Dilema yang melanda masyarakat Islam hari ini bukan setakat berkisar kepada makanan malah juga melibatkan dunia perubatan. Ia meliputi penjagaan kesihatan dan ubatan yang turut mengalami kemelut berhubung soal halal dan haram. Masyarakat Islam amat prihatin dengan penggunaan bahan bersumberkan babi kerana ia melibatkan persoalan halal dan haram serta menjadi satu persoalan dasar dalam setiap penjuru kehidupan. Lantaran isu penggunaan unsur babi dan bahan haram yang lain menjadi suatu permasahan yang tiada penghujungnya, maka tidak hairanlah ia sering menjadi fokus media dan bualan hangat di mana-mana.
Meninjau isu-isu terkini dalam dunia farmaseutikal, banyak perubahan dan perkembangan yang berlaku. Halal memasuki bidang farmaseutikal membawa kepada perubahan dalam penghasilan ubat yang ketat. Malaysia sendiri terkehadapan dalam dunia penghasilan vaksin dan biofarmaseutikal kerana telah mewujudkan standard MS 2424:2010. Ia merupakan satu perkembangan yang positif kerana kita amat bergantung kepada dunia luar dalam penghasilan ubat-ubatan.
Banyak sekali penggunaan unsur-unsur yang berasaskan babi dan benda haram menjadi bahan dalam penghasilan ubat-ubatan. Disebabkan penggunaan gelatin begitu meluas, masyarakat Islam juga berkemungkinan banyak terdedah kepada penggunaan ubat-ubatan haram disebabkan sumber gelatin yang tidak halal. Sebagai umat Islam, adakah kita dapat memastikan bahawa gelatin di dalam ubat yang kita telan adalah datang daripada sumber yang halal?
Di Malaysia, terdapat beberapa fatwa dan hujah telah diwartakan. Diharapkan ia mampu melegakan pengguna Islam dalam menangani kemelut berkaitan farmaseutikal. Sudah jelas apa yang telah diharamkan dalam Islam itu akan membawa kemudaratan. Begitu juga berkenaan dengan babi yang sudah jelas termaktub keharamannya dalam al Quran disebabkan kemudaratannya. Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada aliran yang menyatakan bahawa boleh menggunakan unsur babi jika tidak ada alternatif lain yang boleh digunakan. Dalam hal ini, Islam telah menetapkan kelonggaran atas prinsip darurat jika tiada alternatif selain daripada menggunakan unsur babi.
Daripada satu sudut lain, seandainya ubat-ubatan tersebut sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada ubatan lain yang menyamai fungsinya, terdapat kelonggaran yang membolehkan pengunaan ubat tersebut. Ia juga berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh pakar perubatan yang merawat dan lebih mengetahui tentang kondisi pesakit pada waktu kecemasan tersebut. Islam amat memudahkan dengan syarat ia digunakan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.
Walau bagaimanapun, umat Islam tidak seharusnya mengharap atau bergantung selamanya kepada prinsip darurat dalam mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu perkara. Masanya sudah tiba untuk bangun dan mengubah nasib ummah agar tidak dibelenggu dengan masalah sebegini. Syariat Islam sememangnya menyediakan jalan keluar bagi sesuatu yang rumit melalui prinsip darurat, tetapi umat Islam perlu insaf bahawa Allah sentiasa memberikan peluang kepada mereka untuk mengubah situasi kehidupan. Umat Islam tidak wajar bergantung kepada prinsip darurat ini sepanjang hidup, sebaliknya perlu mencipta suasana yang boleh menjamin keselesaan dalam kehidupan kerana ia juga adalah tuntutan utama Islam. Biarlah prinsip darurat itu menjadi jalan terakhir dalam keadaan apabila semua usaha telah dilakukan dan segala ikhtiar telah dilakukan. Dalam keadaan ini barulah tujuan pensyariatan darurat dalam syariat Islam tercapai dan diaplikasi dengan kaedah yang tepat
Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sampai bila prinsip darurat itu boleh digunakan bagi kita masyarakat Islam? Di sini, pentingnya pihak penguasa mengambil peranan yang sewajarnya kerana masyarakat Islam amat sensitif apabila melibatkan perkara yang berhubung dengan ubat babi. Jadi, sekiranya sudah ada alternatif yang boleh menggantikan ubat sedia ada daripada sumber babi dengan keberkesanan dan impak yang sama, mengapa hujah darurat masih lagi perlu digunapakai? Tidak timbul darurat disebabkan kos yang tinggi untuk pengeluaran ubat yang halal. Justeru, mampukah lagi masyarakat Islam menyedapkan hati dengan fatwa atau hujah darurat ubat tersebut memujarabkan jika keadaan sebegini berlaku dalam kehidupan mereka? Oleh sebab itu pihak berkuasa perlu mengambil langkah sewajarnya dalam hal sebegini kerana ia juga melibatkan penggunaan di hospital-hospital yang diakses oleh kebanyakan masyarakat Islam.
Pihak berkuasa perlu bersifat proaktif dalam menangani isu kehalalan produk farmaseutikal. Realiti pada hari ini, umat Islam masih lagi keliru dengan penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi adalah haram menurut Islam tetapi penjualannya masih lagi dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, keselamatan dan label produk yang menyatakan sumber haiwan yang digunakan. Ia dilihat untuk membolehkan mereka yang bukan beragama Islam menggunakannya dan orang bukan Islam mengelakkan daripada menggunakannya ataupun boleh menggunakannya jika atas dasar darurat seperti yang dibenarkan dalam Islam.
Oleh sebab itu, apa yang penting di sini ialah perlunya pengamal perubatan/doktor yang telus dan bertanggunggjawab untuk memberitahu tentang jenis ubat/sumber ubat yang dipreskripsikan kepada pesakitnya. Ketelusan pihak hospital dan pakar perubatan amat diharapkan masyarakat Islam dalam hal sebegini. Mungkin bagi masyarakat awam tidak mempunyai maklumat atau kekurangan maklumat berkenaan ubat apakah yang bakal dimakan atau digunakan. Jadi, menjadi satu kewajipan bagi pihak yang memberi rawatan agar memberitahu pesakit berhubung dengan rawatan dan ubat yang bakal diberikan.
Pengguna juga tidak dapat lari daripada perlu memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar tidak terpedaya atau kelesuan dalam mengikuti arus perdana. Sebagai pesakit atau pengguna, hak yang dimiliki perlu ditegakkan melalui maklumat yang sahih dan tidak mempunyai persepsi bahawa ubat yang halal sahaja yang akan dijual atau dipreskripsikan oleh doktor. Disebabkan itulah, kadangkala umat Islam sendiri terlepas pandang dan akhirnya tidak menyedari telah menggunakan ubat yang diharamkan dalam Islam. Kita yang sewajarnya mengambil/memulakan tindakan untuk mendapatkan perkhidmatan/ubatan yang terbaik demi kemaslahatan bersama.
Sebagai kesimpulannya, umat Islam seharusnya memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar lebih mudah menghadapi apa jua permasalahan yang melibatkan persoalan kehidupan. Usah mengeruhkan keadaan yang sedia keruh dengan maklumat yang tidak betul dan melampaui batas dalam memberikan justifikasi yang melibatkan persoalan halal haram yang akhirnya bakal menyusahkan masyarakat itu sendiri. Daripada sudut lain, umat Islam wajar terkehadapan dalam membuat penyelidikan dan penghasilan ubat-ubatan halal selaras dengan permintaan yang tinggi dan kebergantungan mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik selaras dengan tuntutan Islam