AIDIL ADHA tidak dapat dipisahkan dari nama Nabi Ibrahim, isterinya Hajar dan putera mereka Nabi Isma‘il. Malahan dalam naratif global, termasuklah isterinya Sarah dan putera mereka Nabi Ishaq — kerana Yahudi dan Kristian turut menunjuk Ibrahim sebagai pengasas tradisi mereka.
Harus diingat gabungan Yahudi, Kristian dan Islam sekarang memiliki lebih 4.2 bilion penganut, merangkum 56% penduduk planet bumi. Meskipun demikian, Islam membuktikan ciri-ciri yang secocok dengan millah Ibrahim iaitu asas tawhid, cara persyariatan yang mudah, dan institusi penting seperti kefarduan Haji dan qurban.
Kehebatan seseorang insan dalam meraih kejayaan diistilahkan oleh bahasa moden sebagai “heroism” atau terjemahan Melayunya “faham kepahlawanan” — dipinjam dari Bahasa Parsi pahlavān. Gelaran tersebut merujuk kepada keagungan seorang yang menyerlahkan perwatakan gagah lagi berani dalam berjuang membela kebenaran.
Apabila Thomas Carlyle memulakan siri syarahannya yang amat terkenal dalam tahun 1840, beliau menonjolkan heroism dengan peristiwa kemunculan insan-insan agung dalam sejarah Dunia yang mencorakkan hal-ehwal antarabangsa, dan berpengaruh terhadap pemikiran sejagat. Justeru bagi Carlyle konsep kepahlawanan merupakan tema yang maha luas sukar dibataskan, “seluas sejarah Dunia itu sendiri (wide as Universal History itself).”
Nama Nabi Ibrahim diulang 66 kali dalam al-Qur’an; surah keempat belas diberi judul “Ibrahim”. Dalam ayat-ayat itu, terumus bahawa Allah menjadikan Baginda khusus sebagai Khalilullah. Istilah Khalil bererti “teman akrab yang dikasihi kerana tabiat, kebiasaan dan tingkah lakunya yang teristimewa.”
Allah menobatkannya melalui firman “Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah sedang dia berbuat kebajikan, dan dia menuruti millah Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi teman kesayangan-Nya (Khalil)” (al-Nisa’, 4:125).
Justeru Nabi Ibrahim bertakhta di hati kaum Muslimin sebagai Penghulu agama yang ajarannya tidak sulit untuk dipatuhi: “Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan, (secocok dengan) millah bapa kamu Ibrahim” (al-Hajj, 78:22).
Dalam tiap solat lima waktu sehari semalam, seseorang Islam mengucapkan salawat dan salam penghormatan kepada Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim melalui tasyahhud terakhir. Sebab itu kita mengenali Nabi Ibrahim lebih daripada para rasul yang lain.
Rasulullah acap kali bersabda bahawa rasul yang paling mirip kepada Baginda ialah Nabi Ibrahim, sama ada secara fizikal mahupun kerohanian. Dalam satu riwayat lain oleh al-Hakim, Rasulullah bersabda “Tiap nabi adalah lebih dekat kepada nabi-nabi tertentu berbanding dengan yang lain. Aku adalah yang paling dekat kepada Bapaku Ibrahim, dan beliaulah teman karibku.” Rasulullah memetik ayat 68 surah Ali ‘Imran, “Sesungguhnya orang-orang yang lebih dekat (awla) kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad) serta orang-orang yang beriman.”
Dalam peristiwa Mi‘raj, diriwayatkan bahawa Rasulullah diraikan oleh seorang atau dua rasul tertentu di tiap lapisan langit, dengan Nabi Ibrahim menyambut di langit ketujuh. Sementara rasul-rasul yang lain menggelarnya sebagai “saudaraku”, Nabi Ibrahim memanggilnya sebagai “puteraku”.
Nabi Ibrahim lahir di Ur Kaśdim (Iraq sekarang). Risalah Baginda meruntuhkan sembahan berhala menyebabkan kaum kota Mesopotamia purba itu bukan sekadar menafikan kerasulannya, tetapi melakukan penindasan ganas. Baginda berhijrah ribuan kilometer mulanya ke Haran (Turki sekarang) dan kemudian ke Palestin.
Apabila berlaku kebuluran di Palestin, Baginda memimpin keluarga dan pengikutnya ke Mesir di bawah pemerintahan Fir‘awn yang dikenalpasti oleh sejarahwan sebagai Amenemhet II (bertakhta sekitar tahun 1936 hingga 1904 sebelum Masihi). Menurut Rabbi Salomon ibn Ishaq of Troyes, Fir‘awn tersebut telah menganugerahkan puteri raja Memphis, Hajar kepada Ibrahim; mereka kemudian dikurniakan seorang putera, Isma‘il.
Nabi Isma‘il diiktiraf al-Qur’an “termasuk orang-orang yang paling baik (akhyar)”, “yang sabar (sabirin)”, dan “yang benar janjinya (sadiq al-wa‘d).” Dalam peristiwa Qurban terserlah bagaimana Nabi Isma‘il berjanji kepada bapanya untuk cekal dan tabah atas penyembelihan dirinya, dan dia menepatinya lalu diganti dengan seekor bebiri jantan.
Empat ribu tahun sudah berlalu dari zaman Nabi Ibrahim, tetapi peristiwa tersebut menjadi dasar disyariatkan ibadah Qurban biri-biri, kambing, lembu, kerbau atau unta. Saban tahun umat Islam melaksanakannya pada Aidil Adha dan hari tasyrik di seluruh dunia amnya dan di Mina khususnya.
Sejarah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim melakukan permusafiran dari Palestin ke Mekah sebanyak lima kali. Pada kali yang kelima, Baginda bersama Nabi Isma‘il membina Ka’bah, “rumah yang terawal dibangunkan sebagai tempat beribadat manusia” (Ali ‘Imran, 3:96). Baginda seterusnya menginstitusikan cara peribadatan haji dan lokasinya termasuk di Mina, Muzdalifah, dan Arafah.
Jemaah haji dan umrah turut melakukan ibadah sa’y dari bukit Safa ke Marwah sebagai memperingati iltizam Hajar — penghormatan terhadap kecintaan ibu kepada anaknya yang menjadi cermin kasih-sayang Tuhan kepada makhluk.
Nabi Ibrahim wafat di Hebron, Palestin. Al-Qur’an merakamkan wasiat Ibrahim kepada puteranya Isma‘il dan Ishaq agar patuh kepada Tuhan semesta alam. Kemudian Isma‘il berpesan yang sama kepada dua belas orang puteranya, sementara Ishaq menukilkannya kepada Ya‘qub yang seterusnya berwasiat kepada dua belas orang puteranya, kabilah Bani Isra’il: “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan menyerahkan diri kepada Allah” (al-Baqarah, 2:132).