Menurut Muhammad Siddiq Khan al-Qinnawji dalam kitabnya, Abjad al-`Ulum, matlamat khusus sesuatu penulisan adalah antara lain untuk menyebarkan perkara bermanfaat kepada masyarakat awam dan menjelaskan kebenaran atau menghilangkan keraguan. Justeru, berasaskan semangat itulah maka penulisan ini dihasilkan. Lebih jelas lagi, penulisan ini merupakan pandangan balas terhadap kenyataan yang dikemukakan Sisters in Islam (SIS) dalam salah sebuah akhbar tempatan pada 23 Januari yang lalu. Kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan sanggahan terhadap kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Januari. Dalam kenyataan beliau, Datuk Dr Asyraf menyeru agar golongan wanita dan penyokong gerakan kewanitaan memberikan sokongan terhadap pindaan yang dicadangkan. Hal ini disebabkan pindaan tersebut bertujuan mempertahankan mereka daripada perbuatan-perbuatan yang memangsakan mereka.
Sanggahan yang diberikan SIS itu turut disertai pengulangan bahawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 sebagai tidak menyokong feminisme atau tidak membela wanita, tidak adil, dan tidak Islamik. Ditinjau dari sudut pentakrifannya, feminisme bermaksud faham yang menuntut persamaan hak untuk wanita. Faham ini merupakan suatu teori sosial dan gerakan politik dalam masyarakat barat yang mendokong persamaan hak tanpa mengira jantina dalam setiap aspek kehidupan. Jelas bahawa faham feminisme ini adalah asing dan berbeza sama sekali dengan pandangan alam Islam. Justeru, ia adalah tidak relevan sama sekali dengan masyarakat dan negara Islam. Hal ini misalnya jika kita mengambil kira bahawa segala bentuk kekangan undang-undang dan budaya terhadap wanita dianggap oleh pendukung fahaman ini sebagai perlu dihapuskan bagi memastikan persamaan tercapai. Kekangan yang dimaksudkan termasuklah agama kerana dalam kesedaran masyarakat barat sekular, agama merupakan sebahagian kebudayaan, iaitu hasil ciptaan manusia. Menyentuh tentang persamaan, kita tidak menemui perintah dalam al-Qur’an supaya “menyamakan’” Sebaliknya Allah SWT hanya memerintahkan supaya dilaksanakan keadilan kerana keadilan dalam semua keadaan adalah baik. Kesamaan dalam banyak keadaan merupakan kezaliman, iaitu bertentangan dengan keadilan. Dalam hubungan ini, kita mendapati banyak peringatan agar tidak menyamakan martabat dan darjat manusia kerana ia tidak sama di sisi Allah (Surah Ali `Imran 3 : 163, Surah al-An`am 6 : 83, 131, & 165, dan Surah al-Mujadalah 58 : 11).
Selanjutnya keadilan pula memberikan maksud bahawa setiap sesuatu berada di tempatnya yang sebenar. Hal ini disebabkan setiap sesuatu telah pun ditentukan tempatnya. Dalam hubungan ini, manusia sebagai khalifah Allah berperanan memastikan bahawa ketetapan yang telah ditentukan itu benar-benar terlaksana. Manakala Islam pula dijelaskan dalam Hadith Nabi SAW yang panjang dan diriwayatkan Abu Hurairah R.A. Bahawa Islam meliputi tiga asas utama, iaitu akidah, ibadah, dan akhlak yang semuanya merupakan syari`ah atau undang-undang Allah. Oleh yang demikian, individu yang mengakui dirinya sebagai Muslim mesti menerima dan melaksanakan ketiga-tiga asas penting ini dalam kehidupannya tanpa sebarang dalihan.
Sebagaimana telah kerap kali dijelaskan, Akta 355 dibentuk berasaskan punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senara Negeri, Butiran 1. Oleh yang demikian, dengan punca kuasa tersebut maka Akta 355 merupakan akta yang sah yang telah dibuat menurut peruntukan perlembagaan. Justeru, sebagai warga negara, setiap individu mesti menerima dan mengiktiraf kedudukan Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Selain pengiktirafan, setiap warga negara perlu memberikan sokongan terhadap apa juga langkah yang dilakukan bagi memartabatkan kedudukannya sebagaimana yang dinikmati oleh Mahkamah Sivil. Hal ini termasuklah melalui pindaan yang dicadangkan. Apatah lagi dengan mengambil kira bahawa kali terakhir pindaan dilakukan terhadap akta berkenaan ialah pada tahun 1984. Jika dibuat perbandingan, sebagai contoh pindaan telah sering kali dilakukan terhadap Kanun Keseksaan dengan mengambil kira tuntutan atau keperluan semasa. Misalnya, pindaan dilakukan dengan memasukkan seksyen 130QA, iaitu berkaitan dengan kesalahan menerima suapan untuk memudahkan atau membolehkan perbuatan keganasan dilakukan. Peruntukan ini menetapkan hukuman mati bagi kesalahan yang menyebabkan kematian selain hukuman penjara tidak kurang daripada tujuh tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun di samping denda.
SIS turut menekankan bahawa sekiranya pihak-pihak yang berkaitan benar-benar prihatin akan hak-hak wanita maka Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta/Enakmen Jenayah Syariah yang ada kini hendaklah dipinda serta dikaji semula. Menurut pertubuhan itu lagi, peningkatan hukuman semata-mata tidak menangani masalah sebenar dalam Mahkamah Syariah. Misalnya diskriminasi terhadap kaum wanita, kelemahan pelaksanaan undang-undang, dan ketiadaan sensitiviti dalam kalangan kakitangan Mahkamah Syariah terhadap isu gender. Perlu ditegaskan bahawa kepemimpinan negara sentiasa peka akan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung dengan Mahkamah Syariah. Justeru, pelbagai bentuk perubahan dan penambahbaikan terhadap Mahkamah Syariah diusahakan dan sedang berjalan.
Penambahbaikan itu pula bukan hanya semata-mata melibatkan pindaan yang dicadangkan, iaitu dengan meningkatkan hukuman yang ada. Sebaliknya, ia membabitkan pelbagai kaedah dan pendekatan yang lain. Hal ini dapat dilihat misalnya dengan penubuhan Jawatankuasa Pindaan Undang-Undang Kekeluargaan Islam. Jawatankuasa ini turut berperanan menerima semua pendapat yang diberikan selagi ia bertepatan dan bersesuaian dengan prinsip-prinsip syarak. Demikian juga dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Selanjutnya pula ialah pelantikan hakim-hakim wanita untuk turut memainkan peranan dalam pelaksanaan keadilan yang berkesan. Khusus berkaitan dengan sensitiviti terhadap isu gender, pihak mahkamah sentiasa mengingatkan kakitangannya akan kepentingan kepentingan pelaksanaan keadilan tanpa mengambil kira gender atau latar belakang pihak-pihak yang berurusan dengan mereka.
Meskipun telah banyak usaha penambahbaikan dilaksanakan, kepemimpinan negara dan pihak mahkamah menyedari bahawa masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan. Hal ini bagi memastikan keadilan benar-benar kelihatan terlaksana. Misalnya langkah-langkah bagi mengatasi halangan pentadbiran, perubahan daripada sistem adversarial kepada inquisitorial, persekitaran mahkamah yang lebih baik, latihan untuk para hakim khususnya di negara-negara yang mempamerkan sistem keadilan yang sistematik, lancar, dan berkesan, kreativiti dalam penghakiman, pewujudan sistem sokongan seperti unit kaunseling dalam bidang kuasa mahkamah selain juga sokongan padu pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran kes. Oleh sebab peningkatan hukuman sedia ada dalam Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah atau Akta 355 telah dijadikan polemik dan dipolitikkan, maka ada baiknya juga kajian khusus dilakukan. Kajian tersebut bertujuan mengenal pasti hubungan antara hukuman yang ringan dengan kesalahan yang dilakukan, misalnya pelanggaran perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
SIS turut mendakwa bahawa Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sering kali terpakai atas kaum wanita, golongan transgender dan individu yang status ekonomi mereka adalah lebih rendah. Sekiranya hukuman sedia ada telah memberikan kesan terhadap kehidupan golongan transgender, maka ia akan menyebabkan lebih banyak diskriminasi terhadap mereka. Sayugia diingatkan bahawa undang-undang tidak memiliki niat buruk terhadap mana-mana kumpulan atau gender. Setiap yang bersalah tetap bersalah dan perlulah menjalani hukuman yang ditetapkan. Walau apa pun juga jumlah hukuman yang ditetapkan, ia masih bergantung pada budi bicara mahkamah. Pada prinsipnya, pihak mahkamah melaksanakan hukuman yang adil pada kesnya. Justeru, tidak wajar sama sekali wujud prasangka buruk terhadap mahkamah untuk melakukan diskriminasi dalam aplikasi hukuman. Selain itu, bagi pihak mahkamah, berbanding pemenjaraan atau denda, penekanan lebih wajar diberikan kepada aspek pemulihan pesalah. Sebagai contoh ialah pesalah didedahkan pada kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong royong di tempat-tempat tertentu seperti masjid. Hal ini khususnya melibatkan pesalah yang melakukan kesalahan yang memberikan kesan terhadap masyarakat. Dalam hubungan ini, masyarakat berhak untuk menyuarakan pandangan untuk memastikan jenayah dapat dikurangkan.
Polemik yang tidak berkesudahan hanya membazirkan masa. Sementara impian murni demi kemasalahatan bukan sahaja umat Islam tetapi segenap lapisan rakyat negara ini masih belum berupaya dilaksanakan. Justeru, seluruh warga negara ini tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum seharusnya memberikan sokongan terhadap apa juga syor bagi meningkatkan sistem pentabiran keadilan negara ini. Dalam situasi genting seperti ini, kewarasan, kejujuran, dan kematanganlah yang akan mendorong kita untuk bertindak secara bijaksana serta tidak beremosi atau sebaliknya.