Ramai yang tidak memahami bahawa sekularisasi atau pensekularan itu adalah suatu ancaman dan bahaya sebagaimana mereka memahami bahayanya terorisme dan dadah terhadap keselamatan negara. Sebabnya adalah kerana bahaya dan ancaman terorisme dan dadah itu lebih mudah untuk ditunjukkan kesan dan akibatnya berbanding dengan bahaya dan ancaman sekularisasi. Sekularisasi berlaku secara halus tanpa disedari dan kesannya yang terbesar adalah pada akal fikiran.
Seringkali sekularisasi dikelirukan dengan pembangunan dan kemajuan, seolah-olahnya ia sesuatu yang pasti tidak dapat dielakkan. Inilah apa yang dialami oleh Barat: iaitu mereka menjadi ‘maju’ dan ‘membangun’ setelah mereka berubah menjadi ‘sekular’ dan yang mereka korbankan demi mencapai kemajuan itu adalah agama dan akhlak. Kini agama tidak lagi dianggap penting dalam kehidupan, manakala akhlak pula sudah kehilangan asas dan matlamatnya, kerana kini segala-galanya adalah berpaksikan kepada dunia dan kehidupan duniawi semata-mata.
Melalui pengaruhnya Kebudayaan Barat telah mengangkat sekularisasi menjadi agenda kemanusiaan. Sekularisasi tidaklah bermakna usaha untuk menghapuskan agama sama sekali. Bahkan Barat tidak pernah menganjurkan penghapusan agama; sebalinya mereka sering mendakwa bahawa merekalah pejuang kebebasan beragama. Apa yang mereka anjurkan, sebaliknya, adalah perubahan dan pindaan dilakukan terhadap agama kerana agama pada anggapan mereka adalah hasil dari kebudayaan manusia, dan kebudayaan manusia menurut mereka lagi tidak boleh mengelak dari berubah mengikut sejarah. Inilah andaian yang mendasari konsep ‘agama berkebudayaan’ yang cuba dipaksakan ke atas Kaum Muslimin di Indonesia, sebagai contoh.
Sama ada percubaan ini akan ditentang atau tidak bergantung kepada sejauh mana kefahaman masyarakat terhadap bahaya atau ancamannya terhadap mereka. Sebagai contoh bandingan, dalam masalah pandemik Covid-19 kita boleh lihat bagaimana berbezanya reaksi sesuatu negara dari negara yang lain. Bahkan ada negara yang pada mulanya bersikap acu tak acuh terhadap bahayanya sehinggalah keadaan mencapai tahap krisis yang besar dan amat sukar untuk diuruskan. Reaksi terhadap bahaya dan ancaman yang berbentuk pemikiran juga bergantung kepada tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat, dan inilah sebenarnya yang menyebabkannya lebih sukar kerana pemikiran yang salah tidak selalunya menyebabkan kemudaratan yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti kematian atau kecederaan.
Kalau sekiranya ramai dari Kaum Muslimin yang tidak memahami dengan baik perbezaan di antara agama yang benar dengan kebudayaan tidak mungkin mereka akan melihat bahaya di sebalik agenda yang cuba menyamakan agama dengan kebudayaan. Agama yang berpunca dari kebudayaan manusia sememangnya tidak akan dapat mengelak dari menempuh perubahan demi perubahan sehinggalah hilang rupa asalnya. Ini adalah hakikatnya apa yang berlaku kepada agama orang Barat sehingga menyebabkan mereka akhirnya menjadi sekular, dan itulah juga apa yang mereka mahu Kaum Muslimin lakukan terhadap agama Islam. Walau bagaimanapun, pengalaman sejarah orang Barat itu tiada kena-mengena dengan kita Kaum Muslimin, dan selagimana Kaum Muslimin tetap berpegang dengan yakin terhadap kebenaran Islam mereka takkan mengizinkan perubahan dilakukan terhadapnya kerana apabila sesuatu kebenaran itu diubah maka ia bukan lagi kebenaran.
Sekularisasi diasaskan kepada penafian terhadap hakikat rohaniah yang menjadi sandaran agama, sekaligus menafikan peranan agama dalam politik dan kehidupan akhlakiah. Dalam rangka pemikiran sekular agama hanyalah ‘alat’ negara yang boleh digunakan apabila diperlukan dengan tujuan untuk mengawal manusia, dan sebagai alat agama boleh dipinda, ditokok-tambah dan disesuaikan mengikut kegunaan. Justeru, kebebasan beragama hanyalah semata-mata bermaksud kebebasan untuk memilih cara hidup yang disukai, dan itu termasuklah cara hidup yang diasaskan kepada kepercayaan yang tidak diakui kebenarannya.
Waalau bagaimanapun, bagi seorang Muslim kebenaran itu lebih utama dari kebebasan, bahkan kebenaran itulah kemuncak kebebasan kerana seseorang yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan syak-wasangka terhadap kebenaran tidaklah boleh disifatkan sebagai seorang yang bebas apatah lagi untuk dikatakan telah maju dan berjaya. Selagimana akal fikirannya masih dibelenggu oleh kejahilan dan keraguan maka dia belum bebas. Dia hanya boleh dikatakan bebas apabila dia telah benar-benar menyedari tujuan dan tanggungjawabnya sebagai manusia dan berupaya melaksanakan segala tugas-tugasnya sebagai hamba Allah.
Justeru, tugas sebenar para ilmuwan adalah sebagai ‘pembebas’ manusia daripada belenggu kejahilan dan kekeliruan makna diri itu. Sehubungan dengan itu, sekularisme adalah suatu ideologi yang telah mengelirukan ramai manusia sehingga mereka tidak lagi mengenali makna diri sendiri dan terikut-ikut dengan cara hidup orang. Maka tugas para ilmuwan adalah menghalang manusia dari terjerumus ke dalam lembah kekeliruan itu. Oleh itu mereka berkewajiban menghalang segala percubaan untuk menyelewengkan pemikiran umat Islam melalui slogan-slogan yang berupa istilah-istilah agama yang telah dipinda pengertiannya sesuai dengan pemikiran sekular. Mereka juga tidak sepatutnya membiarkan diri diperalatkan oleh pihak yang berkepentingan tetapi sebaliknya terus tegas dan istiqamah memerangi segala bentuk penyelewengan yang menyesatkan umat.