan oleh banyak pihak dengan harapan akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Aspek pertumbuhan ekonomi sememangnya diberi perhatian dalam setiap pembentangan bajet negara. Namun begitu kita mengharapkan sesuatu yang lebih jauh mengenai pembangunan masyarakat sementelah kerajaan telah mengumumkan pada Julai lalu bahawa Kos Sara Hidup akan dijadikan petunjuk yang ketujuh dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Lazimnya, kita terarah untuk melihat kos sara hidup ini dalam lingkungan mereka yang berpendapatan rendah dan mengaitkan dengan corak perbelanjaan yang diperlukan mereka bagi memenuhi keperluan asasi semasa. Sedangkan perihal kos sara hidup bukanlah satu-satunya perkara mengenai peningkatan gaji dan upah kepada sektor atau jawatan tertentu, begitu juga penetapan mengenai gaji minimum dalam sesebuah sektor. Indikator kos sara hidup sebenarnya turut menceritakan kepada kita perihal keadaan pembangunan masyarakat setempat yang hidup dalam lingkungan sesuatu kos yang terpaksa digunakan dan pilihan-pilihan yang mereka ada pada setiap tempoh tertentu demi kelangsungan hidup.
Masyarakat Malaysia yang bekerja pada hari ini adalah terdiri daripada kira-kira 80% mereka yang mendapat pendidikan sehingga SPM sahaja ataupun dengan andaian yang lain ialah mereka menggunakan sijil ini bagi mendapatkan pekerjaan. Dengan keadaan demikian, maka kita menjangkakan ramai golongan ini adalah terdiri daripada mereka yang menerima gaji dan upah yang rendah pada peringkat permulaan. Maka tidak hairanlah 40% isi rumah termiskin hanya memperoleh hampir satu per tujuh daripada kumpulan 20% isi rumah terkaya yang mencecah RM 9,987 sebulan pada tahun 2009.
Daripada situasi di atas, kita dapat menyimpulkan ramai rakyat Melaysia telah memilih untuk melibatkan diri dalam pekerjaan pada usia yang lebih muda dan dengan tahap pendidikan yang minimum atas sebab-sebab tertentu. Penghijrahan ke kota-kota besar menjadi tarikan selepas persekolahan manakala pendidikan tinggi tidak menjadi keutamaan. Walaupun terdapat banyak dasar kerajaan yang membantu terutama sekali kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan hingga pada tahap minimum (SPM), hakikat ini nampaknya tidak lagi sesuai untuk diteruskan memandangkan negara sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 di mana kita harus menyeimbangkan upah dengan tahap pendidikan dan kemahiran yang dimiliki rakyat. Maka penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi harus ditambah dan diberi perhatian dalam dasar-dasar pendidikan kerajaan yang sedia ada sebagai usaha meningkatkan pendapatan dan kemahiran rakyat dengan cara yang lebih berkesan.
Matlamat pendidikan, kemahiran juga bantuan pendidikan yang disediakan perlu disampaikan kepada ibu bapa terutama sekali mereka yang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan yang rendah untuk tidak menggalakkan anak-anak meninggalkan pelajaran pada peringkat selesai peperiksaan utama. Jika perkara ini tidak dilakukan, kita akan melihat kitaran rakyat Malaysia yang bekerja menggunakan SPM ini akan berlanjutan selama bertahun-tahun yang akan datang dengan upah yang rendah.
Usia yang muda bersama-sama upah dan kemahiran yang rendah tidak menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang sihat. Pembelian hanya dapat dilakukan kepada jenis-jenis barangan tertentu dan tidak meluas. Begitu juga dengan aspek pelaburan dan simpanan hanya dapat dilakukan dengan terhad dan kadang-kala tiada langsung mahupun negatif. Terdorong dengan aliran semasa, generasi muda akan mengunakan kemudahan-kemudahan tertentu seperti pembelian secara kredit bagi memenuhi keperluan mereka dan bukan lagi hanya keinginan dan kehendak seperti yang sering perkatakan. Maka lahirlah semakin ramai ‘jutawan hutang’ dalam era menuju wawasan 2020 kelak.
Masalah ini seterusnya membawa kepada kesukaran kepada pihak pemerintah untuk memperkenalkan perubahan dalam aspek pentadbiran ekonomi negara kerana secara tidak langsung akan memberi kesan yang besar kepada golongan yang menerima pendapatan rendah ini. Rakyat yang terkesan sudah pasti akan menuntut agar tiada beban dikenakan terhadap mereka lantaran kos sara hidup semakin meningkat dengan gaji dan upah yang diterima masih lagi rendah, akhirnya membawa kepada cadangan penetapan gaji minimum.
Walaupun disambut baik oleh ramai pihak, penetapan gaji minimum tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya cara bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup. Sebaliknya, kita memerlukan pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pendidikan pekerja dan kesediaan majikan untuk memberi upah setimpal dengan kemahiran pekerja yang semakin bertambah itu dan tidak lagi mencari jalan lain seperti menggunakan buruh asing bagi mendapatkan kos yang paling murah.
Penetapan gaji minimum dengan disertai tahap pendidikan dan kemahiran yang tidak setara dikhuatiri memberi kesan buruk kepada ekonomi negara begitu juga kepada golongan yang berpendapatan sederhana yang selama ini tersepit dicelah mereka yang begitu tinggi upah dan gajinya dengan golongan berpendapatan rendah yang menerima upah yang hampir dengan mereka. Bezanya, golongan sederhana ini memiliki sedikit kelebihan dari sudut taraf pendidikan dan juga kemahiran berbanding dengan golongan berpendapatan rendah.
Kecelaruan sistem ekonomi begini tidak akan memberikan kesan yang baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Malah dikhuatiri semakin ramai anak-anak muda memilih untuk meninggalkan peluang menyambung pendidikan di tahap yang lebih tinggi disebabkan tawaran penetapan gaji minimum ini. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Naim, Rasulullah S.A. W. telah bersabda dengan maksudnya, “kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar”. Sinonimnya golongan miskin atau kurang berkemampuan ini dengan upah yang rendah membawa kita kepada hakikat sesuatu perlu dilakukan segera bagi membantu mereka bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kekurangan dari segi material ini tidak hanya memberi kesan kepada aspek ekonomi namun turut memberi kesan spiritual kepada mereka yang mengalaminya. Maka tidak hairanlah jika kita melihat banyak permasalahan sosial dialami oleh masyarakat ini dan juga mudahnya mereka dimanipulasi dan diambil kesempatan walaupun melibatkan soal akidah disebabkan masalah ini.
Negara berpendapatan tinggi adalah juga negara yang mempunyai rakyat dan pekerja yang berkemahiran tinggi. Justeru, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi adalah salah satu cara yang tepat bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat selain daripada bergantung kepada usaha kerajaan mengawal selia pasaran. Jika tidak, kita akan terus melihat 20% kumpulan isi rumah terkaya mengalami pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan manakala 40% kumpulan isi rumah termiskin yang terdiri sebahagiannya dari 80% jumlah pekerja berkelulusan SPM ini terus mengalami pertumbuhan pendapatan yang perlahan.