Jabir RA berkata, “Kami pernah berjalan bersama Nabi SAW pada satu peperangan, dan ada seorang lelaki berada di atas untanya. Unta orang Ansar itu berjalan lambat kemudian dia memaki untanya. ‘Berjalanlah semoga Allah melaknatmu.’ Rasulullah SAW bersabda kepada orang tersebut, ‘Turunlah engkau daripada unta tersebut. Engkau jangan menyertai kami dengan sesuatu yang telah dilaknat’.
Amat jelas pengajaran daripada kisah tersebut di mana Rasulullah SAW melarang untuk kita mencerca atau memaki disebabkan kemarahan sekalipun kepada binatang. Namun, bagaimana dengan dunia sekeliling kita pada hari ini? Memaki hamun, kata-mengata, cerca mencerca dan saling menuding jari mencari kesalahan orang lain sudah menjadi satu kelaziman. Malah ia tidak menimbulkan sebarang kekesalan setelah melangsaikan amarahnya.
Cercaan seringkali dihamburkan susulan daripada kemarahan yang dicetuskan. Seolah-olah ia berbalas-balas. Umat Islam pada hari ini seperti tidak mengetahui batasan dan membiarkan sifat mazmumah tersebut bermaharajalela dalam diri dan seterusnya menular kepada masyarakat sekeliling. Akhirnya ia menjadi satu kebiasaan yang seringkali diamalkan. Mereka mengorbankan nilai-nilai murni disebabkan hanya perbezaan fahaman politik atau berbeza pendapat dalam sesuatu perkara. Allah S.W.T berfirman dalam surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan manusia. Ingatlah Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan warna warni perkembangan politik. Sudah pasti pimpinan setiap parti membawa tiket perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita melihat dari sudut pandangan yang positif. Hal ini bermanfaat sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab dan etika yang betul sepertimana yang telah digariskan oleh syara’. Tidak menimbulkan kemarahan apatah lagi permusuhan. Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi selagi masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat diri dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah.
Cuma, kadang-kadang yang agak menjengkelkan ialah sifat sesetengah masyarakat yang berselisih pendapat, kurang matang dalam mengendalikan gelojak perbezaan yang akhirnya mencetuskan permusuhan dan pergaduhan. Menahan kemarahan yang timbul akan mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Namun, berapa ramai yang mampu membentengi diri dengan sifat sabar dan pemaaf? Malah suasana akan menjadi lebih tegang sekiranya kemarahan itu dizahirkan dengan kata-kata kesat dan maki hamun. Laman-laman sosial menjadi wahana untuk saling mencetuskan kemarahan, kata-mengata dan mengeji. Walaupun sesetengah daripada kita mempunyai lunas pandangan yang berbeza, bukanlah bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun perpaduan yang dijanakan atas dasar kerana Allah dengan syarat setiap ahli masyarakat perlu mempunyai adab-adab dan etika yang telah digariskan dalam Islam.
Untuk mengelakkan keadaan semakin kritikal, apabila marah, perlulah kita mengambil usaha untuk berdiam diri. Seringkali apabila seseorang marah, sukar baginya untuk menuturkan kata-kata yang baik. Maka kita disuruh untuk mendiamkan diri, seterusnya berfikir sejenak. Sekiranya dimarahi, kita juga perlu berdiam diri agar tidak mengeruhkan lagi suasana. Ia merupakan satu langkah yang terbaik dalam menenangkan keadaan yang sedia keruh. Sebagaimana sabda Nabi SAWyang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: “Apabila salah seorang antara kalian marah maka hendaklah dia diam.”
Daripada Sulaiman bin Shurad RA katanya: Saya duduk bersama Nabi SAW dan di situ ada dua orang yang saling maki-memaki. Salah seorang daripadanya itu telah merah padam muka dan membesarlah urat lehernya, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda:“Sesungguhnya saya mengetahui suatu kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (kemarahannya), iaitu andaikata dia mengucapkan “Aku berlindung dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam”, tentulah lenyap apa yang ditemuinya (kemarahannya) itu. Seseorang lalu berkata kepadanya (orang yang merah padam mukanya): “Sesungguhnya Nabi S.A.W. bersabda: Mohonlah perlindungan kepada Allah S.W.T daripada syaitan yang direjam.”
Tindakan-tindakan yang lahir daripada keadaan marah yang tidak terkawal meninggalkan kesan yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.Lihat sahaja orang terkenal dengan sifat pemarah, adakah disenangi oleh rakan-rakannya? Cercaan yang lahir daripada sifat marah akan menimbulkan ketegangan dan perpecahan hati sesama manusia. Menahan kemarahan dengan bersabar dan memaafkan kesalahan orang lain adalah satu sifat yang terpuji untuk mengelakkan perpecahan hati. Rasulullah SAW banyak mengajar dan memberi panduan kepada umat manusia dalam mengubati perasaan marah yang merupakan pintu masuk syaitan ke dalam diri manusia. Segeralah berwudhuk jika terdapat sesuatu yang menimbulkan kemarahan. Rasulullah S.A.W juga bersabda: Apabila salah seorang antara kalian marah sedangkan dia berdiri maka hendaklah dia duduk, agar kemarahannya hilang, apabila masih belum reda maka hendaklah dia baring. (Hadis riwayat Abu Daud)
Sungguh indah apa yang dilantunkan oleh Rasulullah SAW agar menjadi pedoman kepada umatnya. Ini kerana orang yang dikatakan gagah dan kuat ialah yang dapat menahan diri apabila dalam keadaan marah. Oleh itu, kita perlu menjadi kuat agar dapat menahan dan melawan perasaan marah apabila menjelma bukannya mengikut nafsu amarah tersebut. Dalam konteks masyarakat semasa, pergaduhan dan pertengkaran akibat kemarahan yang meluap-luap perlu dibanteras dalam diri agar ia tidak mengancam kesejahteraan masyarakat. Walaupun mempunyai pendapat dan fahaman yang berbeza, kaedah yang matang dan berkesan perlu digarapkan untuk mengelakkan permusuhan. Usah dipanjangkan amarah dan jalinkan muhibbah dalam kesabaran melawan api permusuhan.Ini kerana marah menimbulkan perpecahan maka ubatilah marah untuk mengelakkan perpecahan.