Pengalaman penulis dalam memenuhi tuntutan kerja di kota raya London baru-baru ini memberi satu pengalaman bermakna dalam melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza. “Greater London” mencatatkan penduduk berjumlah lebih kurang 9 juta orang, dengan lebih 40% daripadanya berketurunan asing. Sekali gus, menjadikannya sebagai tempat yang mempunyai populasi imigran yang kedua tertinggi di dunia.
Kepelbagaian imigran ini juga dapat dilihat menerusi kepelbagaian bahasa yang digunakan oleh penduduknya dengan Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dalam kegiatan harian. Walaupun Kristian merupakan agama utama yang dianuti oleh penduduk London iaitu sebanyak 34.7%, penduduk yang tidak mempunyai agama mencatatkan peratusan yang lebih tinggi iaitu 43.8%. Lain-lain agama yang dianuti penduduk London ialah Islam 6.3%, Hindu 2.4%, Yahudi 2.1% dan Buddha 1.1%.
Pertemuan dengan seorang paderi di St Giles Church, London turut mengesahkan data ini apabila beliau berkongsi bahawa berlaku penurunan dalam jumlah penganut Kristian di London dan semakin ramai yang tidak mempunyai agama.
Berdasarkan pengamatan berkenaan hal ini, London dilihat sebagai sebuah kota yang mempunyai tahap toleransi agama yang tinggi dalam kalangan masyarakatnya. Toleransi utama yang diamalkan ialah setiap individu bebas mengamalkan ajaran agama mereka sendiri atau tidak mempunyai agama dalam kapasiti undang-undang negara. Selain itu, individu dilihat boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang sesuatu perkara tanpa perlu mewujudkan pergaduhan, pertengkaran mulut atau bermasam muka—semudah itu.
Bagaimanapun, perkara yang dilihat dan dianggap mudah pada pandangan kita sebagai orang luar bukanlah satu perkara yang sebenar-benarnya mudah dilakukan. Penanda aras kepada toleransi ini ialah undang-undang dan penguatkuasaan. Masyarakat bersama-sama menghormati undang-undang yang dikanunkan dalam negara mereka. Tambahan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sekular, tiada keperluan bagi United Kingdom untuk melantik ketua agama di peringkat negara yang memberi mandat dari segi penguatkuasaan agama.
Maka tidak hairanlah jika sesebuah kawasan itu mempunyai variasi waktu solat yang berbeza bergantung kepada mazhab yang diguna pakai. Oleh sebab ramai Muslim di United Kingdom terdiri daripada imigran, tidak dapat dinafikan pengaruh negara asal mereka mempengaruhi perbezaan pengamalan ini. Sebagai golongan minoriti, masyarakat Muslim perlu menerima perbezaan begini dengan terbuka.
Dialog dengan beberapa orang komuniti Muslim di London memperlihatkan walaupun mereka mempunyai perbezaan pandangan di antara satu sama lain, tetapi mereka masih boleh bekerjasama dengan baik. Selain itu, komuniti-komuniti ini juga mempunyai hubungan baik dengan komuniti agama lain dan masyarakat setempat. Mereka terbuka memberi khidmat kepada mana-mana pihak yang memerlukan mengikut kapasiti mereka.
Ini ialah salah satu contoh toleransi yang wujud dalam kepelbagaian masyarakat Islam di London yang umumnya dilatari oleh negara asal masyarakat imigran. Mereka menerima bahawa sebahagian Muslim yang lain, tidak berkongsi pandangan yang sama tentang sesuatu perkara. Selagi tidak bertentangan dengan akidah, penulis menginsafi bahawa kita sekali-kali tidak boleh mengakui bahawa kita adalah pengamal terbaik ajaran Islam berbanding umat Islam yang lain. Selain itu, penulis turut menyedari akan peri pentingnya untuk mempunyai ketua agama yang dapat membuat keputusan dalam mencari kesepakatan sesuatu perkara demi kemaslahatan umat Islam.
Inilah salah satu perkara yang selama ini mungkin tidak sedari oleh masyarakat Muslim di Malaysia. Umat Islam di negara ini bertuah kerana mempunyai ketua agama di peringkat negeri dan negara yang boleh membuat keputusan demi kemaslahatan umat Islam dalam pelbagai perkara yang selama ini dianggap “kecil” seperti penentuan waktu solat.
Islam melihat konsep toleransi sebagai bersikap sabar atau terbuka untuk menerima dan menghormati pendapat, fikiran dan kepercayaan orang lain selagi mana tidak bertentangan dengan syariat, yakni yang boleh membawa kepada penyekutuan terhadap Keesaan Allah SWT. Dalam konteks agama, toleransi bukanlah bermaksud semua agama adalah sama ertinya. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” (Surah al-Kāfirūn, 109: 6). Toleransi dalam pengertian agama ialah setiap penganut agama yang lain bebas untuk mengamalkan amalan agama masing-masing dalam keadaan yang aman.
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal” (Surah al-Ḥujurāt, 49: 13). Sudah pasti toleransi itu ialah bagaimana bagi umat Islam untuk menyantuni kepelbagaian ini.
Bagi masyarakat awam, falsafah pembinaan negara Malaysia ini hendaklah ditekuni dengan melihat kepada prinsip rukun negara. “Kepercayaan kepada Tuhan” merupakan prinsip rukun negara yang pertama yang seharusnya menjadi asas kepada pembinaan jati diri individu dan masyarakat yang bersatu padu.
Fitrah mempunyai agama ini ialah satu keistimewaan bagi rakyat Malaysia. Mempunyai pegangan agama tidak menjadikan kita bangsa yang terkebelakang dan mundur. Bahkan meninggalkan jati diri atau nilai-nilai asli budaya sendiri yang baik kononnya demi mengejar kemajuan ialah satu bentuk kerugian kerana bangsa yang maju adalah bangsa yang bangga dengan jati diri mereka. Bahkan kebanggaan itu sentiasa ditunjukkan sehingga orang lain terikut-ikut hendak menjadi seperti mereka.
Dalam hal ini, setiap individu hendaklah menyedari bahawa setiap masyarakat dan negara mempunyai keistimewaan dan acuan yang tersendiri. Terikut-ikut cara orang lain yang kurang sesuai dengan fitrah masyarakat setempat, tidak menjadikan diri kita sebagai bangsa terbaik dan progresif. Sebaliknya menonjolkan nilai asli jati diri yang baik menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan dihormati.