MUZAKARAH bermaksud perbincangan dan pertukaran pandangan yang berdasarkan ilmu pengetahuan. Hasil dari satu muzakarah ialah pertemuan fikiran dan fakta ilmu yang merupakan penyelesaian bagi satu isu atau masalah yang dipertikaikan.
Berdasarkan pengertian yang luas ini maka saya fikir dunia Islam seluruhnya memerlukan satu muzakarah yang dapat menyelesaikan banyak persoalan yang berkaitan dengan dasar dan falsafah negara, terutamanya dilihat dari perspektif Islam, kerana dasar dan falsafah pemerintahan inilah yang sering diperdebatkan sehingga membawa kepada pertikaian dan perselisihan yang berpanjangan, malah kadang-kadang membawa kepada pertumpahan darah.
Kita di negara ini juga tidak terkecuali dari perdebatan ini. Perdebatan tentang negara ”Islam” atau ”tidak Islam” negara ”sekular” atau tidak mengikut al-Quran malahan perlembagaan negara sebagai ”perkembangan kafir” dan beberapa isu lain sering menjadi bahan polemik yang tidak berkesudahan.
Saya berpandangan bahawa isu-isu ini haruslah diperdebatkan secara ilmiah dan berdasarkan bahan dan fakta ilmu, oleh itu kita memerlukan seramai mungkin para ilmuwan dan bijak pandai kita untuk turut serta memecahkan persoalan itu dan memberikan pengertian yang sebenarnya perkara ini kepada masyarakat umum daripada hanya membiarkan perbicaraan ini di kalangan ahli-ahli politik semata-mata.
Oleh itu saya rasa muzakarah yang dicadangkan untuk menyatukan umat Melayu yang bererti melibatkan juga umat Islam di negara kita haruslah diasaskan di atas platform ilmu untuk membicarakan apakah negara ini negara ‘Islam” atau sebaliknya ini mendukung falsafah pemerintahan ”sekular”? Apakah konsep ”kembali kepada al-Quran dan sunah” dalam semua aspek kehidupan dan pentadbiran negara? Apakah benar negara ini tidak melaksanakan undang-undang syariah?
Seperti yang disebutkan di atas persoalan telah agak lama diperdebatkan di dalam dunia Islam umumnya, dan perkara-perkara inilah yang menjadikan masyarakat Islam berpecah belah sehingga membawa kepada kafir mengkafir sesama sendiri umat Islam tidak mengetahui negara Islam manakah sebenarnya yang boleh dianggap sebagai model negara Islam di kalangan negara Islam di dunia ini. Mereka juga tidak tahu mana satukah perlembagaan negara Islam yang benar-benar dapat dikatakan sebagai perlembagaan Islam pada masa kini.
Kerana ketidaktentuan fokus pembicaraan yang berdasarkan ilmu pengetahuan inilah maka akhirnya umat Islam lebih cenderung kepada pembahasan retorika dan emosi, dan hal ini membawa kepada timbulnya gejala fanatik dan sentimen kepada puak yang tertentu.
Contohnya slogan ”kembali kepada al-Quran dan sunah’ sering digunakan untuk menggambarkan satu idealisme, tetapi agendanya tidak jelas dan tidak pula disertai dengan perancangan yang strategik serta praktikal maka akibatnya slogan ini hanya menjadi slogan tanpa pengisian yang sebenarnya. Slogan ini menjadi begitu popular di kalangan masyarakat umum sehingga mereka tidak lagi dapat melihat hakikat sebenarnya tentang pembangunan Islam yang sedang dijalankan yang merupakan agenda pembangunan Islam dalam mengisi gagasan kembali kepada al-Quran dan sunah”.
Hal yang sama juga dapat dilihat dari sudut kekeliruan yang ditimbulkan tentang negara ”kafir” atau ”sekular” yang dikeluar secara mutlak dan mudah begitu sahaja. Kerana ketandusan ilmu pengetahuan maka kata-kata ini menjadi pengucapan masyarakat Islam tanpa memahami apakah fahaman sekular itu yang sebenarnya? Adakah negara kita mengambil falsafah sekular sebagai falsafah pemerintahan?
Persoalan begini tidak mendapat penjelasan yang benar, dan akibatnya maka masyarakat umum akan turut mengulang-ulangkan apa yang diajar kepada mereka sehingga dengan itu mereka merasakan bahawa itulah ”ilmu” yang mereka fahami.
Berdasarkan hakikat ini saya rasa penjelasan menyeluruh dan penyebaran ilmu yang konkrit tentang isu-isu perdebatan dan haruslah dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya umat kita benar-benar memahami apa yang mereka sering perkatakan malah apa yang sering mereka perdebatkan.
Masyarakat perlu dididik dari peringkat yang serendah rendahnya hingga ke peringkat atas, iaitu dari peringkat sekolah hingga ke universiti, dari masyarakat kampung hingga ke kota, dari masyarakat orang biasa sehingga ke peringkat ahli-ahli profesional dan elit untuk memahami isu ini dengan jelas dan holistik, global dan sejagat, tidak lagi dalam bentuk slogan dan retorika.
Oleh itu saya rasa para intelek dan ilmuwan tidak seharusnya memandang isu-isu yang diperdebat dan dipertikaikan itu hanya merupakan isu politik yang tidak perlu mereka melibatkan diri kerana takut dianggap sebagai orang yang diperkatakan oleh orang politik.
Berdasarkan hal ini saya rasa muzakarah untuk menyatukan umat Melayu dan Islam haruslah dilangsungkan dengan tujuan untuk memahami isu bersama yang dipertikaikan selama ini secara ilmu, lengkap dengan fakta, teori dan praktisnya serta hakikat status umat Islam di negara ini.
Muzakarah ini juga hendaklah mempunyai matlamat untuk mendidik masyarakat umum bagi membuka minda mereka dan berfikiran positif dalam menilai dan menganalisis masalah diri. Sesungguhnya isu yang hendak dibincangkan adalah merupakan isu negara dan bangsa keseluruhannya, bukan isu mana-mana parti politik dalam pengertian yang amat sempit. Isunya ialah isu hidup matinya umat Melayu dan Islam di negaranya sendiri.