Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah Rahmat dan Kasih sayang-Nya, maka kita sekali lagi diberikan peluang meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini yang jatuh pada 31 Julai 2020 bersamaan 10 Zulhijjah 1441 Hijrah. Di samping kita memperbanyakkan takbir, tahmid, zikir dan berselawat sempena bulan Zulhijjah ini, kita juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wat’ala agar kita dipelihara dan di beri perlindungan dari jangkitan penyakit covid-19 yang sedang menyerang umat manusia di seluruh dunia.
2. Menjelang Aidiladha, kebiasaannya umat Islam di seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci untuk menjalankan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji. Di samping mendidik umat Islam untuk sanggup berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta demi menurut perintah Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya. Ibadah haji juga mengajak umat Islam bersatu demi mencapai matlamat yang mulia bersama. Ramai rakyat Malaysia tidak dapat menjalani Ibadah Haji pada tahun ini oleh kerana penularan wabak COVID-19, demi mengambil kira maslahah kesihatan jiwa dan raga umat manusia yang juga merupakan sebahagian dari matlamat Syariah.
3. Kedatangan Aidiladha pada setiap tahun mengingatkan kita pada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam. Allah Subhanahu Wata’ala menjadikan peristiwa ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kita juga menyarankan kepada umat Islam yang menjalankan ibadah korban pada tahun ini agar menuruti Standard Operating Procedures (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa supaya terpelihara dari penyebaran wabak covid-19.
4. Aidiladha memberi kita beberapa nilai dan kelebihan bagi kehidupan manusia. Pertama: menepati waktu, iaitu melakukan korban pada waktu yang khusus; jika tidak berbuat demikian, maka jadilah korban sebagai sembelihan biasa. Keduanya: kelebihan korban adalah menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala, bersyukur atas kurniaanNya. Ketiga: berbudi kepada golongan miskin, memupuk semangat dermawan, melahirkan akhlak yang terpuji, dan merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam.
5. Pada kesempatan ini, saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan terus mengurniakan limpah nikmat keamanan dan kesejahteraan kepada kita semua. Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.