Al-Quran Tidak Jelas Tentang Homoseksualiti?
Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel saya yang lalu, saya akan sekali lagi menyentuh isu homoseksualiti. Kali ini saya ingin mengenengahkan pandangan seorang penulis yang berpendapat bahawa al-Quran – rujukan utama orang Islam – tidak jelas dalam memperkatakan tentang homoseksualiti.
Artikel yang bertajuk, “What the Quran says about homoseksuality”, menjadikan al-Quran dan Bible sebagai sumber rujukannya. Penulis itu cuba meyakinkan pembaca bahawa ayat-ayat yang selama ini kita fahami sebagai ayat-ayat yang melarang hubungan homoseksual sebenarnya tidak membawa maksud tersebut. Menurut beliau, jika dikaji dengan mendalam, ayat-ayat itu tidak melarang homoseksualiti. Hanya manusia sahaja yang mentafsirkannya sebagai homoseksualiti.
Bagi menguatkan hujahnya, penulis tersebut telah membuat dakwaan yang bukan-bukan terhadap al-Quran. Beliau mempertikaikan kebenaran ayat-ayat al-Quran dengan menimbulkan keraguan mengenai sumber ayat-ayat tersebut dan seterusnya tafsiran ulama Islam tentangnya. Dua daripada dakwaan beliau ialah: (i) ayat-ayat tentang kaum Nabi Lut itu telah disalahtafsir dan (ii) wujudnya pengaruh manusia dalam ayat-ayat al-Quran.
Ayat-ayat tentang kaum Nabi Lut itu telah disalahtafsir
(a) Perkataan homoseksualiti tidak ditemui dalam al-Quran
Menurut penulis tersebut, dalam al-Quran, Surah 7, ayat 80-84 seringkali diguna untuk menjelaskan pandangan Islam tentang homoseksualiti. Sebagai Kitab suci orang Kristian, Bible juga ada menyebutkan tentang kisah ini. Namun, menurut beliau, kajian ke atas Bible menunjukkan bahawa kisah tersebut tiada kaitan dengan homoseksualiti yang kita fahami pada hari ini kerana perkataan homoseksualiti tidak ditemui dalam Bible.
Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat bahawa adalah mustahil jika ayat-ayat dalam al-Quran itu merujuk kepada homoseksualiti kerana konsep ini hanya dikenali umum agak baru (akhir kurun ke-19), jadi tentunya Quran tidak boleh mengeji satu kumpulan manusia yang tidak pernah wujud.
Penjelasan
Jika kita cuba mencari perkataan `homoseksualiti’ di dalam al-Quran, tentulah kita tidak akan memperolehinya kerana seperti yang disebut oleh penulis itu, perkataan tersebut merupakan satu istilah baru yang dikenali pada akhir kurun ke-19. Tetapi ini tidak bermakna perbuatan tersebut tidak pernah wujud. Malah, jika ia tidak pernah wujudpun, ia bukanlah penghalang untuk Allah menyebutnya lebih 1400 tahun yang lalu (di dalam al-Quran), mahupun lebih awal dari itu (di dalam kitab-kitab suci yang lain) dan melarangnya kerana sebagai Pencipta, tentunya Dia tahu apa yang akan berlaku terhadap makhluk ciptaannya itu. Malah, itulah sebabnya perkataan homoseksualiti tidak disebutkan tetapi lebih kepada konsep yang menggambarkan homoseksualiti tersebut. Tentang istilahnya, terpulanglah kepada masyarakat dan budaya tersebut untuk menyebutnya sebagai homoseksual, liwat, semburit (Kamus Dwibahasa: Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia, DBP) dan sebagainya.
(b) Tafsiran-tafsiran frasa
Begitu juga tafsiran-tafsiran yang dibuat terhadap frasa-frasa ayat-ayat al-Quran yang berkaitan. Dalam usaha untuk membuatkan pembaca menerima hujah-hujah beliau, penulis itu mempersoalkan banyak tafsiran yang dibuat oleh para penterjemah dan pentafsir al-Quran, yang menurut beliau bertentangan dengan maksud sebenar ayat-ayat tersebut diturunkan.
Persoalan 1
Ayat 80, Surah al-Araf (7), bermaksud, “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: `Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”
Penulis itu bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan “perbuatan yang keji”?
Penjelasan
Penjelasan saya akan berdasarkan kepada terjemahan-terjemahan al-Quran (versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia). Walaupun saya tidak berbahasa Arab, tetapi saya merasakan tafsiran yang dibuat oleh pentafsir-pentafsir yang terkemuka, telah cukup jelas dan terang. Mungkin penulis itu sahaja yang enggan menerimanya.
“Perbuatan keji” yang dimaksudkan dalam ayat 80, Surah al-Araaf itu tentunya ditafsir mengikut ayat yang berikutnya iaitu “mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat dan meninggalkan wanita”. (Dalam Bahasa Inggerisnya, “… ye practise your lust on men in preference to women…”). Jadi, ternyata maksud “perbuatan keji” itu amat jelas iaitu lelaki memuaskan nafsu dengan lelaki dan bukannya dengan wanita seperti fitrahnya.
Persoalan 2
Ayat 81 bermaksud, “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Menurut penulis tersebut, ayat ini diandaikan berkait dengan homoseksualiti kerana adanya frasa “mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu”. Tetapi, soalan beliau, apakah yang dimaksudkan dengan “mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu”? Sodomikah? Bagaimana pula jika sodomi itu berlaku antara lelaki dan perempuan? Apa pula yang dimaksudkan dengan sodomi? Rogolkah? Hubungan seks dengan pelbagai pasangankah? Hubungan seks dengan kanak-kanakkah?
Menurut beliau lagi, bukan golongan homoseksual sahaja yang memuaskan nafsu antara lelaki dengan lelaki, golongan heteroseksual juga membuat hubungan dengan kaum sejantina. Jadi, apakah heteroseksual dibenarkan?
Seterusnya, soalan beliau, bolehkah kita mendatangi wanita untuk memuaskan nafsu? Apa yang dimaksudkan dengan “memuaskan nafsu” itu? Sodomikah? Zinakah? Hubungan seks sebelum nikahkah?
Penjelasan
Dalam pemahaman kebanyakan orang, “mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu” merujuk kepada sodomi kerana inilah (pada fahaman orang kebanyakan) cara golongan homoseksual memuaskan nafsu mereka. Tidak mungkin nafsu itu dapat dipuaskan hanya dengan bertentang mata atau bermain bola sepak! Oxford Advance Learner’s Dictionary mendefinisikan sodomy sebagai “anal sexual intercourse between a man and (especially) another man”. Kamus Dwibahasa DBP pula mendefinisikannya sebagai persetubuhan luar biasa sesama lelaki; semburit (istilah Melayunya, mungkin). Jadi, sodomi merujuk kepada hubungan seks melalui dubur dan bukannya rogol atau situasi di mana seseorang itu memiliki ramai teman seks (kecuali mengamalkan sodomi) atau seks dengan kanak-kanak (kecuali melibatkan liwat). Jadi, tentunya maksud yang ingin disampaikan dalam ayat tadi ialah perhubungan jenis melalui dubur. Tiada keraguan tentangnya.
Ini juga menjawab soalan penulis itu yang seterusnya di mana beliau bertanya apakah kedudukan sodomi antara lelaki dan perempuan. Berdasarkan maksud di atas di mana hubungan seks melalui dubur adalah dilarang, ia tetap dilarang, sama ada antara lelaki dengan lelaki, mahupun lelaki dengan wanita. Ini berdasarkan kepada sepotong hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Allah tidak akan memandang kepada lelaki yang menyetubuhi sesama lelaki atau wanita melalui duburnya.” (Riwayat Tarmizi). Dikatakan hadith ini dinyatakan sesudah turunnya wahyu Allah (2: 223) mengenai hakikat bahawa isteri adalah tempat suami melepaskan nafsu, maka datangilah ia menurut cara yang disukai. Oleh itu, hubungan seks melalui dubur adalah terlarang, baik antara lelaki dengan lelaki, mahupun antara lelaki dengan perempuan. Dalam hal ini, tidak kira apakah kecenderungan seks atau seksualiti seseorang itu, homoseksualiti atau heteroseksualiti, asal sahaja ia melibatkan hubungan seks melalui dubur, ia tetap dilarang.
Berkaitan dengan soalan bolehkah mendatangi wanita untuk memuaskan nafsu, bagi saya, jawapannya amat mudah. Tentu sekali boleh mendatangi wanita, asal sahaja telah sah nikahnya dan tidak melanggari peraturan-peraturan tertentu seperti tidak boleh bersetubuh di masa haid dan tidak boleh bersetubuh melalui dubur.
Akhir sekali, penulis tersebut bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “memuaskan nafsu”? Sodomikah? Zinakah? Seks sebelum nikahkah? Ya, saya berpendapat semua yang disebut itu merujuk kepada aktiviti manusia melepaskan keingan seks (memuaskan nafsu), cuma ia berbeza dari segi cara dan masa ianya dilakukan. Sodomi merujuk kepada hubungan seks melalui dubur yang diamalkan di kalangan golongan homoseksual dan heteroseksual. Zina pula merujuk kepada hubungan seks antara lelaki dan perempuan yang tiada ikatan perkahwinan antara satu sama lain (walaupun mereka mungkin mempunyai ikatan perkahwinan dengan orang lain). Dalam banyak hal, ini samalah juga dengan seks sebelum nikah.
Jadi, berkaitan dengan tafsiran-tafsiran frasa-frasa ayat al-Quran itu, saya merasakan hujah penulis tersebut dapat ditolak dengan mudah. Tambah pula, para pentafsir al-Quran merupakan mereka yang arif tentang bahasa Arab dan pentafsiran tidak dibuat tanpa merujuk kepada hadith, sejarah dan tafsiran-tafsiran yang awal. Hanya mereka yang buta hati sahaja yang tidak mahu menerima tafsiran ini, malah cuba untuk mewujudkan keraguan agar masyarakat menerima sesuatu konsep yang ingin mereka ketengahkan.
Pengaruh manusia dalam ayat al-Quran itu sendiri
Perkara kedua yang disentuh oleh penulis itu tentang al-Quran ialah pengaruh manusia dalam menghasilkan al-Quran. Menurut beliau, al-Quran perlu diragui kerana berdasarkan pembacaan beliau tentang kehidupan Nabi Muhamad didapati bahawa Baginda banyak berdagang dengan pedagang Yahudi dan Kristian, dengan itu tentunya apa-apa yang Baginda tahu tentang kitab-kitab suci yang awal merupakan apa yang Baginda ketahui dari pedagang-pedagang tadi. Oleh kerana penganut agama Yahudi dan Kristian kini mula meragui kebenaran kitab suci mereka, tentulah maklumat yang didapati oleh Nabi juga boleh diragukan. Justeru, kebenaran al-Quran boleh dipertikaikan.
Penulis tersebut mendakwa bahawa beliau merupakan seorang Islam tetapi hujah ini ternyata menunjukkan kecetekan agama beliau. Sebagai seorang Islam, kita tahu bahawa al-Quran bukanlah hasil tulisan Rasulullah kerana Baginda merupakan seorang yang buta huruf (29:48). Sebaliknya, al-Quran ialah wahyu Allah yang disampaikan melalui Rasulullah (15:9; 85:22; 98:2; 2:151). Oleh yang demikian, tiada sebab untuk kita katakan bahawa ia merupakan maklumat yang dipengaruhi oleh pedagang Kristian atau Yahudi (69: 38- 48; 2: 10, 23; 10: 38; 11: 13; 17: 88). Untuk mengatakan bahawa Rasulullah tersalah lapor, sekali lagi menunjukkan kecetekan ilmu agama penulis tersebut kerana bukankah sebagai orang Islam, dari kecil kita telah diajar bahawa Rasulullah itu bersifat maksum iaitu suci dari segala dosa atau kesilapan.
Satu perkara lagi yang mencuit hati saya berkaitan hujah penulis tersebut ialah tentang motif larangan homoseksualiti. Beliau berpendapat bahawa biasanya dalam hubungan lelaki dengan lelaki, asasnya ialah penindasan. Ia biasanya melibatkan lelaki dewasa dengan lelaki yang lebih muda. Hubungan ini dikeji oleh kitab-kitab suci berdasarkan kepada isu penindasan ini dan bukannya aktiviti seksual itu sendiri. Tambah beliau lagi, motif larangan homoseksualiti ada kaitannya dengan isu bilangan penduduk dunia. Dahulu, isu ini merupakan satu isu yang besar. Di kalangan orang Yahudi misalnya, adalah satu dosa untuk membuang benih (sperma) bila mana ia boleh dimanfaatkan untuk menguatkan ras Yahudi. Ini bermakna, masalahnya bukan perbuatan onani, tetapi yang menjadi masalah ialah seks digunakan untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan prokreasi. Jadi, tidak diragukan bahawa larangan ke atas aktiviti golongan homoseksual dimotivasikan dengan pertimbangan yang sama. Jadi, bukan aktiviti seksual itu yang dikeji tetapi hakikat bahawa ia boleh membawa kepada kurangnya bilangan penduduk. Lantaran itu, dengan lebih kurang tujuh bilion penduduk dunia kini, isu itu tidak penting lagi. Dalam kata lain, apa yang dimaksudkan oleh penulis itu ialah, aktiviti homoseksual itu tidak perlu dilarang lagi memandangkan penduduk dunia telah cukup ramai dan kita mampu untuk membazirkan benih!
Bukankah itu satu logik yang kelakar? Pada saya, Islam melarang perbuatan itu kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia yang dicipta berpasangan dan pasangan lelaki ialah wanita dan bukannya lelaki juga. Jika tidak, mengapa Allah menciptakan Hawa (perempuan) untuk Adam (lelaki) semasa Adam merupakan satu-satunya manusia yang wujud? Jika jantina tidak penting, mengapa Allah menciptakan seorang wanita dan bukannya sepuluh atau seratus orang lelaki untuk menemani Adam? Tidakkah kita terfikir tentang hal ini?
Dalam menyimpulkan artikel beliau, penulis itu menuntut agar ulama Islam meneliti semula kisah Sodom dan Gomorrah ini dan mengkaji semula tafsirannya kerana ia melibatkan berjuta orang Islam di seluruh dunia. Menurut beliau, akibat dari tafsiran bahawa homoseksualiti itu merupakan satu dosa, golongan homoseksual terpaksa hidup dalam penuh kemunafikan. Ini membawa kepada penderitaan, kesedihan, keruntuhan keluarga, kesunyian dan lain-lain perasaan yang tidak menyeronokkan sehingga ada di kalangan mereka yang membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung. Oleh itu, menurut beliau, kisah ini perlu dilihat dari perspektif baru dan komuniti Islam perlu memutuskan apakah keadilan telah terlaksana ataupun tidak.
Satu soalan yang lahir dalam fikiran saya tentang cadangan beliau ini ialah apakah kita perlu mentafsir semula hukum Tuhan semata-mata untuk memberi ruang kepada sekumpulan kecil manusia yang terang-terang melanggar perintah Allah? Ironinya, sesetengah perkara yang dibenarkan oleh Allah, poligami misalnya, bermatian-matian kita cuba hapuskan tetapi dalam hal ini bermatian-matian pula kita ingin membuat seluruh dunia menerimanya!
Bagi saya, pendekatan Islam terhadap isu ini ialah Allah yang Maha Pengampun, akan sentiasa menerima taubat golongan ini dan Islam boleh membantu golongan ini untuk kembali ke pangkal jalan. Tetapi untuk menerima golongan ini sebagai sebahagian dari ahli masyarakt yang diiktiraf, tentunya sesuatu yang mustahil kerana dengan jelas dan nyata, homoseksualiti atau heteroseksualiti atau apa sahaja bentuk seksualiti yang bertentangan dengan fitrah, memang dilarang oleh Islam.
Apa yang saya risaukan ialah niat penulis tersebut. Saya bimbang jika penulisan beliau ini merupakan satu cubaan untuk memesongkan umat Islam agar menerima homoseksualiti. Anasir-anasir begini perlu kita tentang demi keutuhan Islam di dunia ini.
Lagi satu perkara, jika benar penulis ini seorang Islam, saya meragui keislaman penulis tersebut berdasarkan kepada dua perkara yang amat ketara. Pertama bila beliau mengatakan bahawa al-Quran itu merupakan tulisan Rasulullah. Keduanya, bila beliau mengatakan jikapun ia merupakan wahyu Allah, oleh kerana terlalu banyak ayat yang berbeza perinciannya, mungkin ia diakibatkan oleh kesilapan Rasulullah semasa melapor kembali.
Apakah kedua-dua fahaman ini menggambarkan mentaliti seorang Islam yang sebenar? Sekecil manapun ilmu Islam yang kita miliki, sebagai orang Islam, dari kecil kita diajar bahawa Quran itu merupakan wahyu Allah dan bukannya karya Rasulullah. Selain itu, kita juga dididik untuk percaya bahawa Rasulullah itu bersifat maksum iaitu suci dari segala kesilapan termasuklah kesilapan dalam melaporkan. Saya bimbang penulis tersebut hanya bertopengkan Islam untuk memesongkan aqidah umat Islam. Tambah pula beliau kelihatannya lebih tahu tentang Bible, berbanding al-Quran sendiri. Oleh itu, sebagai khalayak, kita perlu berhati-hati sebelum menerima sesuatu pendapat atau pandangan. Bandingkan sesuatu maklumat dengan maklumat yang lain dan bertanya kepada yang lebih arif. Dengan cara ini sahaja kita akan dapat memelihara diri kita dari maklumat-maklumat yang palsu dan menyesatkan.