Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dalam bulan Syawal sangatlah terserlah di negara kita. Dalam Islam sendiri menuntut umatnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ianya satu amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT dengan bertakbir di pagi 1 Syawal sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan setelah berpuasa menahan daripada godaan nafsu makan dan minum. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T mafhumnya “… dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah:185).
Lazimnya sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia ini dipenuhi oleh rumah terbuka daripada pelbagai kementerian mahupun agensi. Sama ada daripada kerajaan, swasta dan juga rumah peribadi, semuanya menunjukkan kemeriahan masing-masing. Tambahan pula budaya di Malaysia memanfaatkan bulan Syawal selama 29 ataupun 30 hari. Tambahan pula, menjadi satu wadah penyatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Meskipun Aidilfitri merupakan perayaan khusus bagi umat Islam, namun nilai keterbukaan dalam sambutan seperti rumah terbuka membolehkan rakan-rakan bukan Islam turut serta merasai suasana kemeriahan ini. Ia sekaligus menjadi platform perpaduan, saling mengenal budaya dan menjalin silaturrahim antara satu sama lain. Malah, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Hari Raya Aidilfitri menjadi salah satu contoh terbaik bagaimana keharmonian kaum dapat diraikan secara bersama dalam satu negara yang aman dan makmur.
Dari sudut hubungan kekeluargaan, Aidilfitri merupakan detik yang sangat dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat. Ia menjadi masa untuk berkumpul bersama ahli keluarga setelah sekian lama berjauhan. Kepulangan anak-anak perantau ke kampung halaman bukan sekadar membawa kemeriahan, tetapi juga menghidupkan nilai kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Amalan ziarah-menziarahi sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga menjadi simbol eratnya hubungan sosial dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam. Budaya salam kemaafan sesama Muslim sangat mendidik jiwa untuk sentiasa merendahkan diri dan juga hati, serta saling bermuhasabah diri untuk membersihkan diri dari sifat mazmumah seperti dendam, iri hati dan sebagainya.
Tidak dapat dinafikan, suasana rumah terbuka Aidilfitri ini mewarnai suasana perayaan kita yang penuh dengan hikmah ziarah-menziarahi sesama Muslim. Hiburan di dalam rumah terbuka perlulah dihadkan dan bersifat berjaga-jaga. Golongan muda kini semakin mengikut trend yang tertentu untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dari sudut hiburan yang boleh mengeratkan kebersamaan. Agama Islam bukan tidak membenarkan hiburan tersebut, namun ianya hendaklah bebas dari bentuk hiburan yang melalaikan dan mestilah bersesuaian dengan nilai Islam. Hiburan seperti meniru gaya tarian kaum atau agama lain telah menarik perhatian kita baru-baru ini. Tidak seharusnya terjadi dan dilakukan oleh umat Islam sendiri kerana telah melakuka hiburan yang malampaui batas. Semua ini berlaku atas alasan untuk bersuka ria. Tetapi pada hakikatnya telah menjauhkan masyarakat daripada tujuan sebenar Aidilfitri.
Syawal yang disambut oleh umat Islam adalah bersifat menjaga kesuciannya iaitu dengan meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Syawal sepatutnya menjadi simbol kemenangan, kesyukuran dan pengukuhan silaturahim atas dasar takwa. Namun kini, ramai yang lebih ghairah mengejar tontonan dan pujian maya. Hiburan yang melalaikan bukan sahaja memberikan menjatuhkan maruah diri, malah melibatkan kelurga dan imej Islam sendiri yang berhibur tiada batas. Budaya meniru tarian dan gaya yang berasal dari budaya luar juga semakin menjadi-jadi, tanpa disedari ia membawa unsur tasyabbuh (penyerupaan) yang jelas ditegah oleh syarak, apatah lagi jika ia berasal daripada ritual atau simbol keagamaan kaum lain. Daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud).
Sambutan Hari Raya Aidilfitri disarankan untuk diraikan secara sederhana. Rumah terbuka tanpa hiburan melampau dapat membantu menjaga adab dan akhlak para tetamu. Islam sendiri mengajar umatnya supaya bersederhana dalam apa jua perkara, termasuk ketika bergembira menyambut hari kemenangan dengan mengelakkan pembaziran terutamanya hiasan pakaian di hari raya dan juga makanan lebihan selepas rumah terbuka. Dalam hal ini, penting untuk setiap individu mengurus kewangan dengan bijak agar tidak terbeban dengan hutang hanya kerana ingin berbelanja secara berlebihan. Usahlah membandingkan diri dengan orang lain. Selagi disambut dengan sederhana itu sudah memadai dalam nilai Islam.
Pada akhirnya marilah kita bermuhasabah semula berkenaan tujuan rumah terbuka Aidilitri diadakan. Kebanyakan para ulama seperti al-Qardhawi, Ali Jumuah, Sya’rawi dan ramai lagi membenarkan umat Islam berhibur dan bergembira pada Hari Raya dengan pelbagai hiburan selagi tidak bercanggah syariat atau akidah Islam. Raikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dalam bulan Syawal di Malaysia bukan sahaja disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, malah turut menyemai pelbagai nilai murni dalam masyarakat. Di sebalik juadah yang lazat, pakaian indah dan rumah yang dihias cantik, tersembunyi pengajaran besar tentang erti kemenangan, keikhlasan dan kepedulian terhadap sesama insan. Sebagai umat Islam yang sentiasa menjaga imannya, dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam menyambut Aidilfitri. Tidak salah untuk bergembira, namun biarlah menghormati batas syarak. Aidilfitri adalah ruang untuk kembali kepada fitrah, bukan medan menunjuk-nunjuk atau melampaui batas. Janganlah kita menjadi umat yang hanyut dalam trend semasa hingga melupakan nilai yang sepatutnya dijaga. Maruah, adab, dan jati diri Muslim harus dipelihara walau di alam maya sekalipun.