Usia tua seringkali disebut sebagai “usia emas,”’ barangkali bagi menggambarkan kepada “nilai” yang terhimpun pada diri seseorang itu hasil daripada pengalaman hidupnya yang panjang kerana pengalaman hidup ialah sesuatu yang amat mahal dan berharga. Walau bagaimanapun, usia tua juga turut dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak diingini tetapi tidak dapat dielakkan iaitu kemerosotan kualiti hidup, kelemahan tubuh dan anggota badan, kehilangan nikmat dunia, kesunyian, kebimbangan terhadap nasib akhir, sakit dan, akhir sekali, kematian. Apabila dipandang dari sudut ini, masa tua ialah masa yang suram dan tidak menyenangkan. Muda dan tua, pada hakikatnya, adalah sebahagian daripada sifat semulajadi setiap kejadian, iaitu pasti mempunyai permulaan dan kesudahan.
Dalam sebuah hadis (riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Hakim) Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat tentang manusia yang paling baik, dan Baginda menjawab: “Seseorang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Lalu Baginda ditanya manusia bagaimanakah pula yang jahat ataupun celaka? Jawab Baginda: “Seseorang yang panjang umurnya dan jahat amalnya.” Dalam hadis ini jelas bahawa baik atau buruknya seseorang itu bukan terletak semata-mata pada umurnya akan tetapi kepada amalannya, dan umur yang panjang itu merupakan suatu kelebihan hanya kalau sekiranya ia diisi dengan amal kebajikan, dan sebaliknyalah jika usia yang panjang itu hanya diisi dengan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Hakikatnya manusia itu diciptakan hanya untuk memperhambakan dirinya kepada Penciptanya, dan bagi setiap yang menginsafi hakikat ini, seluruh kehidupannya hanyalah untuk tujuan itu. Namun kebanyakan manusia mudah lupa terhadap nasib akhirnya kerana terlalu asyik dengan nasib hidupnya di dunia yang sementara ini.
Maka dengan rahmat Allah, sedikit demi sedikit perubahan ditunjukkan pada dirinya bagi menyediakan dirinya bagi menghadapi hari kesudahan. Dalam al-Qur’an disebutkan bahawa semakin bertambah usia seseorang itu, semakin lemah genggaman tangannya (Hud: 15 –16); semakin kabur penglihatannya (Isra’: 72); semakin mudah tersentuh perasaannya (Luqman: 22); semakin banyak gugur giginya (Ali Imran: 145); semakin lemah tulang dan sendinya (al-Nisa’: 78); semakin lebat uban di kepalanya (Ali Imran : 185); dan semakin kuat rasa ingin bersendirian jauh daripada manusia (al-An’am: 32). Perubahan-perubahan ini pastilah tidak menyenangkan, dan, jika boleh, mahu dielakkan daripada berlaku. Namun, ia adalah sebahagian daripada fitrah kejadian insan yang tidak dapat dielakkan. Dalam Surah Yasin, ayat 68, Allah menjelaskan bahawa orang yang dipanjangkan umurnya akan dikembalikan kepada sifat asalnya, iaitu lemah; Firman Allah: “Sesiapa yang kami panjangkan umurnya maka kami akan kembalikannya kepada kadaan asalnya…”
Justeru, bagi orang-orang yang benar-benar beriman dan menginsafi hal keadaan dirinya, usia tua itu hanyalah suatu marhalah daripada perjalanannya menuju kepada Allah, dan seorang yang lebih berusia itu dikira lebih mulia hanya kerana dia lebih dahulu dan lebih lama mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka panjang atau pendeknya umur seseorang bukanlah dilihat pada bilangan tahunnya tetapi pada sedikit atau banyaknya amal kebajikan yang dikerjakan dalam hidupnya.
Umur adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Walau bagaimanapun, ada disebutkan dalam sebuah hadis bahawa umur umat Nabi Muhammad SAW itu hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun. Sebenarnya, dalam soal usia, yang lebih utama ialah kualiti hidup yang dijalani, bukan panjang atau pendeknya kehidupan itu. Maka sebahagian manusia memperolehi keberkatan dan kemuliaan dalam hidupnya disebabkan oleh amalan dan sumbangannya, manakala yang lain pula tidak memperolehi sebarang kebaikan untuk bekalan Hari Akhirat walaupun berumur panjang. Anas bin Malik ialah contoh seorang yang diberkati hidupnya dengan usianya yang melebihi satu abad manakala Umar bin Abdul Aziz pula, tetap meninggalkan kesan yang amat besar kepada umat Islam walaupun hayat dan pemerintahannya tidak panjang. Menurut sebuah hadis, umur merupakan salah satu daripada empat perkara yang akan dipertanyakan oleh Allah pada Hari Pengadilan, manakala tiga perkara yang lain ialah “masa muda” (digunakan untuk apa), “harta” (dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan), dan “ilmu” (sama ada ia telah diamalkan).
Sesuatu yang tidak diketahui hakikatnya tetapi tidak dapat dielakkan berlaku, pastilah amat menakutkan sesiapa sahaja yang memikirkan tentangnya. Begitulah halnya apabila seseorang memikirkan tentang kesudahan diri dan nasib akhirnya. Mati ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa, dan itu diketahui secara pasti oleh setiap manusia. Apa yang tidak semua orang tahu dengan pasti ialah tentang nasib akhir seseorang sesudah mati, dan dalam soal inilah hal keadaan seorang yang beriman berbeza dengan yang tidak. Hanya dengan keimanan dan keyakinan sahaja seseorang itu berupaya menghadapi hari tua dan seterusnya kematiannya dengan jiwa yang teguh dan keberanian. Hanya keimanan dan keyakinan sahaja yang akan akan menggerakkan seseorang mengerjakan amal kebajikan demi membela nasib akhirnya selepas mati.
Usia muda sememangnya ialah masa yang mengujakan, dan disebabkan keterujaan itulah ramai yang telah lupa kepada apa yang akan datang selepas itu iaitu hari tua dan kematian yang pasti berlaku. Justeru, kewujudan orang tua di sekeliling kita sepatutnya memberikan kita peringatan terhadap nasib dan kesudahan diri kita sendiri kerana mereka merupakan cerminan masa hadapan kita. Maka menghormati orang yang lebih tua khususnya ibubapa sendiri merupakan amalan yang amat ditekankan oleh agama, manakala bagi yang berusia pula hendaklah mengasihi mereka yang muda. Apa yang menghubung dan mengikat kedua-dua generasi ini ialah identiti diri dan nasib akhir yang sama sebagai insan, dan disebabkan itu mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Orang muda perlukan petunjuk dan nasihat daripada pengalaman mereka yang sudah berusia sedangkan orang tua pula memerlukan sokongan dan dokongan mereka yang masih muda dan kuat.