Menurut Ibn Khaldun (w. 1406) dalam karyanya Muqaddimah, pelbagai jenis kemahiran dan bidang ilmu pengetahuan adalah hasil daripada keupayaan ‘aqliyyah manusia yang sentiasa berusaha menukarkan kerja tangan, biasa mahu pun mewah, daripada kemungkinan menjadi kenyataan.
Beliau menambah bahawa cara yang paling mudah untuk memupuk diri dengan ilmu dan sains ialah melalui penggunaan bahasa yang jelas dan tepat ketika berbincang atau berbahas atas masalah ilmiah.
Ilmu yang berkembang dalam minda manusia—melalui cerapan deria, pengekalan ingatan, pengenalan corak, penggubahan gambaran, dan pembentukan tasawwur—datang daripada pengalaman yang membolehkan ‘aqal membuat pembaharuan dan berusaha menuju kesempurnaan.
Bahkan, teknologi pengganggu-gugat atau pembaharuan yang dicirikan dengan penggantian pekerjaan-pekerjaan lama dengan pekerjaan-pekerjaan baru berlaku kerana teknologi adalah bentuk seni yang berlandaskan sains.
Selain kemahiran, sains dan teknologi juga adalah buah hasil daripada keupayaan ‘aqliyyah. Kedua-dua mutu dan kehalusan sains dan teknologi adalah penanda aras membangunnya sebuah peradaban yang bergantung kepada terisinya keperluan asas manusia.
Seni Islam adalah bukti kegemilangan peradaban Islam; bermula dari seni bina Andalusia, astaka Maghribi, dan pintu-pintu gerbang muqarnas Bahri Mamluk yang dipenuhi dengan hiasan lengkungan sehinggalah kepada reka bentuk jubin mozek berunsurkan geometri, tumbuh-tumbuhan, dan ukiran khat yang menghiasi bangunan-bangunan madrasah lama Timuriyyah di Dataran Registan dan maqam Shah-i-Zinda di Samarkand.
Karya-karya tersebut tidak hanya dihasilkan oleh ahli-ahli pertukangan di masa lalu yang berusaha untuk menzahirkan gambaran syurga menurut al-Qur’an namun juga dibuat dengan peringatan yang mendalam dan utama dalam hati dan fikiran ahli-ahli pertukangan bahawa yang sebaik-baik pencipta ialah Allah (Surah al-Mu’minun (23):14)).
Arah perkembangan peradaban boleh menentukan sama ada kemahiran menjadi lebih rapi atau tercemar. Seiring dengan kemerosotan peradaban masa kini, hal ini memberikan tekanan terhadap kerja tangan dan seni dunia moden di mana bahkan memenuhi keperluan pun menjadi cabaran yang besar.
Dalam buku Reflections of an English Muslim (2015), penulis dan pakar seni budaya Islam, Ahmed Paul Keeler, melakarkan perumpamaan seekor burung kenari dan seorang seniman.
Menurut Keeler, burung kenari akan menjadi korban pertama sekiranya dibawa ke kedalaman tertentu di mana terdapat gas beracun, justeru dengan segera memberi amaran awal kepada pekerja-pekerja lombong.
Seorang seniman mengalami kematian metaforis setiap kali ia cuba untuk mencerminkan dalam karyanya kekejaman, kerendahan, kekacauan, kekakuan, kedangkalan, dan kekosongan jiwa dunia moden, yang Keeler namakan sebagai “amaran bagi masyarakat (warnings to society).” Sebagaimana burung kenari, seniman sangat peka terhadap perubahan dan boleh menjadi penunjuk kewujudan bahaya yang tersembunyi.
Dalam konteks hari ini, pengkarya seni baru yang digelar ‘prompter’ menggunakan alat-alat Kecerdasan Buatan (AI) terbaru seperti DALL.E 2, Jasper Art, dan Midjourney sekadar menyebutkan nama beberapa perisian AI, dengan mudah melangkaui tahun-tahun pendidikan yang biasa dijalani oleh pengkarya terdahulu untuk menghasilkan dalam tempoh masa yang singkat sejumlah besar karya seni yang nilai gambarannya sangat seakan-akan hidup.
Namun, tanpa ketepatan bahasa dan ketersusunan ilmu pengetahuan untuk mendisiplinkan akal fikiran sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Khaldun, para prompter hanya menyebarkan kematian metaforis dalam bentuk baharu.
Sesungguhnya, ‘prompting’ yang dibantu oleh AI akan menjadi muntahan semula kekejaman, kerendahan, kekacauan, kekakuan, kedangkalan, dan kekosongan jiwa abad ini.
Daripada A‘ishah r.a. diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pelukis gambar akan dihukum di Hari Kebangkitan, dan akan dikatakan kepada mereka, “hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan”” (Sahih al-Bukhari, Hadis No. 7557).
Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 1449 M) menerangkan hadis tersebut dalam komentarnya Fath al-Bari bahawa ia adalah cabaran daripada Allah ‘azza wa jalla dan penghinaan-Nya kepada pelukis, pereka-cipta, dan pembuat-bentuk yang berasa teramat bangga dengan ciptaan mereka yang mirip kehidupan sehingga menganggap daya cipta mereka setanding dengan daya cipta Sang Pencipta.
Justeru, terdapat pertanyaan penting yang perlu diajukan sehubungan dengan lintasan saat ini dari perkembangan AI dan tujuan akhir daripada hasil rekaan bantuan AI, antara lainnya: Adakah ciptaan-ciptaan seterusnya bakal menjadi lebih seakan-akan hidup sehingga boleh mengabui pandangan mata ramai orang, iaitu tindakan yang juga kebetulan merupakan makna lain bagi ‘artificial’?
Apakah ia dimaksudkan agar seseorang merasa bangga yang luar biasa atas kemampuannya untuk ‘mencipta’ sebagaimana Allah s.w.t. mencipta?
Jika niat untuk menandingi daya cipta Tuhan tidak termasuk di antara jawapan kepada persoalan yang diutarakan, lalu mengapa ia dirancang demikian?
Jika ia tidak ada tujuan yang bermanfaat (misalnya berniaga, belajar, atau menyampaikan pengajaran berguna), maka mencipta melalui AI boleh menjadi pekerjaan sia-sia yang hanya menambah kebingungan dan mengaburi garis antara kebenaran dan kepalsuan.