Tindakan tegas kerajaan untuk tidak lagi menanggung kos penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang masuk ke negara ini dilihat sangat wajar dan merupakan satu permulaan yang baik dalam menangani isu kebanjiran mereka yang saban tahun tidak pernah bernoktah.
Apabila segala kos yang terlibat bersangkut paut proses penghantaran pulang PATI adalah seratus peratus terletak di bahu kerajaan Malaysia, pastinya ia menyebabkan mereka semakin ‘naik lemak’ dan tidak pernah serik untuk masuk semula ke negara kita setelah dihantar pulang memandangkan selama ini mereka tidak perlu memikirkan sebarang kos untuk tujuan berkenaan, sebaliknya beban tersebut digalas oleh kerajaan Malaysia semata-mata.
Sedangkan, alangkah bagusnya jika bajet yang diperuntukkan untuk tujuan berkenaan digunakan untuk kepentingan rakyat kita sendiri, misalnya bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat pada hari ini atau untuk tujuan-tujuan lain bagi pembangunan negara. Pasti ianya akan lebih bermanfaat dan menguntungkan rakyat negara kita, berbanding berhabis wang semata-mata untuk pendatang asing yang secara jelas melanggar kedaulatan undang-undang dengan memasuki negara ini secara haram.
Malahan, melalui program-program pengampunan dan pemutihan PATI yang dilakukan sebelum ini, mereka boleh pulang ke negara asal tanpa sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka. Ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka langsung tidak takut dan terkesan dengan pelbagai operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Selain terpaksa menanggung kos yang banyak untuk penghantaran mereka pulang, kebanjiran mereka yang tidak terkawal juga menyebabkan kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai permasalahan lain yang dicetuskan oleh mereka.
Misalnya, kita dapat lihat bagaimana mereka dengan sewenang-wenangnya membentuk dan menguasai penempatan-penempatan tertentu serta bebas melakukan pelbagai aktiviti sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.
Malahan, daripada rekod kes-kes lepas jenayah sadis yang berlaku di negara kita seperti bunuh, rogol, ragut, rompakan dan sebagainya adalah banyak membabitkan penglibatan mereka sehinggakan rakyat tempatan berasa tidak selamat walaupun berada di negara sendiri.
Sedangkan, hal-hal yang melibatkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam serta menyalahi undang-undang negara tidak seharusnya dikompromi kerana ia boleh menjejaskan keamanan negara yang kita kecapi selama ini.
Selain permasalahan melibatkan jenayah, kebanjiran mereka juga banyak mengundang masalah kepada alam sekitar. Daripada pengamatan, didapati masalah-masalah pencemaran juga banyak dicetuskan oleh mereka.
Misalnya dapat dilihat di kawasan-kawasan penempatan yang dimonopoli oleh mereka, masalah sampah-sarap (seperti bahan buangan perabot, tilam buruk dan sebagainya) sangat tidak terkawal sehingga mencacatkan pemandangan dan keindahan di kawasan tebabit, sekali gus merumitkan lagi usaha kerajaan dalam memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terjaga.
Ini pastinya juga menuntut peruntukan kos berasingan yang tinggi untuk menangani permasalahan berkenaan. Dalam erti kata lain, kerajaan bukan sahaja terpaksa memperuntukan kos yang terlibat dalam proses penghantaran mereka pulang, tetapi juga terpaksa menanggung beban kos lain akibat daripada segala permasalahan yang dicetuskan oleh mereka.
Selain banyak mengundang permasalahan sosial dan alam sekitar, kebanjiran mereka juga turut merampas hak rakyat tempatan dari sudut ekonomi. Misalnya, daripada dakwaan yang dibuat oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan, didapati kira-kira lebih daripada 60 peratus premis perniagaan telah disewakan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab kepada pendatang asing.
Keadaan ini sekali gus mengundang masalah kepada peniaga kecil tempatan yang terpaksa bersaing dengan warga asing. Ini pastinya agak tidak adil kepada rakyat tempatan kerana pendatang asing yang masuk secara haram yang sepatutnya tidak mempunyai sebarang hak istimewa di dalam negara kita dengan mudah sahaja bebas melakukan aktiviti perniagaan di negara ini yang seharusnya dimonopoli oleh rakyat tempatan.
Justeru, langkah yang diambil oleh kerajaan untuk meletakkan tanggungan kos penghantaran pulang PATI di bahu pihak majikan, pekerja atau pihak kedutaan negara masing-masing dilihat merupakan satu langkah yang tepat untuk mengurangkan kebanjiran mereka di negara ini.
Ini memandangkan, apabila kita meletakkan tanggungan kos penghantaran pulang PATI dibahu mereka sendiri, ia pastinya akan menyebabkan mereka berfikir lebih panjang untuk masuk secara haram ke negara ini kerana pada akhirnya mereka sendiri yang terpaksa menanggung segala kos yang terlibat jika ditangkap.
Begitu juga bagi pihak majikan, dengan cara ini pastinya mereka lebih bertanggungjawab dalam urusan mengambil pekerja asing dengan cara yang sah agar mereka tidak dibebani kos penghantaran pulang di kemudian hari yang membabitkan PATI.
Malah, ia juga dilihat satu langkah yang baik agar pihak pemerintah negara masing-masing lebih bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah kemasukan rakyat mereka ke negara ini secara haram agar pihak kedutaan mereka tidak perlu menanggung kos penghantaran pulang rakyat mereka.
Misalnya, mereka mungkin akan lebih memberi tumpuan dengan mengetatkan lagi kawalan sempadan di negara mereka agar rakyat mereka tidak sewenang-wenangnya bebas memasuki negara ini secara haram bagi mengelakkan sebarang kos yang mungkin bakal ditanggung oleh mereka di kemudian hari.
Perhatian daripada mereka berhubung perkara ini juga pastinya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kerajaan kita untuk memikirkan masalah kebanjiran PATI di negara ini, sekali gus membanteras kebanjiran PATI dari masa ke semasa dan pembaziran kos untuk proses penghantaran mereka pulang juga dapat dielakkan.