Dalam kehidupan, tekanan adalah merupakan satu perkara yg lumrah. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan itu sendiri. Malah, amat sukar seseorang itu untuk mencari satu bentuk kehidupan yang bebas dari tekanan. Pendek kata, amat sukar untuk hidup dalam satu dunia atau persekitaran yang tiada tekanan, kerana ia adalah memang mustahil untuk ditemui. Apa yang ada ialah tekanan, dan saban hari tekanan itu akan menjadi lebih membebankan. Semakin kompleks kehidupan manusia, semakin tinggi tahap tekanan mereka. Ia seolah-olah bahawa tekanan itu turut sama berkembang, sejajar dengan tahap perkembangan kehidupan manusia itu. Semakin dewasa seseorang individu itu, semakin banyak rintangan dan tugasan serta ujian yang akan ditempuhi dalam sepanjang hidup mereka.
Ini tidak bermakna bahawa kanak-kanak tidak menghadapi tekanan. Mereka juga turut sama menghadapi tekanan, tetapi bersesuaian dengan tahap pemikiran dan umur mereka. Apa yang pasti, golongan dewasa akan lebih mengalami tekanan berbanding kanak-kanak dan semakin dewasa seseorang, semakin banyaklah pula tekanan yang akan ditempuhi. Ia seperti sesuatu yang lumrah dalam kehidupan di mana sesiapapun tidak terpisah dari tekanan. Dalam al Quran, ada diterangkan bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan dugaan dan ujian yang sudah pasti akan memberikan tekanan kepada umat manusia, sebagaimana firman Allah dalam surah al Mulk, ayat 2, yang bermaksud ..Allah yang mentakdirkan adanya hidup dan mati untuk kamu, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun….
Apakah tekanan? Tekanan yang juga dikenali sebagai stres ialah satu reaksi tubuh badan (fizikal), pemikiran dan emosi serta tingkahlaku yang berlaku akibat dari sebarang perubahan persekitaran yang mendesak seseorang individu itu untuk melakukan proses penyesuaian. Proses penyesuaian itu akhirnya akan menjadikan individu terbabit berupaya untuk beradaptasi, sesuai dengan fitrah dan tuntutan tekanan itu. Proses penyesuaian ini penting, kerana ia yang akan menentukan ke mana dan di mana hala tuju seseorang individu itu apabila berhadapan dengan tekanan. Dalam menghadapi tekanan ini, terdapat pelbagai perbezaan ketara di kalangan individu ketika melakukan proses penyesuaian terhadap tekanan yang dihadapi akibat dari pelbagai faktor. Ada individu yang mampu dan berjaya menghadapinya, dan ada juga mereka yang tewas terhadap tekanan yang akhirnya mengundang kepada pelbagai kejadian dan gejala gangguan mental serta fizikal lain.
Mengapa adanya tekanan dalam kehidupan? Kehidupan datang dengan tugasan dan tanggung jawab. Semua manusia perlu menjalankan tugasan dan tanggungjawab tersebut demi untuk meneruskan kehidupan. Untuk hidup, manusia perlu bernafas, makan dan minum, mencari rezeki, bekerja dan sebagainya. Semua tugasan dan aktivitu itu perlu dilakukan dengan baik serta mengikut lunas peraturannya. Dalam keadaan ini pun, terdapat dua faktor yang dilihat menyumbang atau mencetuskan tekanan. Pertama ialah untuk menjalankan tugasan dan aktiviti tersebut dan keduanya ialah bagi memastikan tugasan itu terlaksana dan mencapai matlamat pelaksanaannya. Tekanan yang ada itu akan menjadi lebih ketara dan membebankan apabila tugasan tidak dapat dilaksanakan atau pelaksanaannya tidak mengikuti aturan atau pun gagal mencapai objektifnya.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan dalam kehidupan. Antaranya ialah faktor pekerjaan. Kajian menunjukkan bahawa bebanan kerja yang melampau, ganjaran yang tidak setimpal, melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa, kerenah birokrasi pejabat, pengangguran, bekerja di luar bidang dan kemampuan serta perhubungan yang negatif sesama pekerja adalah faktor yang mencetuskan stres. Malahan, bukan setakat itu sahaja, perjalanan untuk menuju ke tempat kerja juga turut meningkatkan risiko tekanan. Kesesakan jalan raya yang berlaku di bandar, khususnya di Kuala Lumpur, adalah punca utama tekanan yang membebankan kepada sesiapa sahaja yang ingin hidup atau bekerja, mahupun singgah di kota raya itu. Selain itu, bebanan kewangan, peningkatan kos sara hidup yang tinggi tanpa kawalan dan masalah hutang turut memburukkan tekanan yang sedia ada dialami. Masalah peribadi dan gangguan personaliti, penyakit yang dialami serta berhadapan dengan tindakan perundangan juga mampu mencetuskan stres. Apakah yang berlaku kepada seseorang itu jika ia mengalami stres atau tekanan dan bagaimanakah tekanan boleh menyumbang kepada sakit mental?
Tekanan yang berlaku boleh memberi kesan positif ataupun negatif. Jika tekanan itu mendorong seseorang untuk berjaya atau membantunya menyiapkan tugasan dan aktiviti secara sempurna, itu amatlah baik. Namun jika tekanan itu berpanjangan, dan membebankan, maka ia akan memberikan kesan yang tidak baik kepada kehidupan dan kesejahteraan seseorang individu. Tekanan akan memberikan kesan yang buruk kepada sesiapa sahaja yang gagal mengendalikannya secara berkhemah. Akhirnya, ia akan menjejaskan kehidupan individu itu. Pada tahap tertentu, tekanan akan mengganggu dan membebankan pemikiran serta tidak menstabilkan emosi, lalu membebankan kestabilannya. Bebanan emosi, walaupun tidak mendatangkan kecelaruan, namun ia tetap memberi rasa ketidakselesaan. Ketidakselesaan pula akhirnya akan meningkatkan risiko gangguan kerisauan dan kebimbangan, di mana pada tahap yang berikutnya, kebimbangan bertukar menjadi satu kecelaruan yang amat tidak terkawal, lalu menjejaskan fungsi seseorang individu untuk melakukan aktiviti rutin kehidupannya. Pada tahap yang serius seperti ini, ia telah memasuki fasa gangguan mental, dan rawatan serta ubatan adalah satu pilihan yang tidak boleh diabaikan, walaupun sebenarnya keadaan gangguan itu boleh dielakkan dan dicegah, mahupun dirawat dan dikendalikan seawal mungkin.
Bagi kebanyakan kes yang berkaitan dengan gangguan mental dan emosi serta kecelaruan personaliti, tidak ada satu sebab atau punca yang kukuh yang menyebabkan terjadinya gejala gangguan mental. Namun, bagi kebanyakan kes gejala penyakit mental itu, setiap satunya akan ada hubungkait yang nyata dengan tekanan. Di samping faktor genetik dan keturunan, faktor persekitaran, pemakanan serta penyalahgunaan bahan terlarang turut memainkan peranan dalam meningkatkan risiko yang menyumbang kepada gejala sakit mental. Namun lebih penting ialah apakah tindakan yang perlu dilakukan jika mengalami tekanan mental dan emosi?
Pada pandangan Islam, kehidupan dan segala macam tekanan yang berlaku sebenarnya adalah ujian untuk menyaring siapakah di kalangan umat ini yang baik dan sabar, yang tidak merungut, berputus asa atau tewas apabila diuji. Individu tidak perlu menyesal atau merana sepanjang hidup untuk berada dalam penyesalan kerana ditimpa ujian yang bertalu-talu, tetapi apa yang perlu mereka lakukan ialah melakukan tindakan yang proaktif bagi menghadapi ujian dan tekanan itu dengan jayanya. Sememangnya kita telah ditakdirkan untuk hidup dengan penuh ujian, dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk diubah, tetapi kita masih boleh mengubah untuk menikmati kehidupan yang bahagia sebagaimana yang kita inginkan jika kita kuat berusaha. Apa yang lebih penting ialah apakah tindakan positif kita ketika berhadapan dengan semua ujian yang melanda.