“Saya mahukan zuriat, bolehkah kaedah ibu tumpang membantu saya? Ibu saya sudah lama koma, saya mahu melihat kesakitan ibu ditamatkan? Isteri saya telah mengalami keguguran dan doktor mahu menjalankan penyelidikan ke atas janin, bolehkah saya memberikan keizinan? Saya memerlukan buah pinggang bagi menggantikan buah pinggang saya yang rosak teruk dengan segera, bolehkah saya membelinya?
Apa yang dinyatakan di atas merupakan beberapa persoalan kehidupan yang biasa di dengar atau diutarakan. Apabila persoalan-persoalan itu ditanyakan, kita mahukan jawapan – boleh atau tidak serta sama ada wajar atau tidak wajar. Kadangkala, dalam keadaan keliru dan gusar, jawapan yang dicari itu sukar ditemui walaupun kita amat memerlukan jawapan tersebut dengan segera.
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas merupakan sebahagian persoalan yang secara tidak langsung ada kaitannya dengan persoalan-persoalan etika. Dalam hal ini, etika merujuk kepada himpunan nilai dan moral yang menjadi piawaian tindakan individu, organisasi dan profesion. Dengan kata lain, ia membimbing manusia untuk membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan.
Bioetika pula merupakan satu kajian secara tersusun tentang etika dalam bidang sains hayat (biologi) dan perubatan. Ini bermakna ia mengkaji masalah etika dan keputusan yang berkait dengan organisma hidup. Tumpuan bidang ini adalah kepada persoalan-persoalan yang timbul dalam hubungan pelbagai bidang lain seperti sains hayat, bioteknologi, perubatan, politik, undang-undang, falsafah dan agama. Dengan itu, bidang bioetika ini sangat bersifat interdisiplin. Antara masalah yang menjadi tumpuan bioetika masa kini ialah kajian sel induk, pengguguran, pengklonan, penggunaan haiwan dalam uji kaji, pemindahan organ dan banyak lagi.
Apakah pula kaitannya isu ini dengan masyarakat? Isu bioetika semestinya amat berkait dengan kehidupan masyarakat. Apa yang nyata ia memberi kesan kepada kehidupan manusia dan dalam keadaan tertentu ia mungkin mencabar nilai-nilai moral yang sedia ada bagi seorang individu, termasuklah nilai-nilai moral berasaskan agama. Malah apa-apa keputusan yang diambil dalam menangani isu bioetika selanjutnya akan memberi kesan kepada bukan sahaja diri individu malah kepada alam sekitar, budaya serta undang-undang sesuatu negara. Sebagai contoh, jika keputusan diambil untuk membenarkan pengklonan manusia, maka kita boleh menjangkakan kesan-kesan tertentu – sama ada kesan baik mahupun tidak – kepada kehidupan dan kesihatan manusia, keperluan untuk mengubah undang-undang, kecelaruan nasab manusia, keruntuhan institusi perkahwinan, penyalahgunaan DNA manusia dan banyak lagi kesannya.
Melihatkan kepada contoh yang diberikan ini maka adakah kita bersedia untuk mempertaruhkan kehidupan manusia dan persekitarannya dengan mengambil sikap jahil terhadap isu bioetika? Memang tidak dapat dinafikan bahawa perkataan bioetika itu sendiri kedengaran agak asing bagi masyarakat. Maka kemungkinan besar sebahagian ahli masyarakat menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak ada kaitan dengan mereka. Malah, dalam keadaan tertentu, apabila melihat perkataan bioetika itu sendiri, kita mungkin berasakan bahawa hanya pakar atau saintis sahaja yang memahaminya dan berkelayakan berbicara tentangnya. Persepsi ini memisahkan masyarakat dan isu bioetika. Pemisahan ini pula tidak wajar kerana ia hanya akan memberikan keizinan kepada pihak lain membuat keputusan bagi pihak ahli masyarakat.
Nyata bahawa anggapan bahawa isu bioetika dan masyarakat tidak bertembung pada satu titik adalah silap. Seperti mana yang ditunjukkan di awal makalah ini, persoalan-persoalan bioetika yang diutarakan itu amat berkait dengan kehidupan masyarakat. Apatah lagi dalam keadaan masa kini, dengan perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat, persoalan-persoalan etika yang bersangkutan dengan bidang perubatan dan sains hayat akan terus memberikan cabaran dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu, jika masyarakat memilih untuk mengabaikan perbincangan isu bioetika maka itu akan hanya menimbulkan masalah.
Dengan itu, ahli masyarakat mesti cuba memainkan peranan yang penting dalam perbincangan isu-isu bioetika. Jika ahli masyarakat berasakan bahawa aspek kepakaran sesuatu yang utama maka pemikiran ini perlu diubah. Ini kerana kepakaran bukanlah satu-satunya perkara penting dalam perbincangan isu bioetika. Jika kepakaran itu ada maka ini satu bonus. Namun, kesedaran tentang wujudnya isu etika dalam perubatan dan sains hayat itulah yang lebih penting. Ini bermakna ahli masyarakat sewajarnya boleh dan mampu menanyakan soalan etika yang berkaitan perkembangan atau penemuan baharu dalam bidang perubatan dan sains hayat.
Jelas bahawa kepakaran bukan isu utama. Apa yang lebih penting adalah keinginan untuk tahu yang tinggi serta diiringi dengan kemahuan untuk terlibat dalam sesuatu isu yang ditimbulkan. Dua perkara ini akan menggalakkan seseorang individu mendapatkan maklumat yang perlu dalam memahami isu-isu bioetika. Apatah lagi jika isu-isu itu mempunyai kaitan yang rapat dengan syariah Islam dan keharmonian hidup masyarakat Muslim secara keseluruhannya. Sebenarnya, banyak sekali isu bioetika yang mencabar kehidupan masyarakat Muslim dan syariah Islam itu sendiri. Walaupun, syariah Islam mempunyai jawapan terhadap isu-isu yang ditimbulkan namun kita tidak dapat menafikan bahawa cabaran itu akan sentiasa ada dan mungkin bertambah hebat pada masa akan datang. Oleh itu, kerjasama ilmuwan Islam kini dan masyarakat Islam keseluruhannya amat diperlukan dalam menangani pelbagai isu bioetika masa kini.
Selepas mengetahui dan memahami sesuatu isu bioetika, dimanakah pula ahli masyarakat boleh menyuarakan dan menyampaikan kegusaran mereka? Sememangnya saluran tertentu perlu ada jika mahu masyarakat melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan isu bioetika. Salah satu saluran yang telah diwujudkan ialah melalui Majlis Bioetika Negara yang baharu sahaja dilancarkan pada 22 Mei 2012. Majlis ini ditubuhkan untuk memberi nasihat, menyelesaikan dan menguruskan isu-isu bioetika di negara ini. Dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan ini pastinya Majlis tersebut memerlukan sokongan ahli masyarakat untuk menonjolkan (highlights) dan memberi pandangan terhadap isu-isu bioetika. Kerjasama yang baik sebegini diharapkan dapat memberikan impak yang positif dalam menangani isu-isu bioetika yang sentiasa akan wujud di persekitaran kehidupan masyarakat.