Media sosial merupakan medium paling berpengaruh dalam menyebarkan maklumat. Penyebaran maklumat atau sinonimnya disebut viral bermaksud berkongsi apa jua maklumat yang berupa video, berita dan imej secara pantas melalui internet.
Maklumat yang diviralkan boleh jadi perkara betul atau palsu; boleh jadi perkara benar mahupun salah. Jika perkara yang baik diviralkan pastinya kita akan mendapat manfaat dan pahala berterusan sampai akhirat namun jika viral perkara yang tidak tepat tentang perkara yang sebenar berlaku dibimbangi mengundang fitnah dan dosa sehingga akhirat.
Viral di laman sosial ini jika tidak diurus dan dipantau dengan baik akan mendatangkan satu suasana yang sangat bahaya. Antaranya penyebaran maklumat palsu, penyebaran fitnah dan keinginan untuk membuka aib orang lain di media sosial berleluasa.
Pun begitu, ada segelintir individu yang memang suka menyebarkan maklumat, berita, cerita dan video-video yang tidak baik, malah apa sahaja yang dilihatnya di media sosial pantas sahaja jari-jemarinya itu menekan butang share tanpa usul periksa. Kadang-kadang perkara yang dikongsi itu tidak langsung ada kena-mengena dengannya. Apabila diviralkan benda tidak elok sebegini maknanya dalam masa yang sama kita telah menunjukkan keburukan akhlak kita sendiri yang tidak baik. Itu pun kadang-kala kita tidak sedar.
Hasilnya bukan sahaja maklumat diviralkan itu mengundang dosa dan fitnah malah bagi yang gagal mengawal emosi ada sahaja reaksi caci-maki dan tambah-menambah cerita yang tidak pernah berlaku. Seolah-olah hari ini dosa dan fitnah boleh beranak-pinak dengan cepat. Apakah kita tidak pernah terfikir hasil perbuatan mengviralkan perkara yang tidak benar dan dikongsi serta disebarkan pula oleh orang lain? Akibatnya kemungkinan kita juga akan terpalit sebagai pencetus kepada fitnah tersebut.
Apa yang lebih membimbangkan viral ini bukan sahaja mudah tersebar tanpa diminta bahkan ia juga mudah dicapai hanya dihujung jari dan boleh diakses ke seluruh dunia. Tambahan pula boleh dikatakan lebih daripada lima puluh peratus tumpuan golongan muda bergantung kepada media sosial setiap hari untuk mendapatkan berita secara online melalui telefon pintar, tablet atau menerusi komputer riba.Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat sememangnya telah membuka peluang yang amat besar kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu. Golongan seperti ini sentiasa menanti peluang dan ruang untuk mencapai keinginan mereka. Mereka akan merasa puas apabila sesuatu berita itu yang tidak benar tersebar.
Apatah lagi dengan adanya kemudahan seperti telefon pintar dan tablet memudahkan lagi perkongsian sesuatu maklumat tersebar dengan cepat menerusi kemudahan aplikasi WhatsAppgroup. Bayangkan jika satu-satu group itu terdiri daripada seratus orang ahli, berapa ramai akan mendapat sesuatu berita palsu jika ia dikongsi kepada lima hingga enam di dalam WhatsAppgroup yang lain?
Begitu juga ada yang sanggup viralkan imej yang boleh mengaibkan seseorang dengan berkongsi gambar palsu. Sebagai contoh ada yang berkongsi gambar dengan mendedahkan badan dan wajah individu yang berbeza semata-mata untuk mengaibkan individu tersebut. Persoalannya adakah dengan membuka aib orang lain, individu tersebut berasa jiwanya tenang? Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah pasti menutup aibnya di dunia dan akhirat.” Apakah tawaran itu tidak lumayan buat kita?
Sewajarnya sebagai seorang Muslim kita harus menggunakan kemajuan teknologi komunikasi ini sebagai medan untuk berdakwah secara berhikmah. Meskipun media sosial ini dianggap khazanah yang menyajikan beraneka jenis maklumat, namun ada yang berupa maklumat yang perlu diproses dan ditapis terlebih dahulu.
Dalam menentukan keutamaan maklumat ini telah dijelaskan oleh al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (Al-Hujurat: 6).
Ayat tersebut menuntut agar kita menyelidik terlebih dahulu sumber maklumat sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya. Memang benar, kita boleh membaca dan mendengar semua berita tetapi tidak semua cerita atau berita itu kita boleh berkongsi bersama. Kita perlu menapis terlebih dahulu apa yang kita dengar dan lihat serta berfikir sebelum berkongsi dengan rakan-rakan lain di laman sosial. Manakala sebarang maklumat yang menyeleweng serta bahan-bahan paparan yang memberi kesan negatif kepada fikiran perlu dihindarkan. Ini kerana ada maklumat palsu yang dikongsi di media sosial tanpa kesahihan.
Dalam menangani hal ini kita mengharapkan agar masyarakat khasnya pengikut laman sosial sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan dengan beberapa isu dan maklumat yang belum tentu kesahihannya. Kita perlu sentiasa diingatkan supaya sebelum berkongsi apa jua maklumat dengan rakan-rakan kita perlu tahu bahawa sumber tersebut diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah peranan kita untuk terlebih dahulu merujuk sumber yang dinyatakan atau tunggu kenyataan rasmi sebelum menyebarkan sesuatu perkara.
Selain itu, ilmu agama yang dimiliki turut memainkan peranan penting yang boleh bertindak selaku sistem penapis minda dalam membentuk minda yang sihat dan sejahtera. Dengan adanya ilmu agama kita bukan sekadar menjadi pengguna dan pengikut media sosial yang biasa-biasa sahaja bahkan mampu untuk berjihad. Berjihadlah dengan penuh berhikmah dengan menyaring terlebih dahulu segala maklumat; tidak semua maklumat boleh diterima bulat-bulat dan terus disebarkan menerusi WhatsApp, Instagram, Facebook dan sebagainya.
Kita juga perlu ingat anggota kita ini akan menjadi saksi semasa di akhirat. Dalam al-Quran Allah turut berfirman yang bermaksud “Pada hari ini kami tutup mulut mereka; tangan mereka yang akan berkata kepada kami dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan” (Yassin: 65).
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjaga anggota kita ini untuk memulakan perkara yang baik. Janganlah kita menjadikan alam maya terutama di media sosial sebagai wakaf dosa. Sentiasalah berwaspada dengan perkara yang ingin dikongsikan dibimbangi perkara yang diviralkan itu boleh mengundang fitnah dan dosa yang berpanjangan.