Hari ini di negara kita ‘euthanasia’ atau menamatkan tempoh hayat seseorang yang mengalami penyakit yang dikatakan sukar atau tidak mungkin boleh sembuh dengan cara-cara yang sengaja (unnatural means) tidak dibolehkan oleh undang-undang. Namun kemungkinan pesakit yang ingin mati secara bermaruah (die with dignity) dikatakan sudah ada. Dalam keadaan ini pesakit yang berkenaan boleh memberi panduan kepada doktor yang merawat tentang bagaimana hasrat mereka boleh ditunaikan oleh doktor tersebut. Sebagai contoh doktor tidak perlu menyedarkan (resuscitate) semula pesakit tersebut sekiranya mereka jatuh tidak sedar. Panduan atau arahan ini disebut sebagai “Advanced Medical Directive (AMD)” atau Arahan/Panduan Perubatan Awal (APA).
AMD atau APA menjadi tajuk yang hangat dibincangkan rentetan peristiwa seorang pesakit Britanny Maynard (29 tahun) yang mengidap penyakit barah otak tahap 4 meninggal dunia dengan ia diberikan dos barbiturate yang mematikan, oleh para doktor pada 1.11.2014. Oregon, negeri di mana beliau berada mempunyai Akta APA yang membolehkan hal ini berlaku. Selain dilihat sebagai sebuah wasiat (living will) yang memberi peluang dan kebebasan kepada pesakit untuk menentukan nasib mereka, APA dikatakan dapat membantu doktor/perawat menguruskan rawatan dan bantuan bagi 4 jenis pesakit: (a) mereka yang dijangka akan mati dalam masa yang terdekat (nazak), (b) pesakit yang tiada harapan sembuh, (c) pesakit yang tidak sedar, (d) pesakit yang sedar yang tidak mahu rawatan terhadap mereka diputuskan, walaupun nantinya mereka jatuh ke dalam kategori (a), (b) dan (c).
APA dianggap penting kerana ia dapat mengelakkan keputusan yang dibuat oleh kaum keluarga berlawanan dengan kehendak pesakit itu sendiri; ia boleh mengelakkan konflik di antara sesama ahli keluarga, dapat melindungi doktor dan perawat daripada tindakan undang-undang dan ia boleh membantu pesakit membuat ikrar menjadi penderma organ apabila dia meninggal.
Para doktor merasakan APA tidak sama dengan eutanasia yang seperti yang telah disebut, tidak dibenarkan oleh undang-undang negara. Namun ada yang berpendapat bahawa membolehkan APA wujud, akan membantu mereka melaksanakan tugas menghadapi keadaan kesihatan pesakit yang rumit, dengan lebih cekap dan mudah. Apa pun, pandangan Islami dan keagamaan tentang hal ini diperlukan oleh doktor, pesakit dan masyarakat Islam sendiri. Amat menarik sebenarnya bagi umat Islam bahawa, pandangan yang diperlukan mungkin boleh mula difikirkan jika hukum/fatwa mengenai eutanasia atau “mercy killing” dirujuk (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-eutanasia-atau-…).
Dalam tahun 2011 Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-97 telah membuat keputusan, iaitu, setelah mendengar dari pakar-pakar yang terlibat memberi penjelasan, bahawa “…dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, … tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan. Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment), diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpana ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia yang diharamkan.”
Seterusnya, “…menghentikan hayat seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.”
Muzakarah memutuskan juga bahawa “perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia (sama ada eutanasia voluntary/atas kehendak sendiri, non-voluntary/yang pasif atau involuntary/yang menolak rawatan) atau ‘mercy killing’ adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.”
Jawatankuasa Fatwa juga telah mengatakan bahawa asas keputusan yang dibuat ialah “Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 92 yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja…” danHadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah).”
Oleh itu apabila seseorang doktor, yang sebenarnya ditugaskan untuk menolong pesakit, sebaliknya membantu mempercepatkan kematian (dalam kes APA), perbuatan tersebut tidak boleh dianggap satu kebaikan tetapi merupakan sesuatu yang dilarang dan mengundang dosa.