Serangan berdarah ke atas sebuah balai polis di selatan tanahair beberapa hari yang lalu kembali membangkitkan kebimbangan banyak pihak terhadap keselamatan negara berikutan ancaman pengganas. Belum pun bermula siasatan oleh pihak berwajib berbagai pihak sudah mula membuat andaian dan menuding jari, secara khususnya mengaitkan kejadian itu dengan umat Islam dan agama Islam. Perkara ini tidaklah menghairankan kita sekiranya ia dilaporkan oleh agensi-agensi berita luar negara, khususnya dari barat, tetapi yang amat dikesalkan adalah bila yang membuat andaian serta yang melaporkannya adalah sumber dalaman.
Dalam sebuah negara yang menjadikan Islam agama persekutuan manakala umat Islam adalah merupakan kaum majoriti tidak sepatutnya naratif yang berbaur kebencian terhadap Islam dibiarkan apatah lagi kalau ia diucapkan oleh seorang Muslim sendiri. Semua sudah sedia maklum dari mana datangnya naratif yang mengaitkan agama Islam dengan keganasan itu, dan sesiapa sahaja yang memahami agenda yang tersirat di sebalik naratif itu tidak akan membiarkan kejadian ini dijadikan kesempatan untuk mengangkat agenda berkenaan. Agenda yang dimaksudkan di sini adalah agenda puak sekular yang sentiasa mencari peluang untuk menghapuskan Islam dengan menimbulkan keraguan dan kebencian terhadapnya.
Kewujudan golongan yang memperjuangkan negara sekular di Malaysia sebenarnya bukanlah suatu rahsia. Salah satu cara yang selalu digunakan adalah dengan cara menakut-nakutkan orang ramai terhadap syariat Islam, politik Islam dan negara Islam, pendek kata segala yang berkait dengan Islam. Justeru, sewajarnya kita bertanya apakah sebenarnya motif golongan ini? Namun, jawapan kepada persoalan ini pun bukanlah juga suatu rahsia, ia berpunca dari kebencian terhadap Islam. Di negara-negara barat kebencian terhadap Islam dan umat Islam telah dijadikan modal oleh sesetengah parti politik untuk meraih sokongan orang ramai, maka tidak hairanlah apabila insiden serangan terhadap umat Islam, masjid-masjad dan pembakaran al-Qur’an sering dilaporkan oleh media. Maka kita sepatutnya menyoal: tidakkah ini juga satu bentuk ekstremisme? Perbezaannya hanyalah pada puncanya, iaitu ketaksuban terhadap ideologi.
Amat salah untuk sesiapa mengaitkan ketaksuban dan ekstremisme semata-mata dengan agama, khususnya Islam dan umat Islam kerana hakikatnya bukan sedikit jumlahnya orang yang bukan sahaja tidak beragama bahkan juga memusuhi orang yang beragama. Termasuk dalam golongan yang dinyatakan ini adalah para pentaksub ideologi sekular yang menjadikan negara sekular sebagai idealisme politiknya. Maka, kalau seseorang boleh dilabelkan sebagai pentaksub, ekstremis dan teroris kerana percaya kepada idealisme negara Islam kenapa label yang sama tidak boleh diberikan kepada mereka yang memperjuangkan negara sekular? Kenapa wujud ‘double standard’?
Seorang pentaksub tidak akan dapat menerima sekiranya asas-asas pegangannya dipersoalkan. Tidak kira yang menjadi pegangan itu berupa suatu ajaran agama yang tertentu ataupun suatu ideologi falsafah, ketaksuban akan menutup pintu perbincangan dan perbahasan ilmiah. Sejarah menunjukkan bagaimana ketaksuban terhadap ideologi-ideologi politik yang saling bertentangan itu menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Pertama dan Kedua dan kemusnahan besar yang diakibatkan, sedangkan agamalah yang selalu dipersalahkan sebagai punca permusuhan dan peperangan.
Kepercayaan bahawa agama hanya akan membawa kepada kegelapan akal dan kemunduran masyarakat bukanlah kepercayaan baharu, bahkan semenjak dahulu lagi itu mantra yang diucapkan oleh para pejuang pensekularan yang berhasrat menghapuskan peranan agama dari kehidupan manusia, khususnya dalam urusan politik. Walau bagaimanapun, tidak semua kepercayaan itu sah dan boleh dipertahankan secara ilmiah. Ideologi sekular itu sendiri diasaskan kepada kepercayaan penganutnya terhadap kebenaran andaian-andaiannya tentang hakikat semesta, dan sebagai sebuah ideologi, ia tidak berbeza dari ideologi politik yang menjadi pegangan kumpulan-kumpulan tertentu termasuklah yang digelar sebagai ‘pengganas’. Andaian-andaian yang menjadi landasan falsafah sekular, yang kemudiannya menghasilkan teori-teori politik sekular bukanlah kebenaran mutlak sehingga langsung tidak boleh dipertikaikan. Walau bagaimanapun, ketaksuban terhadap sesuatu pandangan seringkali menyebabkan ramai manusia hilang kewarasan.
Seorang pentaksub yang tidak berminat dengan bukti dan hujah hanya tahu menggunakan paksaan sekiranya dia mahu orang lain menerima pandangannya, dan itu hanya dapat dilakukan dengan kuasa. Gerakan untuk mendapat kekuasaan kebiasaannya bermula dengan slogan dan propaganda, diikuti dengan tindakan-tindakan untuk menggugat penguasa yang sedia ada sehinggalah terbuka peluang untuk merebut kuasa. Oleh kerana tujuan slogan dan propaganda itu sendiri adalah untuk membangkitkan emosi marah dan kebencian terhadap pihak lain, dari situlah juga berpuncanya segala tindakan-tindakan yang ganas dan melampau itu.
Hari ini perang propaganda dipacu oleh media sosial yang amat meluas rangkuman dan pengaruhnya. Perang Gaza yang sedang berlangsung sekarang memperlihatkan keampuhan media baharu ini sehinggakan negara-negara kuasa besar seperti Britain, Amerika Syarikat dan German tidak lagi dapat mengawal naratif yang mengutuk Israel serta penyokongnya. Satu pengajaran besar dari perang ini adalah bagaimana masyarakat dari seluruh pelusuk dunia tidak lagi mudah untuk diperbodohkan dan dikawal kerana maklumat tidak lagi dapat disekat dan ditapis seperti dahulu.
Media di Malaysia diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam pemberitaan khususnya yang melibatkan insiden keganasan yang sering dikaitkan dengan orang Islam walaupun ianya hanya berupa sangkaan dan tohmahan oleh pihak tertentu yang tidak senang dengan Islam..
MD. ASHAM AHMAD, IKIM.