Membela agama, bangsa dan negara dengan sagala kemampuan yang ada adalah satu kewajipan yang dituntut dalam Islam. Mempertahankan agama dan negara bukanlah satu perkara yang mudah sekiranya tidak ada persediaan rapi dilakukan. Perancangan rapi dan usaha-usaha ke arah menyediakan kemampuan pertahanan mesti dilakukan secara berterusan demi memastikan pihak-pihak yang terlibat senantiasa bersiap-sedia untuk berhadapan dengan musuh-musuh agama dan negara. Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 60 jelas memerintahkan kita supaya membuat persediaan awal untuk menjaga agama, bangsa dan negara.
Pihak yang terlibat dalam usaha memertahankan agama dan negara tidak semestinya sebuah intitusi atau kumpulan berpakaian seragam semata-mata seperti tentera, polis, bomba dan sebagainya tetapi pihak indivudu juga tidak terkecuali daripada usaha menyelamatkan negara sama ada ancaman berbentuk politik, ekonomi dan sosial.
Seseorang yang berjaya mempertahankan agama, negara dan bangsa sama ada secara bersendirian mahupun melalui organisasi digelar Pahlawan ataupun Perwira negara. Di Malaysia, Hari Pahlawan disambut setipa 30 Julai setiap tahun bagi mengenang jasa dan bakti para pahlawan yang gugur semasa menabur bakti mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini adalah pengorbanan tertinggi dalam hidup seorang manusia yang tidak semua orang boleh menikmatinya.
Seseorang yang berjihad di jalan Allah SWT dengan sebenar-benarnya akan mendapat kehidupan mulia di Syurga kelak sebagai balasan pengorbanannya. Sehubungan ini, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebahagian pendapatan negara untuk menyediakan kelengkapan pertahanan dan menjaga keselamatan negara. Perbelanjaan membeli kelengkapan-kelengkapan untuk tunjuan mempertahankan agama Allah, bangsa dan negara juga merupakan pergorbanan besar rakyat Malaysia. Pergorbanan ini sebenarnya tidak sia-sia malah akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT sepertimana firmNya yang bermaksud “Dan apa pun yang kamu belanjakan pada jalan Allah , akan disempurnakan (ganjarannya) untuk kamu, dan kamu tidak akan teraniaya”.
Oleh kerana mempertahankan agama dan negara itu merupakan satu kewajipan, maka usaha-usaha dan perancangan untuk menyediakan dan memperlengkapkan individu-individu dengan keberanian, keimanan, dan semangat waja juga adalah suatu usaha yang amat dituntut. Selain daripada menyediakan kelengkapan fizikal pertahanan seperti peralatan persenjataan, kekuatan rohani merangkumi jati diri, semangat dan jiwa raga juga adalah satu aspek yang amat penting sekali. Walhal aspek ini adalah lebih penting daripada memiliki senjata. Sepertimana ahli-ahli perjuangan selalu berkata “the man must always be behind the gun” yang bererti bukan senjata yang menentukan dan memutuskan sesuatu tindakan itu, melainkan sesiapa yang memegang senjata itu. Oleh sebab itu, seseorang pejuang itu mesti memiliki iman, akal budi dan semangat jati diri yang tinggi berlandaskan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulnya sebelum betul-betul layak mempertahankan agama dan negaranya. Sekiranya unsur kerohanian ini tidak ada dalam jiwa raga seorang prajurit itu, maka pengorbanannya sama sahaja seperti orang kafir yang bertindak mengikut hawa nafsu dan dorongan keduniaan. Pengorbanan sebegini tidak tergolong dalam jihad ke jalan Allah kerana terpesong daripada agenda sebenar menjaga keamanan dan kemaslahatan umat.
Dalam konteks menaikkan iemj seorang pahlawan dan pengorbanan mereka, negara-negara Islam seharusnya mencontohi negara-negara Barat dalam banyak hal bagaimana mereka berjaya meningkatkan dan menyediakan bala pertahanan sukarelawan yang mencukupi bukan sahaja dari segi jumlahnya malah kekuatan semangat mereka. Negara-negara Barat bukan sahaja berjaya melengkapkan pertahanan mereka dari segi kelengkapan fizikal malah usaha-usaha menaikkan martabat dan imej institusi pertahanan negara juga berjaya menarik ramai beliawan dan beliawanis berpandangan postitif terhadap kerjaya ini. Kejayaan dari segi ini merupakan satu aset berguna kepada agama dan negara yang wajar dicontohi oleh negara-negara Islam yang selalu ditindas dan diperalatkan oleh musuh serta jauh ketinggalan dalam aspek ini
Di negara-negara Barat, usaha mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan adalah suatu perkara yang luar biasa sambutannya. Kebanyakkan negara-negara ini memberi hari cuti umum bagi memberi ruang pengisian aktiviti mengenang jasa dan bakti pahlawan-pahlawan mereka yang gugur dalam medan peperangan semasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Pelbagai aktiviti dan upacara peringatan dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh kerajaan bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya pengorbanan rakyat mempertahakan negara. Anugerah kehormat, pingat penghargaan tertinggi negara dan kutipan sumbangan untuk dana perwira diadakan bagi memastikan sanak-keluarga pahlawan dapat merasai pengorbanan yang disumbangkan oleh ahli keluarga mereka amat besar nilainya. Sambutan Hari Pahlawan di negara-negara Barat merupakan suatu usaha penting bagi meningkatkan imej kerajaan dan instrumen pertahanannya serta mengenang pengorbanan individu yang berkorban demi negara dan rakyat.
Hari-hari mengenang kepahlawanan negara seperti ANZAC Day di Australia dan New Zealand, Veteran’s Day di United Kingdom, Volkstranertag di German, dan Memorial Day di Amerika Syarikat begitu terkenal di seluruh dunia membuktikan bagaimana perkasanya negara-negara ini dalam soal jati diri mempertahankan kepentigan negara mereka. Sambutan-sambutan sebegini berjaya menaikkan semangat warganegara mereka sekali gus memperbaiki imej negara mereka. Dunia Islam amat ketinggalan dalam hal ini berbanding dunia Barat.
Seperti contoh, ANZAC Day diingati dan dikenali sempena mengenang perjuangan para tentera Australia dan New Zealand yang gugur semasa Kempen Gallipoli menentang kerajaan Utmaniah semasa Perang Dunia II (1915). Pertahanan kerajaan Uthmaniah di Gallipoli telah kalah teruk dalam peperangan ini, namun tidak ada sebarang tanda kenangan yang diberikan kepada para tentera Muslim yang gugur semasa peperangan ini dalam kalangan negara-negara Islam.
Keagungan pahlawan Islam yang dinamakan Salahuddin Al-Ayubi bukan sahaja berjaya mematahkan setiap serangan musuh dari bala tentera Perang Salib, malah terkenal dalam sejarah Barat atas sifat keberanian, ketokohan dan perikemanusian apabila beliau berjaya memberi pengajaran dan teladan kepada musuh-musuhnya tentang apakah ertinya budi bicara dan timbang rasa dalam peperangan. Pembuat filem Hollywood telah membuka mata dunia dengan menerbitkan sebuah filem berkualiti yang mengambarkan ketokohan Salahuddin dalam filem popular “The Kingdom of Heaven”.
Amat kurang usaha-usaha dijalankan dalam kalangan negara-negara Islam untuk mengenang jasa dan bakti para pahlawannya seperti Salahaudin al-Ayubi. Negara-negara Islam hanya sibuk mengeluarkan fatwa mengharamkan sambutan upacara Hari Pahlawan yang sudah pernah dijalankan, tetapi pada masa yang sama tidak pula berusaha setimpal dengan upacara tersebut mengikut tradisi Islam. Sudah masanya negara-negara Islam memikirkan sesuatu untuk menaikan imej pejuang-pejuang Islam serta negara Islam itu sendiri.
Zaman teknologi dan media massa yang canggih hari ini sepatutnya digunakan bagi membolehkan upacara sambutan Hari Pahlawan disebar-luaskan untuk menaikkan semangat dan kesederan rakyat tentang pentingkan pergorbanan mereka mempertahankan agama dan negara. Semangat sebegini harus ditiup ke dalam setiap lapisan generasi baru melalui media massa dan bukannya hanya sekadar mengadakan majlis kecil-kecilan di masjid-masjid yang impaknya amat kecil kepada masyarakat. Sepatutnya upacara sambutan Hari Pahlwan di masjid-masjid bukan sahaja ditujukan kepada roh-roh yang telah pergi menemui Ilahi tetapi juga harus dipertontonkan kepada khalayak umum sebagai ikhtibar dan pengajaran yang boleh membina dan menaikan semangat patriotik mereka untuk menjaga agama, bangsa dan negara.
Malaysia, sebagai negara yang majoritinya berpegang kepada kepercayaan kepada Allah, harus menghindari kelemahan dalam kalangan negara-negara Islam yang terjeremus ke dalam perangkap musuh. Kebanyakkan negara Islam masih bergantung kepada dunia Barat dalam banyak aspek pertahanan negara. Di timur tengah contohnya, keselamatan negara mereka masih bergantung pada Barat, begitu juga di negara-negara Islam di Asia Tengah yang terpaksa bergantung pada negara Russia dan China. Oleh yang sedemikian, sambutan Hari Pahlawan di Malaysia pada penhujung bulan Julai ini harus dianjurkan bagi membuka mata masyarakat dan menaikkan akal budi remaja.