Langkah Kerajaan Negeri Johor, Kelantan dan Terengganu mengharamkan penjualan vape perlu diberi pujian dan disusuli oleh negeri-negeri lain. Perkembangan industri yang menimbulkan kebimbangan kerana kesan buruknya terhadap kesihatan serta bertentangan dengan syariat perlu dibendung demi mencegah kemudaratan dan kemungkaran dari terus melanda negara. Naratif bahawa vape adalah alternatif ‘lebih selamat’ berbanding rokok konvensional amat mengelirukan masyarakat perlu segera dihentikan.
Vape yang mengandungi nikotin, bahan kimia berbahaya seperti diacetyl dan dadah sintetik boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada kesihatan dan menjadi punca berbagai penyakit. Menurut laporan dari South China Morning Post baru-baru ini, seorang remaja berusia 15 tahun mengalami sawan selepas menggunakan vape di tandas sekolah.
Penyakit seperti EVALI (E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury), Popcorn Lung (Bronchiolitis Obliterans) dan Lipoid Pneumonia (sejenis cairan berminyak) telah dikaitkan dengan penggunaan vape. EVALI misalnya, boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan lebih teruk lagi kematian. Merokok, termasuk penggunaan vape, menyebabkan kira-kira 27,000 kematian setiap tahun di Malaysia.
Laporan dari CNN (25 November 2024) menunjukkan vape, walaupun tanpa nikotin boleh menjejaskan fungsi salur darah dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Bahan cecair kimia dalam vape seperti Propilena Glikol (PG) yang biasanya diperbuat daripada sisa petroleum merupakan logam berat yang boleh menyebabkan keradangan paru-paru dan kerosakan jangka panjang. Kesan jngka panjang beyang masih belum dikaji sepenuhnya. Kajian dan statistik menunjukkan golongan muda dan remaja merupakan golongan terbesar yang menjadi penghisap vape.
Tidak berbaloi jika kerajaan mengharapkan hasil daripada jualan bahan berkaitan merokok jika kos rawatan penyakit berpunca daripada merokok lebih tinggi. Kementerian Kesihatan menganggarkan kos rawatan penyakit berkaitan merokok seperti kerosakan paru-paru akibat menyedut vape boleh mencapai RM369 juta setahun pada 2030. Di Malaysia telah berapa tahun dilaporkan bahawa kos rawatan penyakit berkaitan merokok lebih tinggi berbanding hasil cukai daripada industri ini.
Industri vape menggunakan taktik pemasaran yang menarik minat remaja, seperti perisa manis dan reka bentuk peranti yang bergaya. Laporan dari Yale Medicine menunjukkan bahawa iklan vape di media sosial secara agresif menyasarkan remaja. Malay Mail melaporkan vape menjadi trend popular di kalangan belia dengan risiko ketagihan nikotin yang boleh menjejaskan perkembangan otak mereka.
Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memantau trend ini kerana kes seperti pelajar sekolah menggunakan vape bukan asing lagi. Berdasarkan beberapa kenyataan daripada Persatuan Perdagangan Vape Malaysia, penyeludupan vape terlarang dan tanpa kawalan memang berlaku. Keadaan ini mendedahkan lagi risiko kesihatan yang serius dalam kalangan penghisap dan penagih vape. Industri yang tidak terkawal ditambah dengan penyeludupan dan penjualan haram memungkinkan produk vape bercampur bahan terlarang dadah sentetik seperti Magic Mushrooms atau Shroom yang mengandungi bahan aktif Psilocybin.
Al-Quran melarang mereka yang mendedahkan diri mereka dalam kebinasaan (Al-Baqarah: 195). Prinsip Maslahah dalam Islam menekankan pemeliharaan nyawa, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Hadith juga menegaskan agar menjauhi perkara yang mudarat dan memudaratkan (HR Ibn Majah 2340). Ijmak Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan.
Berdasarkan dalil al-Quran, Hadith, Qiyas ke atas menggunakan bahan beracun yang membinasakan tubuh badan dan prinsip Maqasid al-Syariah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, vape adalah bertentangan dengan syariat. Manakala, hujah untuk menyekat dari berlakunya perkara yang tidak diingini (Sadd dzarai’) pula menyokong pengharaman dan menyarankan agar langkah diambil untuk menyekat penjualannya.
Industri vape dengan fokus pada keuntungan jika dibiarkan jelas mengabaikan prinsip-prinsip ini. Dakwaan bahawa vape adalah ‘lebih selamat’ daripada rokok konvensional adalah mengelirukan, kerana kesan jangka panjangnya masih tidak ‘selamat’ sepenuhnya. Pengusahaindustri vape tidak perlu merasa kecewa dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mengenakan sekatan ketat seperti larangan paparan produk di kedai kerana langkah ini amat wajar demi kemaslahatan negara.
Akta 852 yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 bertujuan memperkukuhkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan dan promosi vape untuk melindungi kesihatan awam. Malay Mail (24 April 2025) melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meningkatkan penguatkuasaan untuk menghalang penjualan vape kepada kanak-kanak bawah umur. Namun, industri vape terus mengutamakan keuntungan, menjejaskan usaha mencapai masyarakat bebas tembakau menjelang 2040, seperti yang digariskan oleh Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan WHO.
Untuk mematuhi prinsip maslahah dan melindungi kesihatan awam, kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh terhadap larangan penjualan vape kepada bawah umur dan sekatan pengiklanan seperti yang digesa oleh Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA). Tingkatkan pendidikan tentang bahaya vape terutamanya di sekolah, untuk mengelakkan normalisasi tabiat merokok di kalangan belia.
Kerajaan dan institusi kesihatan perlu menjalankan kajian mendalam tentang kesan jangka panjang vape untuk menyokong dasar yang lebih tegas. Kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada anak-anak kita atau generasi muda yang menerima kesan dari kelekaan kita. Sudah sampai masanya kita mengambil langkah proaktif menyekat perkembangan industri dari terus mengancam kesihatan bersama.
Walaupun menyumbang kepada ekonomi, industri vape bertentangan dengan ketetapan syariat kerana mendahulukan keuntungan berbanding kesihatan awam. Islam mengutamakan usaha menghilangkan kemudaratan berbanding keuntungan yang merugikan dalam jangka masa panjang. Dengan kos rawatan penyakit dan peningkatan angka kematian berkaitan merokok yang tinggi, Malaysia tidak boleh mengabaikan ancaman ini. Pemasaran agresif yang menyasarkan golongan muda dan risiko kesihatan yang serius menuntut tindakan segera. Dengan penguatkuasaan undang-undang, kesedaran awam dan dasar yang tegas, Malaysia boleh melindungi generasi masa depan daripada kemudaratan dan dalam usaha mencapai masyarakat sihat.