Imunisasi atau vaksinisasi merupakan salah satu cara yang efektif untuk perlindungan kanak-kanak mahupun masyarakat secara umumnya daripada penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin. Mutakhir kini, trend ibu bapa yang gusar dengan program vaksinasi yang dilaksanakan oleh kerajaan menunjukkan peningkatan. Natijahnya, penyakit berjangkit yang sebelum ini dapat dikawal, telah muncul kembali dan menjadi ancaman kepada masyarakat. Kebimbangan golongan ini terhadap kemanfaatan vaksin memberikan mereka pilihan untuk tidak memvaksinkan anak tanpa menyedari bahawa keengganan mereka akan meletakkan tahap kesihatan masyarakat awam pada tahap berisiko tinggi dan terancam.
Isu halal dan haram vaksin merupakan antara penyebab sesetengah ibu bapa enggan menvaksinkan anak-anak mereka. Isu ini tidak mempunyai penamat dan akan berterusan digembar-gemburkan oleh mereka yang tidak meletakkan kepercayaan penuh kepada golongan pemerintah atau badan berautoriti. Sewajarnya umat Islam tidak perlu terlampau risau tentang status halal sesuatu vaksin kerana badan-badan berwajib sudah dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan keselamatan bahan yang terkandung dalam vaksin untuk penggunaan umat Islam. Pihak berwajib tersebut mempunyai kredibiliti untuk mengawal dan mengendalikan isu halal dan haram sesuatu vaksin atau ubatan yang melibatkan sensitiviti umat Islam. Justeru, umat Islam harus bersangka baik dan meletakkan kepercayaan serta sandaran kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas serta tidak terlampau dalam hal-hal yang boleh menjurus kepada kekeliruan dan keributan masyarakat.
Namun, sekiranya penolakan terhadap vaksin ini disebabkan kesangsian dan dakwaan terhadap sumber yang tidak halal, maka umat Islam seharusnya menyahut cabaran mempelopori dan menggiatkan industri vaksin halal. Menjadi suatu tanggungjawab bagi penggiat industri farmaseutikal muslim untuk bangun dan mengubah keraguan ummah agar tidak dibelenggu dengan dilema ini serta menyediakan jalan keluar yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, satu persoalan yang timbul iaitu adakah dengan penghasilan vaksin halal dapat merungkai permasalahan ibu bapa yang enggan memvaksinkan anak-anak mereka menyertai program imunisasi yang disedia dan diatur oleh pihak berwajib?
Maka, tanggungjawab ini juga perlu dipikul dan dimainkan oleh kerajaan dalam mempromosi serta mengawal atur program vaksinasi yang sedia ada untuk meningkatkan keyakinan masyarakat awam terhadap kemanfaatan dan keselamatan vaksin tersebut. Ini termasuklah melaksanakan usaha penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dalam mengenalpasti kesan baik dan buruk serta memastikan akses terhadap program imunisasi dapat dinikmati dalam jangka masa panjang oleh semua golongan tanpa mengira bangsa, keturunan, gender, agama mahupun warganegara.
Di samping itu, umat Islam perlu merintis usaha mengisi kelompangan yang sedia ada dengan membangunkan sektor vaksin halal dalam industri penjagaan kesihatan. Ini bertujuan untuk meraih kepercayaan masyarakat khususnya umat Islam yang mencari vaksin dari sumber halal dan tayyib. Pembangunan vaksin halal ini bukan meletakkan keuntungan semata-mata tetapi lebih menjurus kepada menjaga kemaslahatan ummah serta memelihara kelangsungan generasi yang sihat. Ini kerana, sekiranya orientasi keuntungan lebih diutamakan, barangkali elemen kemanfaatan, keselamatan dan keberkesanan tidak lagi menjadi fokus utama bagi pengeluar vaksin halal. Ini akan mencacatkan tujuan sebenar inisiatif pembangunan vaksin halal demi menjaga kemaslahatan ummah.
Apabila konsep imuniti kelompok (herd immunity) dibangkitkan, maka secara tidak langsung, bersangkut dengan kelompok masyarakat dan bukan hanya kepentingan individu atau golongan tertentu. Begitu juga dengan matlamat pembangunan vaksin halal bukanlah untuk mencapai kepentingan dan keuntungan individu atau sesetengah golongan tetapi ummah secara keseluruhannya. Sebarang usaha yang melibatkan vaksin, maka akan juga berkait dengan masyarakat secara umumnya. Ini bukan hanya dilihat daripada kesan kesihatan malah juga kemanfaatan dari segi ekonomi.
Umat Islam yang terkehadapan dalam sektor vaksin halal akan mencetuskan peluang perniagaan selain daripada mempertingkatkan inovasi dan daya saing dalam kalangan penggiat industri. Selain melegakan kebimbangan dan menjadi tempat sandaran masyarakat Islam dengan pembuatan vaksin halal, usaha tersebut akan meningkatkan ekonomi negara. Di samping itu, mampu menampung permintaan bekalan vaksin halal negara Islam lain yang sedang membangun.
Kewajaran penggunaan vaksin menepati maqasid syariah diantaranya ialah dari sudut penjagaan harta benda (hifz al-mal). Bagaimanakah dengan pembangunan vaksin halal mampu memberi manfaat sosioekonomi kepada ummah? Pemvaksinan mampu menjimatkan ekonomi negara kerana pemberian vaksin sebagai langkah pencegahan mampu mengurangkan kos rawatan yang lebih tinggi sekiranya berlaku penyakit cegahan vaksin tersebut. Kos yang efektif ini juga akan memberi kesan kepada status ekonomi dan kesihatan masyarakat. Malah dengan pembangunan vaksin halal yang dimajukan sendiri oleh umat Islam akan menguatkan dan memantapkan lagi ekonomi ummah dengan menyediakan peluang-peluang yang lebih banyak. Walaupun proses penghasilan dan penyelidikan vaksin halal menelan kos yang tinggi dan mengambil masa yang agak lama, tetapi pulangannya lebih berbaloi dari sudut kesihatan, ekonomi, sosial dan juga aspek agama. Maka, dengan penghasilan vaksin halal tersebut diharapkan dapat memberi kelegaan kepada umat Islam serta tidak menjadikan elemen agama (halal dan haram) sebagai penyebab penolakan imunisasi bagi anak-anak mereka.
Umat Islam perlu mengambil inisiatif untuk menerokai pasaran halal khususnya vaksin dan farmaseutikal. Bekalan vaksin sedia ada yang dihasilkan oleh syarikat multinasional juga terhad disebabkan permintaan yang tinggi. Maka menjadi satu fardhu kifayah bagi umat Islam untuk melebarkan sayap penerokaan vaksin halal yang kini menjadi satu keperluan. Umat Islam wajar terkehadapan dan tidak selamanya bergantung kepada apa yang sedia ada malah pengkajian dan pembangunan yang lebih baik amatlah diperlukan. Ini merupakan tuntutan utama dalam Islam di mana kita bertanggungjawab mencipta suasana yang boleh menjamin keselesaan dalam kehidupan. Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diteruskan dalam penerokaan serta penghasilan vaksin halal yang terbaik bagi memenuhi kebergantungan umat Islam dalam mendapat penjagaan kesihatan yang lebih baik menerusi vaksin mahupun farmaseutikal halal.