Dalam sebuah hadith nabi SAW telah bersabda yang bermaksud “Ceburilah kegiatan perniagaan kerana di dalamnya terdapat sembilan persepuluh sumber rezeki.” (Al-Tirmizi). Dengan mengambil pengajaran daripada utusan nabi SAW setiap peniaga Muslim perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah satu ibadah dan sangat dituntut dalam Islam.
Namun begitu, setiap peniaga Muslim sewajarnya mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan terutamanya dalam mengendalikan urusan jual-beli bersama pelanggan. Tujuan etika perniagaan Islam ini adalah untuk memastikan setiap peniaga yang menceburi dalam bidang perniagaan dapat mengelakkan diri daripada segala sifat terkeji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah).
Keadaan ini penting bagi menjamin kemaslahatan ummah dapat terpelihara daripada segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan, ketidakadilan, pertikaian, penindasan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dihalang. Di samping itu, mereka dapat melindungi hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga sebagai penjual dan pengguna sebagai pelanggan barangan terbabit.
Hak kedua-dua pihak ini perlu dijaga bagi memastikan setiap peniagaan yang dijalankan berjalan dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan. Dalam Al-Quran berulang kali mengingatkan para peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras terhadap penipuan dan penyelewengan dalam perniagaan. Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai merupakan sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.
Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud, “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.” (Al-An‘am, 6:152) dan “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.” (Hud, 11:84). Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa penipuan daripada segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga dapat menghindari kesan-kesan negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan mereka.
Begitu juga sebagai peniaga Muslim dianjurkan supaya menitik beratkan kualiti kerja atau hasil atas barangan yang diniagakan. Islam menegah seseorang peniaga mengekploitasi pelanggan dengan menjual barangan yang berkualiti rendah pada harga yang tinggi semata-mata kerana tidak ada orang lain yang menawarkan barangan yang serupa. Kualiti produk yang rendah tidak dapat menjamin pembelian yang berterusan dan tidak dapat menjamin kesetiaan pelanggan kepada barangan tersebut. Implikasinya akan membawa kepada kegagalan perniagaan. Barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan bukan sahaja dapat meningkatkan jualan tetapi juga dapat menjaga reputasi perniagaan.
Selain itu, sebagai peniaga Muslim mereka perlu beramanah. Islam turut melarang keras peniaga yang tidak amanah. Peniaga tidak boleh membohongi dan mengkhianati pelanggan, menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi dan melengahkan pembayaran kepada pengedar atau pembekal barangan ke kedainya. Ini bermaksud perlakuan peniaga hendaklah menjurus kepada perilaku benar atau amanah dalam urusan perniagaan.
Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet walaupun peniaga tidak bersemuka dengan pelanggan, namun mereka perlu menjaga amanah dalam memastikan barangan yang ditempah itu sama kualitinya dengan barang yang dipesan menerusi blog atau email. Penekanan supaya beramanah ini disebut dalam ayat al-Quran di mana Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimany.” (al-Nisa’, 4:58). Amanah dalam ayat di ini bermaksud tanggungjawab yang diterima seseorang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Penipuan dan penindasan akan dapat dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.
Peniaga yang beretika juga perlu melaksanakan al-‘Adl atau keadilan. Ini bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta memberikan hak kepada orang yang berhak.
Dalam erti kata lain, keadilan bererti meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul. Allah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan.”(Al-Nahl, 16:90) Oleh itu, keadilan dalam perniagaan akan memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual akan mendapat haknya. Dengan pengamalan etika ini, peniaga akan mendapat untung yang sewajar dan pembeli akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang dibayar.
Begitu juga dalam setiap perniagaan, sebagai peniaga Muslim hendaklah sentiasa mengutamakan hubungan komunikasi antara pelanggan. Ucaplah kata-kata yang manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan cubalah mempertimbangkan kepentingan semua pihak. Selain itu, peniaga hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi “consumer expectation”. Kepuasaan pelanggan adalah keutamaan mereka.
Ketepatan masa merupakan salah satu daripada nilai dan etika yang ditekankan dalam perniagaan Islam. Penggunaan masa secara baik dan berkesan akan dapat membantu peniaga dan pengusaha menyempurnakan kerja dengan cepat, tepat dan menepati masa yang ditetapkan.
Soal ketepatan masa ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Al-‘Asr, 103:1-3). Kebijakan peniaga dan pengusaha mengurus masa dengan berkesan akan dapat mengelak kesusahan di pihak pengguna dan juga dapat meningkatkan produktiviti.
Daripada perbincangan di atas, jelaslah dengan kewujudan peniaga beretika yang berlandaskan ajaran al-Quran sudah tentu dapat membentuk kemurniaan peribadi dan seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Amalan penipuan, ketidakadilan, penindasan dan penganiayaan dapat dielakkan. Sebaliknya, ekonomi peniaga Muslim akan menjadi semakin berkembang dan wujud semangat bekerjasama serta saling bantu-membantu dalam kehidupan masyarakat.