Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan satu gagasan besar dan cabaran yang sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia terutama generasi masa depan negara. Untuk menjayakan sebuah gagasan seunggul ini, ia tidak boleh dibiarkan hanyut bersama aspirasi anak muda atau ditiupi lanskap sosial, politik atau ekonomi semasa semata-mata. Gagasan ini perlukan satu model yang berstrategi dan yang telah terbukti berjaya di samping berfungsi menjadi panduan sepanjang zaman. Memperdanakan Maqasid Syariah sebagai model dan kerangka dalam menjayakan TN50 adalah merupakan satu langkah yang utama.
Maqasid telah digunakan oleh umara’ mentadbir negara dan para ulama’ mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan peranan mereka. Ia merupakan satu model yang menyeluruh dan lengkap serta diangkat sebagai kerangka paling dasar dalam membuat sesuatu keputusan penting dalam semua aspek kehidupan. Maqasid mensasarkan maslahah (kebaikan) dan mengelakkan mafsadah (kerosakan) sebagai pra-syarat utama dalam 5 perihal penting kehidupan iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Walau sehebat manapun gagasan, tetapi jika tiada model dan kerangka yang teguh, ia bakal meruntuhkan keseluruhan struktur asalnya.
Model maqasid mampu mengubah dimensi yang bersifat duniawi semata-mata kepada keseimbangan duniawi-ukhrawi. Dengan kerangka holistik yang teguh, pemegang taruh kepada gagasan ini mampu peka memantau perkembangan, tegar menghadapi perubahan dan kebal menghadapi ancaman. Sehubungan dengan itu, inspirasi al-Quran melalui mafhum surah An-Nahl, 43 “…maka bertanyalah kepada orang yang ahli (mengetahui) sekiranya kamu tidak mengetahuinya” perlu diambil pengajarannya. Jika negara bersungguh-sungguh ingin melihat matlamat TN50 ini tercapai, ia perlu diwujudkan di bawah badan peneraju khas berstrategi yang mengkaji, merencana dan menyelia kerangka ini secara sistematik. Keanggotaan dalam kalangan pemikir menjadi satu kelebihan kerana berfikir akan menjadi tugas utama badan sebegini.
Keghairahan mengejar matlamat yang didambakan menyebabkan kecenderungan alpa pada implikasi mafsadahnya. Upaya mengelak kerosakan sangat perlu sebagai sistem timbal dalam gagasan. Tidak bermakna kecemerlangan gagasan ini jika ia sendiri telah membawa kemusnahan kepada generasi akan datang. Dalam sebuah negara bermaruah, amalan rasuah dan pecah amanah ibarat api dalam sekam dan pedihnya seperti apa yang dirasai saat tangkapan demi tangkapan dilaporkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini. Ia bukan sahaja melibatkan penyalahgunaan harta milik orang ramai, tetapi mencalar imej sebuah negara berwibawa. Di sinilah pentingnya prinsip yang digariskan oleh maqasid terhadap perancangan atau amalan yang membawa kerosakan. Gagasan bermodelkan maqasid sangat diperlukan untuk menyeimbangkan matlamat kebaikan dengan tanpa melupakan aspek cabaran dan ancaman. Ini kerana sifat sebuah gagasan kadang-kadang sukar untuk dijangkakan.
Intipati kesyumulan model berlandaskan maqasid ialah kemampuannya mengambil kira setiap tahap mengikut keutamaan sama ada pada peringkat keperluan asas (dharuriyat), sederhana (hajiyat) atau sempurna (tahsiniyat). Selari dengan sifat sebuah gagasan, model yang digunakan mempunyai kaedah yang menggariskan keutamaan serta mengklasifikasikan tindakan yang berbentuk perdana atau pelengkap kepada pencapaian utama. Elemen ini tidak dinafikan sangat penting dalam mengurus dan mengawal selia kepelbagaian aktiviti dalam semua peringkat sama ada penggubalan atau perlaksanaan, lebih-lebih lagi melibatkan satu jangka masa yang agak panjang. Dengan adanya satu model, penyelarasan terperinci dapat dibuat dan kelangsungan agenda dapat diteruskan tanpa menghadapi masalah jurang masa atau pelaksana.
Dialog atau wacana golongan muda semata-mata dalam membentuk sasaran atau harapan mereka di masa hadapan tidak memadai dalam membina acuan gagasan yang matang. Ilmu dan kebijaksanaan merupakan asas utama membezakan kebenaran dan kebatilan. Satu perancangan yang bukan lagi rahsia dan menarik untuk direnungi ialah bagaimana Protokol Yahudi (The Protocols of The Learned Elders of Zion) berjaya menerajui penguasaan dunia. Walaupun berbagai teori konspirasi diperkatakan, hakikatnya agenda protokol ini berjaya mengubah lanskap dunia apabila majoriti penguasaan syarikat dan agensi di peringkat antarabangsa dikawal oleh kelompok bangsawan Yahudi. Sebagai refleksi bersama, kebijaksanaan ahlinya menjadi penentu kejayaan sesebuah gagasan.
Kelangsungan hidup telah berubah daripada berdasarkan prestasi kepada berasaskan produktiviti dan kini berpaksikan inovasi. Dalam zaman yang dipacu oleh kemajuan teknologi, berbagai perkara boleh berlaku dan di luar jangkauan pemikiran. Selari dengan kemunculan inovasi dan teknologi baru, bentuk dan tingkahlaku industri juga turut berubah. Uber dikatakan merupakan syarikat teksi terbesar di dunia tanpa memiliki teksi sendiri. Begitu juga Airbnb yang merupakan syarikat perhotelan terbesar tetapi tidak memiliki hartanah. Bagi mereka yang bergiat dalam industri kejururawatan, dilaporkan bahawa IBM Watson Health telah membangunkan peranti mendiagnos kanser yang 4 kali ganda lebih tepat berbanding jururawat manusia. Terdapat sejenis peranti perubatan yang dinamakan ‘Tricoder’ kini digunakan untuk mengimbas tahap kesihatan pengguna dan dipermudahkan perantinya hanya dengan menggunakan telefon pintar. Kemunculan industri perkhidmatan menggunakan aplikasi telefon pintar lain seperti Grab, SPEEDelivery dan banyak lagi yang masih di peringkat rekacipta merupakan cabaran dan bakal menjadi ancaman jika kita tidak bersedia menghadapinya. Melalui aspek penyempurnaan keperluan (tahsiniyat) dari model Maqasid, usaha ini dapat disaring di peringkat awal dalam memetakan corak pencapaian berlandaskan acuan dan keperluan masa akan datang.
Maqasid adalah tiket mujahadah bersama. Tibalah masanya sebagai seorang warganegara untuk mengambil bahagian dalam mujahadah terhadap agama, bangsa dan negara. Semua orang tidak kira mereka yang terlibat dalam politik, ekonomi, sosial, undang-undang, penggubal dasar atau rakyat biasa boleh berbuat demikian dengan memperjuangkan kepentingan yang digariskan dalam TN50 berlandaskan maqasid. Di samping membuka peluang sesiapa saja untuk mengambil bahagian, ia juga menjadi sumber penyatuan. Bukankah ini yang diharapkan dalam sesebuah gagasan? Sehubungan dengan ini, Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut: 69 yang mafhumnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.