Pada 16 Mac yang lepas, pihak Bank Dunia ada mengeluarkan satu laporan yang bertajuk “Aiming High: Navigating the next stage of Malaysia’s development.” Intipati laporan ini adalah berkaitan dengan unjuran pihak Bank Dunia bahawa Malaysia akan melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi pada satu ketika di antara tahun 2024- 2028.
Menurut laporan tersebut, nilai ambang pendapatan negara kasar (PNK) per kapita yang diperlukan bagi membolehkan sesebuah negara itu dianggap sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi ialah AS12, 535. Buat masa sekarang PNK Malaysia berada pada tahap AS11,200. Ini bermakna negara hanya perlu mencapai tambahan sebanyak AS1,335 lagi kepada PNK yang ada sekarang bagi membolehkannya melepasi nilai ambang tersebut.
Analisis di dalam laporan Bank Dunia ini juga turut menyatakan bahawa bagi membolehkan Malaysia beralih dengan jaya kepada sebuah negara berstatus berpendapatan tinggi dan maju, reformasi atau perubahan ke atas 6 sektor yang saling berkaitan yang telah dikenal pasti perlu dilakukan – menggiatkan semula pertumbuhan jangka panjang, meningkatkan daya saing, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, memodenkan institusi, mempromosikan inklusi dan membiayai kemakmuran bersama.
Secara idealnya, pendapatan yang tinggi membantu isi rumah untuk menjalani satu gaya hidup yang berkualiti dan bermaruah. Namun jika kita melihat kepada negara-negara berpendapatan tinggi yang ada sekarang terutamanya di sebelah Barat, status yang diperolehi belum dapat menjamin bahawa setiap ahli masyarakat mendapat keadilan sosial daripada kemajuan ekonomi yang dicapai oleh negara-negara terebut. Ini kerana PNK adalah berdasarkan kepada pendapatan purata penduduk.
Di kebanyakan negara, ketaksamaan kekayaan dalam kalangan penduduk meningkat dengan pesat. Secara teorinya ini akan menyebabkan nilai kekayaan purata individu dalam negara tadi juga akan meningkat walaupun secara realitinya ramai yang langsung tidak mendapat kenaikan upah atau hanya mendapat kenaikan gaji yang sedikit sahaja. Sebagai contoh, menurut United Stated Census Bureau, pada 2019, walaupun purata pendapatan perkapita penduduknya ialah AS34,103 namun hampir 33 juta penduduk Amerika Syarikat hidup di bawah paras kemiskinan. Manakala 567,715 penduduknya pula hidup secara bergelandangan (homeless) dengan New York, Hawaii dan California mempunyai kadar golongan gelandangan kepada bilangan penduduk yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Amerika Syarikat. Contoh ekstrem lain ialah Bermuda – sebuah negara syurga cukai bagi jutawan yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkapita antara yang tertinggi di dunia tetapi sebahagian besar penduduknya bekerja dalam industri perikanan yang hanya menerima upah yang kecil sahaja.
Malaysia sudah tentunya tidak mahu menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi pada masa yang sama kekayaan tadi tidak dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua warganegara seperti contoh-contoh yang dinyatakan sebelum ini. Namun pada masa yang sama kita perlu menerima hakikat bahawa Allah SWT tidak menjadikan manusia ini sama baik dari segi kekayaan mahupun keupayaan akal. Ini ada dijelaskan menerusi ayat ke-32 Surah al-Zukhruf. Ini merupakan satu hikmah Allah SWT dalam penciptaan makhluk. Jadi dalam hal ini, walaupun negara akan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada suatu ketika nanti, isu kemiskinan dalam kalangan penduduk dan ketaksetaraan pembangunan wilayah sedikit sebanyak tetap akan wujud. Bagaimanapun ini bukanlah satu halangan untuk kita tidak berusaha menjadi sebuah negara maju (dan berpendapatan tinggi) mengikut acuan sendiri.
Dalam hal ini, enam cadangan yang dikemukakan oleh pihak Bank Dunia di dalam laporan tersebut juga wajar diberi pertimbangan oleh pihak berwajib terutama yang berkaitan dengan aspek mempromosi inklusi dan (membiayai) kemakmuran bersama.
Sebenarnya Malaysia sudah mempunyai satu wawasan pembangunan yang holistik yang bukan sahaja dapat menjurus ke arah pencapaian status negara maju tetapi juga melangkaui konsep negara berpendapatan tinggi yang dianjurkan oleh dunia Barat.
Pada 5 Oktober 2019 kerajaan Malaysia telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Mungkin disebabkan perubahan tampuk kepimpinan negara dan isu pandemik Covid-19 yang berlaku selepas pelancarannya, WKB 2030 ini kurang diberi perhatian. Wawasan ini merupakan satu iltizam pihak pemerintah untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Di samping itu WKB 2030 ini menyasarkan penyatuan negara bangsa menerusi perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum tanpa ada rasa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya.
Dengan menjadikan unsur keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman sebagai prinsip kepada pengagihan ekonomi; jika dilaksana dengan penuh iltizam, WKB 2030 ini mampu untuk mengurangkan jurang pendapatan yang ada dalam komuniti.
Pembangunan yang mampan tidak boleh dicapai tanpa kestabilan sosial. Pengukuhan perpaduan dalam kalangan kaum akan menjadi pemangkin kepada proses pembangunan yang dilakukan ini kerana setiap individu tanpa mengira latar belakang etnik mahupun keturunan akan mengenepikan perbezaan yang ada dan berusaha secara kolektif dan harmoni ke arah merealisasikan wawasan bersama.
Tidak seperti matlamat pembangunan biasa yang memfokuskan kepada aspek pertumbuhan yang dinilai menerusi peningkatan pendapatan, WKB 2030 ini bermatlamat menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia pada tahun 2030. Taraf hidup wajar merujuk kepada satu konsep yang memenuhi tiga elemen dalam kehidupan masyarakat iaitu kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas; kemampuan untuk menyertai aktiviti komuniti, kekeluargaan dan riadah sosial; dan keupayaan untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan bermaruah.
Sesungguhnya kecukupan kewangan bagi memenuhi keperluan asas dilihat lebih sesuai berbanding dengan mensasarkan pendapatan yang tinggi. Ini kerana kerana unsur-unsur seperti inflasi atau kegagalan mengurus kewangan dengan baik boleh mengakibatkan invididu yang berpendapatan tinggi gagal menikmati satu kehidupan yang berkualiti. Begitu juga dengan aspek mobiliti dan interaksi sosial. Tanpa keduanya adalah sukar untuk ahli masyarakat mengubah taraf hidup dan mendapat sokongan serta dorongan yang membolehkan mereka menikmati satu kehidupan yang lebih bermakna dan mempertahankan nilai identiti masing-masing.
Sememang sesuatu dasar atau perancangan pembangunan perlu mengambilkira faktor-faktor setempat. WKB 2030 merupakan satu contoh yang dimaksudkan di sini. Dengan tidak menyasarkan pendapatan yang tinggi seperti kelaziman pelan-pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadikan kehidupan wajar sebagai matlamat yang ingin dicapai, WKB dilihat lebih holistik dan dilihat mampu untuk memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.