Rupa-rupanya, masih ramai Muslim di luar sana yang tidak mengetahui, hatta memahami bahawa pemeliharaan alam sekitar adalah satu tanggungjawab agama. Inilah satu antara beberapa kesimpulan yang diperoleh daripada Seminar “Penjanaan Pendapatan untuk Wanita Melalui Aktiviti Kitar Semula” anjuran IKIM, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar.
Kenyataan ini membawa kepada beberapa cadangan untuk memberi nilai tambah kepada kempen mahupun pendidikan alam sekitar yang telah pun dijalankan sekian lama. Ini tidaklah bermaksud bahawa usaha pendidikan yang dijalankan itu telah gagal sama sekali, namun tidak boleh kita nafikan bahawa masih banyak lompong yang perlu diisi dan diperbaiki.
Kekurangan dalam sistem pendidikan alam sekitar negara ini boleh dibuktikan dengan melihat keadaan alam sekitar itu sendiri. Paling mudah adalah dengan merujuk kepada kadar kitar semula negara yang masih pada tahap 5 peratus sedangkan banyak negara lain seperti Denmark, German, Singapura dan Korea yang telah mencapai tahap 40-45 peratus kadar kitar semula. Kempen kitar semula di Malaysia itu pula bukanlah bermula setahun dua ini tetapi telah mencapai usia 14 tahun lamanya.
Walaupun negara-negara yang disebutkan tadi, terutama negara German dan Denmark, telah mengambil masa selama 20-25 tahun untuk mencapai tahap yang ada kini, ini tidak bermaksud kita berada dalam ruang yang selamat. Sebagai sebuah negara membangun, kita sepatutnya mencapai kadar kitar semula dengan lebih cepat kerana telah ada contoh yang boleh diikuti.
Kegagalan menarik penglibatan awam untuk mengitar semula menimbulkan persoalan tentang kelemahan kempen atau pendidikan alam sekitar sedia ada. Adakah kempen selama ini gagal memberikan maklumat yang mencukupi? Adakah kempen itu sebenarnya sukar difahami umum? Atau, adakah kempen ini gagal menunjukkan sebab sebenar seseorang itu perlu mengitar semula?
Setelah sekian lama kempen dijalankan, pengetahuan umum terhadap amalan kitar semula sebenarnya telah meningkat. Ini boleh dibuktikan dengan melihat pelbagai kajian yang dijalankan dalam negara oleh pelbagai pihak. Kajian-kajian ini menunjukkan 80-90 peratus penduduk yang dikaji mempunyai pengetahuan tentang kitar semula. Dalam hal ini, mereka mengetahui jenis barang yang boleh dikitar semula, bagaimana mengurusnya dan di mana barangan itu boleh dihantar.
Walau bagaimanapun, sistem atau program kitar semula yang sukar mengekang keinginan mereka untuk mengitar semula. Sukar di sini merujuk terutamanya kemudahan sedia ada misalnya pusat pengumpulan atau tong kitar semula yang terlalu jauh dari tempat tinggal. Selain itu, keadaan pusat pengumpulan atau tong kitar semula yang tidak diurus dengan baik juga menyakitkan mata memandang. Malahan, rungutan terhadap pekerja pengumpulan sampah yang mencampurkan barangan yang telah diasingkan oleh penduduk juga seringkali kita dengar.
Selain itu, masyarakat umum juga tidak pasti sebab (motivasi) utama mereka perlu mengitar semula. Ada yang mengatakan sebab cintakan alam, dapat menjimatkan wang ringgit, baik untuk manusia, sebab pengaruh rakan, boleh dapat pendapatan sampingan dan sebagainya. Pada pandangan penulis, sebab-sebab yang diberikan ini tidak cukup kukuh untuk menarik mahupun mengekalkan seseorang dalam kegiatan kitar semula. Ini kerana apabila sebab-sebab itu tidak dapat dilihat kesannya atau telah tiada, amalan kitar semula itu dirasakan tidak menarik lagi. Sebagai contoh, tidak dapat melihat kesan penjimatan wang atau tiada lagi rakan untuk mengitar semula.
Oleh itu, orang ramai perlu disedarkan tentang sebab sebenar mereka mengitar semula. Bagi orang Muslim, tiada sebab lain yang lebih utama selain mengitar semula kerana tanggungjawab agama. Jika ini menjadi sebab (motivasi) utama mengitar semula, maka tiada kesukaran yang boleh menghalang seorang Muslim untuk mengitar semula kerana sebab ini kekal dan tidak akan berubah sampai bila-bila. Sebab-sebab alam sekitar mahupun pengaruh rakan dan sebagainya bolehlah dijadikan sebab sampingan daripada sebab utama tadi.
Bagi tujuan kesedaran ini, kempen kitar semula mahupun pendidikan alam sekitar di negara ini perlulah merujuk kepada unsur-unsur agama. Dalam hal ini setiap individu perlu menyedari tanggungjawab agamanya dalam memelihara alam sekitar. Setelah sekian lama kempen atau pendidikan alam sekitar dijalankan maka kempen atau pendidikan alam sekitar berasaskan agama perlu diberi peluang untuk meningkatkan lagi kesedaran dan penglibatan masyarakat.
Buat masa ini, kempen mahupun pendidikan alam sekitar di negara kita ini lebih banyak dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dalam hal menyebarluaskan unsur kempen atau pendidikan alam sekitar berasaskan agama ini maka dicadangkan NGO-NGO berasaskan agama Islam mengambil pendekatan tersebut dalam kegiatan-kegiatan yang dijalankannya. Jika tiada, maka perlulah lebih banyak NGO-NGO seperti ini diwujudkan agar masyarakat Islam dapat disedarkan tentang tanggungjawab sebenarnya dalam alam ini. Selain NGO, tugas memberi kesedaran ini adalah tugas semua pihak, maka jalankanlah tugas ini dan jangan sekali-kali putus asa serta mengalah.