Hari ini (9 Zulhijjah) semua umat Islam yang mengerjakan ibadah haji berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum mabit di Muzdalifah dan bersedia untuk melontar. Beruntunglah kepada mereka yang berpeluang menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Bahkan ibadah haji ini merupakan antara amalan yang paling utama di dalam Islam sebagaimana yang disebut dalam satu hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim: Daripada Abu Hurairah RA. katanya, Rasulullah SAW. telah ditanya, amalan manakah yang lebih utama? Baginda menjawab: beriman kepada Allah dan juga kepada Rasul-Nya. Kemudian baginda ditanya lagi, Selepas itu apa lagi? Baginda berkata, berjihad di jalan yang diredhai Allah. Kemudian apa lagi? Baginda menjawab, mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur).
Haji yang mabrur yakni haji yang mendapat kebaikan daripada Allah mendorong menjadikan manusia seperti dilahirkan semula hanya untuk membuat kebaikan. Bahkan mencipta kerinduan yang bersangatan kepada Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam. Maka yang demikian itulah membezakan di antara pangkat haji dipangkal nama dengan sahsiah diri yang terbina daripada ibadah khusus ini.
Benarlah panggilan ke Tanah Suci merupakan jemputan Allah semata-mata. Namun sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha menzahirkan keinginan untuk meraih jemputan ini di sebalik segala halangan dan kesukaran. Halangan tidak hanya wujud dalam bentuk konflik diri sendiri, akan tetapi boleh wujud dalam bentuk kekangan zahir seperti bilangan jemaah haji yang dibenarkan setiap tahun yang jauh daripada kemampuan kita untuk mengatasinya.
Ibadah haji adalah pengajaran kepada semua umat Islam merentasi umur, kemampuan mahupun peluang. Oleh yang demikian, bagi yang belum berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji sebenarnya boleh mengambil iktibar akan pengembaraan rohani ini dengan melihat konteks ibadah haji dengan lebih meluas.
Pertama, ibadah haji mengikat manusia kepada fitrah yakni asal kejadian sebagai makhluk berakal yang berpegang kepada agama. Hal ini diterjemahkan dengan terbitnya rasa dan keinginan untuk menunaikan ibadah haji sekalipun tidak mengetahui sama ada berpeluang menunaikannya. Niat ini hadir setelah kita redha bahawa Islam sebagai cara hidup, Islam sebagai matlamat hidup dan bersedia melafazkan ikrar taat setia kepada Tuhan melalui ibadah yang khusus.
Keinginan kepada kebaikan boleh tercetus kepada sesiapa walaupun kanak-kanak. Disinilah peranan ibu bapa sebagai madrasah pertama untuk memberi kefahaman kepada anak-anak kecil mengenai keindahan ibadah haji agar mereka dapat mempersiapkan diri seumur hidup untuk mencapai matlamat tersebut.
Dalam perspektif yang berbeza, niat juga boleh diterjemah sebagai pengikat iman dan taqwa kepada Allah. Iman manusia boleh meningkat dan menurun disebabkan oleh pengaruh sekeliling. Bahkan sebagai manusia yang hidup pada akhir zaman, iman kita tidak mungkin sekuat Nabi Ibrahim, setabah Siti Hajar mahupun seteguh Nabi Ismail. Iman kita ibarat pasir dipantai, andai dibiar ditarik ke laut, andai dilupa terdampar dipantai.
Iman manusia yang lemah boleh membawa kepada kemaksiatan dan kemurkaan Allah. Begitu juga ilmu yang lemah dan tidak benar boleh mengakibatkan nafsu untuk merajai jiwa manusia. Begitulah juga ibadah haji yang bukan semata-mata melaksanakan rukun namun membawa manusia menelusuri satu perjalanan mencari keagungan Tuhan melalui imu yang benar dan keimanan yang tinggi. Menjadikan manusia sebagai pengembara ilmu sepanjang kehidupan mereka di dunia.
Kedua, melalui niat yang dizahirkan untuk menunaikan haji, manusia belajar bagaimana untuk mengetepi keinginan material yang sedia ada. Dalam konteks semasa, perjalanan ke Tanah Suci memerlukan manusia berkemampuan bukan dari segi fizikal dan rohani bahkan turut meliputi kemampuan material. Rangkuman material yang diperlukan juga bukan semata-mata ke atas perbelanjaan diri akan tetapi turut mengambil kira waris dan komitmen lain sepanjang ketidakberadaan diri bersama keluarga.
Justeru dedikasi untuk menyimpan sebahagian wang secara konsisten amat penting bagi memenuhi hasrat ini seterusnya memujuk diri menolak kemahuan material lain yang boleh diperolehi andainya wang tersebut dibelanjakan.
Ketiga, pengembaraan rohani ini membawa makna pengorbanan yang tinggi kepada manusia. Pengorbanan bukan semata-mata haiwan yang disembelih bermula pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik. Akan tetapi pengorbanan yang membawa kepada perubahan diri manusia. Hal demikian termasuklah pengorbanan untuk berusaha memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar, pengorbanan untuk menghargai insan yang menyumbang dalam kehidupan kita dan yang paling utama pengorbanan untuk memaafkan orang lain juga memaafkan diri sendiri.
Memaafkan diri sendiri ialah membuka peluang kepada diri untuk membaiki kesilapan dan tidak mengambil jalan berputus asa. Ibadah haji mengajar manusia untuk bergantung kepada Allah, menyerahkan segala-gala kepada-Nya dan bersedia menerima apa jua yang telah ditentukan.
Sesungguhnya ibadah haji itu merupakan peluang bagi manusia untuk menghampirkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya. Walaupun demikian, sekalipun kita belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci hakikatnya kita tidak pernah terlepas untuk mengikuti madrasah pengembaraan rohani ini andainya bersedia untuk kita mengambil iktibar daripadanya.