Komunikasi mempunyai peranan penting dalam kejayaan sesebuah organisasi. Pemimpin organisasi yang bijak berkomunikasi dan sentiasa berusaha mempertingkatkan keberkesanan komunikasi akan menjadi pemimpin yang dihargai dan berjaya dalam mencapai hasrat dan matlamat dirinya serta organisasi.
Komunikasi kepimpinan dianggap penting kerana ia menjadi perantaraan antara pemimpin dengan pengikut dalam sesebuah organisasi. Apatah lagi setiap pemimpin terlibat dalam berkomunikasi di semua peringkat organisasi. Di setiap peringkat itulah pemimpin akan berhubung dengan pengikutnya dengan pelbagai tujuan termasuklah menyampai dan memberi arahan, amanat, taklimat dan penjelasan, memberi tunjuk ajar, teguran dan nasihat, mempengerusikan mesyuarat, menyelia, menyelaras dan sebagainya.
Dalam menyampaikan arahan dan amanat atau visi organisasi, pemimpin akan berkomunikasi dengan pekerja. Arahan dan amanat disampaikan melalui pelbagai kaedah seperti ucapan di dalam perhimpunan, email, surat-menyurat, hebahan di laman web dan sebagainya. Hebahan maklumat seperti ini juga memerlukan komunikasi yang baik terutama dalam menjaga tutur kata dengan bersopan kerana Allah SWT memberi tuntutan kepada manusia agar berbicara dengan perkataan yangbaik dan membiasakan diri dengan ucapan-ucapan yang elok dan sesuai kerana ia dapat menyuburkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan orang yang dipimpin.
Sebagaimana firman Allah SWT “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): ‘Janganlah kamu menyembah melainkan kepada Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, anak yatim dan orang-orang miskin, dan katakanlah sesama manusia perkataan-perkataan yang baik…’ (al-Baqarah, 2:83)
Sebagai pemimpin juga mereka kadang-kala akan turut sama berhujah terutama semasa menyampaikan pengucapan awam. Dalam situasi ini sebagai seorang pemimpin perlu berusaha mengelakkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan kontroversi. Ini kerana tujuan utama berhujah bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi lebih kepada menyerlahkan kebenaran. Sebagaimana firman Allah SAW, “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka…” (al-Ankabut, 29:46)
Selain itu, dalam berkomunikasi ini setiap pemimpin perlu mempunyai sifat empati yang tinggi dan peka kepada perasaan orang yang dipimpin. Mereka perlu memahami situasi dan keadaan pekerja di bawah mereka. Sepatutnya arahan yang diberikan perlu jelas dan mudah difahami dengan menggunakan bahasa yang mudah. Arahan juga perlu diberikan dalam keadaan tenang dan penuh berdiplomasi. Perkara ini perlu ditekankan kerana tidak semua anggota organisasi mempunyai tahap ilmu dan kemampuan yang sama.
Penggunaan bahasa yang tidak difahami akan menyukarkan komunikasi dan menghalang penerimaan mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh dalam hal ini, Allah SWT telah mengutuskan setiap rasul menggunakan bahasa kaum mereka supaya kaum mereka dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. (Ibrahim, 14:4)
Di samping itu, usaha mempertingkatkan komunikasi kepimpinan turut memerlukan seseorang pemimpin itu menguasai kemahiran berkomunikasi menerusi penggunaan teknologi maklumat (ICT). Ini juga merupakan suatu cabaran terbesar bagi pemimpin hari ini. Memandangkan kebanyakan pekerja hari ini terdiri daripada Generasi Y yang membesar dalam suasana ICT, maka pemimpin juga seharusnya menguasai kemahiran berkomunikasi menggunakan ICT dengan baik. Pemimpin tidak sepatutnya bersikap ‘allergic’ terhadap perkembangan ICT. Oleh yang demikian, pemimpin perlu berani menerokai keluasan dunia ICT seiring dengan kepantasan perkembangan dunia tanpa sempadan hari ini. Sikap pemimpin yang menolak teknologi komunikasi itu akan menjadikan mereka agak terkebelakang dari segi mendapat maklumat terkini sedangkan pengikutnya celik atau mahir dari segi penggunaan peralatan tersebut.
Oleh sebab itu, adalah penting para pemimpin dapat menguasai teknologi komunikasi semasa yang bergerak pantas hari ini, bukan sama sekali menolak terus teknologi tersebut. Apatah lagi berkomunikasi di alam maya yang telah menjadi trend hidup masa kini. Penggunaan What’sApp, We Chat, Twitter, Facebook, dan Line adalah antara contoh bentuk komunikasi sekarang. Hampir setiap pekerja mempunyai akaun facebook atau What’sApp, mereka sendiri. Kepelbagaian alat komunikasi seperti telefon pintar, tablet, komputer, email, faks dan lain-lain kemudahan komunikasi hari ini sebenarnya turut membantu dalam menjalankan urusan komunikasi kepemimpinan antaranya memudahkan pemimpin berhubung atau berkomunikasi dengan pengikutnya tanpa mengira batas sempadan. Justeru, pemimpin juga perlu mahir berkomunikasi dengan pekerjanya dalam dunia maya.
Kesimpulannya, usaha mempertingkatkan komunikasi kepimpinan adalah penting diberikan keutamaan kerana dapat membantu menjamin suasana kerja yang lebih harmoni dan kondusif serta berupaya menjadi inspirasi kepada pengikutnya untuk terus memberi komitmen kepada organisasi, seterusnya mencapai matlamat organisasi.