Keluarga adalah asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat dan negara. Bagi mewujudkan sesebuah masyarakat dan negara yang baik dan sihat, unit kekeluargaan perlulah berada dalam keadaan yang baik dan sihat juga. Kesihatan itu pula bukan hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan mental dan jiwa, kesetabilan emosi, kerohanian dan tingkahlaku. Terdapat beberapa perkara berkaitan dalam aspek pemantauan kesihatan mental ini yang perlu dilakukan bagi memastikan agar objektif penjagaan kesihatan mental, iaitu pemuliharaan kesihatan mental yang baik dan berkekalan, tercapai. Di antaranya ialah pemantauan, penilaian dan pemeriksaan, intervensi dan pencegahan serta rujukan. Semua aspek ini penting kerana ia adalah asas kepada penjagaan kesihatan mental yang baik.
Penjagaan kesihatan mental merujuk kepada sebarang usaha atau aktiviti yang dilakukan bagi memelihara situasi kesihatan mental supaya berada pada tahap yang berkekalan baik. Ia adalah satu proses dan proses ini bersifat anjal, iaitu ada naik dan turun, boleh menjadi positif atau negatif dan mempengaruhi status kesihatan mental seseorang itu. Memandangkan matlamat untuk mencapai dan memiliki tahap kesihatan mental yang baik adalah satu proses, maka ia memerlukan usaha dan pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian bagi mencapai matlamat itu. Satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan mental agar ia sentiasa terkawal dan dalam keadaan baik ialah pemantauan.
Pemantauan ialah satu proses yang melibatkan sebarang aktiviti pemerhatian. Apa yang ingin diperhatikan ialah mengenalpasti sebarang perubahan tidak wajar atau kemerosotan tahap kesihatan mental yang berlaku dalam anggota keluarga dan masyarakat agar perubahan tersebut tidak mendatangkan kemudharatan kepada sesiapa sama ada individu, keluarga atau orang ramai. Tanggungjawab dalam memantau sebarang perubahan yang berlaku kepada status mental dan emosi serta tingkahlaku seseorang itu sebenarnya adalah terletak kepada setiap anggota masyarakat, iaitu terdiri daripada ahli keluarga, seperti suami isteri atau pasangan, adik-beradik, anak-anak dan lain-lain. Turut berperanan ialah rakan, jiran tetangga, para guru dan majikan. Anggota masyarakat berperanan penting dan perlu memainkan peranan itu demi kesejahteraan anggota masyarakat di sekeliling mereka.
Proses pemantauan terhadap perubahan ini dilakukan bagi membantu dalam proses pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pihak berwajib. Manakala proses pemeriksaan pula dilakukan sebagai satu elemen penting untuk memantau perubahan itu. Adalah sesuatu yang tidak wajar apabila tiada sebarang aktiviti pemantauan atau pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang didapati telah menunjukkan ada perubahan yang pelik dan meragukan terhadap status mental dan emosi mereka. Keadaan ini telah menyebabkan individu terbabit tidak mendapat hak yang sewajarnya untuk menerima rawatan dan intervensi dalam penjagaan dan pemuliharaan masalah mental mereka. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai faktor yang menghalang individu daripada mendapat peluang dan kesempatan untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental, contoh seperti bebanan kemiskinan, kemudahan yang sukar diperolehi, dan juga masalah yang berkaitan dengan stigma buruk dan negatif oleh masyarakat. Segala halangan yang tidak membantu ini perlu dibanteras secara sistematik oleh penyedia perkhidmatan kesihatan mental.
Sebarang perubahan yang meragukan dan yang menunjukkan kemerosotan tahap kesihatan mental perlu dirujuk kepada pihak berwajib agar dapat dilakukan pemeriksaan lanjut bagi menentukan status sebenar tahap kesihatan mental seseorang itu. Matlamat utama dilakukan pemeriksaan ialah bagi menilai sejauh mana keseriusan yang dialami dan seterusnya mempastikan apakah kesan dan risiko yang bakal mengundang akibat daripada perubahan tersebut. Pemeriksaan dan penilaian dalam kesihatan mental sebenarnya melibatkan ujian dan pengukuran. Persoalannya ialah apakah yang ingin diuji atau diukur itu dan sejauh manakah ujian itu mampu menentukan status mental atau emosi seseorang serta menilai apakah risiko yang bakal dialami nanti? Persoalan lain yang timbul adakah individu yang dinilai itu benar-benar telah memberikan kerjasama dan memberi respon yang jujur dan menepati matlamat dilakukan penilaian? Walau apa pun keadaannya, adalah dituntut agar sebarang penilaian yang dilakukan itu memiliki tahap kesahihan dan ketepatan yang tinggi bagi menghasilkan respon dan keputusan yang benar-benar tepat dan dipercayai.
Timbul juga persoalan lain berkaitan pemeriksaan kesihatan mental ini, iaitu siapakah kumpulan sasaran yang perlu menjalaninya, adakah ia terdiri daripada individu yang dikhuatiri atau diragui status kewarasannya samata-mata, atau termasuk juga kepada sesiapa sahaja yang secara sukarela ingin mengetahui status dan risiko kesihatan mereka berkaitan kestabilan mental dan emosi. Namun pada hakikatnya, suasana semasa dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini berkaitan ujian kesihatan mental dan emosi khususnya, menyaksikan bahawa bukanlah menjadi sesuatu tuntutan kepada orang awam itu untuk menjalani ujian kesihatan mental, apatah lagi menjalaninya secara berkala atau tahunan. Keperluan ini tidak wujud lagi kerana masyarakat belum lagi dididik, atau mempunyai pengetahuan berkaitan keperluan untuk menjaga agar tahap mental dan emosi mereka sentiasa berada dalam keadaan yang stabil. Malah, rasional untuk mengadakan satu keperluan berkaitan ujian dan pemeriksaan berkaitan juga belum wujud lagi, walaupun perkhidmatan kesihatan mental telah lama wujud di pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, telah timbul beberapa saranan dan cadangan dari beberapa orang kuat agensi kerajaan untuk mengadakan ujian saringan kesihatan mental bagi pasangan yang bakal berkahwin, sama seperti ujian yang dikenakan kepada bakal pengantin dalam ujian saringan terhadap status jangkitan HIV dan lain-lain. Saranan ini perlu dilihat dari sudut yang positif kerana ia akan membawa banyak kebaikan, seperti hak untuk mendapatkan rawatan berkaitan yang lebih lanjut jika ada isu. Tetapi apa yang turut sama penting ialah ujian tersebut bukan hanya tertumpu kepada bakal pengantin, tetapi perlu diperluaskan melibatkan pasangan yang telah berkahwin dan berumahtangga, serta kepada seluruh anggota keluarga. Ini kerana institusi keluarga adalah amat penting, dan pelbagai faktor selepas alam perkahwinan turut mengganggu keharmonian mental dan jiwa mereka.
Selain itu, ada juga saranan agar ujian saringan dilakukan kepada bakal-bakal guru. Ia juga baik kerana mampu mengenalpasti pelbagai latarbelakang dalam diri dan personaliti para guru yang sebenarnya akan turut mempengaruhi pemikiran dan emosi mereka serta akhirnya menjejaskan proses pembelajaran di kalangan anak-anak murid mereka. Walaupun kesan dari masalah itu bukanlah sampai ke tahap tindakan undang-undang di negara ini, tetapi ia ada kesan perundangan jika mereka ini berada di luar negara dan jika ia berlaku, semuanya sudah terlambat.