Kira-kira 30 dekad yang lalu, tumpuan masyarakat Malaysia diarahkan kepada Wawasan 2020.
Kini, perhatian mereka dihalakan pula kepada Transformasi Nasional 2050, atau singkatannya, TN50.
Pelbagai langkah telah, sedang dan akan diambil dalam menjayakan pelan nasional tersebut.
Satu daripadanya adalah usaha bersama Malaysian Foresight Alliance, yang turut dianggotai oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), untuk menghasilkan dokumen yang meramalpetakan masa depan bertajuk Envisioning Malaysia 2050: A Foresight Narrative yang telah dilancarkan oleh Y.B. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2 November yang lalu.
Sebagaimana yang pernah ditimbulkan berhubung dengan Wawasan 2020 suatu ketika dahulu, dan kini muncul kembali serentak dengan pengutaraan TN50, masyarakat Islam di Malaysia didesak dengan pertanyaan: apa peranan utama yang dapat mereka mainkan dengan berkesan bagi menjayakan pelan nasional tersebut dan seterusnya menentukan bentuk masa depan mereka?
Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti secara mendalam, persoalan yang lebih mendasar yang perlu mereka jawab adalah: apakah mereka sememangnya telah menjadikan PENTADBIRAN MASA DEPAN budaya hidup mereka?
Sekiranya persoalan yang kedua ini tiada jawapan tuntas yang diusahakan secara bijaksana, bersungguh-sungguh dan istiqamah, maka apapun rencana yang diusahakan oleh pihak berwajib, waima dengan majlis pelancaran yang seumpama pesta maharaya, hasil yang akan dituai kelak berkemungkinan besar sangat menghampakan.
Bagi mengusahakan jawapan tuntas yang dimaksudkan di atas, yang pertama-tama perlu masyarakat Islam Malaysia lakukan, khasnya menerusi pendekatan dan bentuk pengajaran dan pendidikan yang bertepatan, adalah bukan sahaja membebaskan kata TADBIR itu daripada penyempitan maksud kepada peringkat atau lingkungan sektor tertentu (seperti Pentadbiran Awam) sebagaimana yang berleluasa di negara kita dewasa ini tetapi juga mengembalikannya kepada luasan makna asalnya dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam.
Tindakan mengembalikan kata tersebut kepada makna asalnya itu akhirnya akan menemukan kita dengan penegasan Junjungan Nabi Terakhir S.A.W.: “Tiada akal seumpama TADBIR!” (la ‘aqla ka al-tadbir).
Kenapa demikian sekali penekanan Baginda Rasul S.A.W.?
Kerana akhirnya semua itu berpusatkan makna dasar kata itu dalam Bahasa Arab yang erat berkait dengan erti AKIBAT.
TADBIR menurut pengertian sebenarnya dalam sekian banyak kamus-kamus utama Bahasa Arab seperti Lisan al-‘Arab dan Taj al-‘Arus ialah “fikiran akal insan terhadap akibat sesuatu perkara (atau urusan) sekaligus tindakan yang diambil sesuai dengan ilmu-kefahaman perihal akibat tersebut.”
Juga ditekankan dalam kamus-kamus tersebut bahawa TADBIR sebagai renungan akal perihal akibat adalah seerti dengan TADABBUR.
Sehubungan dengan itu, turut diriwayatkan kepada kita sebuah pesanan Nabi S.A.W.: “Sekiranya kamu berkehendakkan sesuatu, maka lakukan TADABBUR perihal akibatnya: sekiranya baik, laksanakan; tetapi jika tidak baik, maka jauhi!”
Sejauh yang berkait dengan insan, adalah jelas bahawa akibat daripada sesuatu perkara yang diusahakan sekarang (atau urusan yang masih berlaku) merupakan sesuatu yang belum terjadi.
AKIBAT sesungguhnya berkait dengan MASA DEPAN, baik yang dekat mahupun yang jauh.
Justeru, gesaan untuk melaksanakan TADABBUR tentang AKIBAT ini juga bermaksud MENTADBIR MASA DEPAN dan sesungguhnya bertujuan menyingkap secara ilmiah apa yang masih lagi bersifat ghaib terselindung daripada pengetahuan kebanyakan insan.
Namun, usaha mentadbir masa depan ini juga bukan ramalan secara sembarangan, bukan juga jangkaan tiada berasas.
Akibat juga bukan keseluruhannya bersifat ghaib tiada diketahui.
Akibat yang telah berlaku, khasnya yang dirakamkan dengan baik dalam sejarah insan, bukan sahaja dapat, tetapi juga perlu, diketahui.
Akibat-akibat sebegitu malah perlu dipelajari sebagai rangkaian hubungan sebab-akibat yang difahami sebagai penzahiran SUNNATULLAH, iaitu CARA BERULANG-KALI ALLAH MENTADBIR CIPTAAN-NYA.
Memang sesungguhnya dalam keyakinan orang-orang Islam, Allah ialah Pentadbir Hakiki. Bahkan, satu daripada Nama-Nama-Nya adalah AL-MUDABBIR, iaitu: PENTADBIR SATU-SATUNYA.
Jika semua di atas ini dapat difahami dengan baik dan bersesuaian pula dengan hukum sejarah yang difahami sebagai SunnatuLlah itu tadi, maka sekiranya sesuatu sebab atau punca itu diulanglakukan, justeru dapat dijangkakan bahawa akibat yang pernah terjadi itulah yang bakal menyusul kelak.
Pada akhirnya, sebagai insan dan orang-orang Islam, masa depan yang kita inginkan itu, biar apapun bentuknya, mestilah masa depan yang pada nilaian akhlak bersifat baik.
Tiada gunanya kita membangunkan infrastruktur masa depan bertaraf kelas pertama, jika insan yang menggunakannya berminda mundur dan berwatak binatang jalang.
Malahan, bukan sahaja kita sangat perlu mentadbir masa depan dengan mengambil sebaik-baik iktibar daripada sejarah tetapi kita juga wajib melakukannya berpandukan pedoman Ilahi berupa nilai dan hukum akhlak yang terpelihara dengan baik dalam Al-Qur’an, Sunnah Nabawi dan Tradisi Ilmu Akhlak Tamadun Islam.
Ini jugalah semangat yang sempurna terkandung dalam Hadis Nabi S.A.W. yang sebahagiannya dipetik pada pertengahan makalah ini:
la ‘aqla ka al-tadbir
wa la wara‘a ka al-kaff
wa la hasaba ka husn al-khuluq
Tiada akal seumpama TADBIR;
Tiada kewarakan seumpama pengawalan diri;
Tiada kemuliaan laksana budi pekerti yang baik!