Kita baru sahaja menjalani ibadah puasa dan seterusnya menyambut perayaan atau menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Setelah sebulan berpuasa kita sebenarnya telah menjalani satu tarbiyah Ramadan yang di dalamnya terkandung banyak pengajaran dapat kita pelajari daripadanya. Pengajaran ini dapat kita lihat dari tiga dimesi utama iaitu, hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan makhluk yang lain dan hubungan dengan alam.
Mengenai hubungan kita dengan Allah, kita telah melaksanakan banyak amalan-amalan sunnat di sepanjang bulan Ramadan yang lepas. Kita telah melakukan solat-solat sunat seperti solat terawikh, solat tahajud, witir dan lain-lain. Mungkin timbul persoalan di dalam minda kita. Apakah falsafah atau makna di sebalik amalan wajib dan amalan sunat yang kita lakukan ini?
Secara amnya, amalan wajib yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan tanda ketaatan kita kepada Allah SWT manakala amalan sunat yang kita lakukan itu pula adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.
Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan syukur. Jika kita teliti perkataan syukur ini berada di hujung ayat. Contoh-contoh adalah seperti di dalam Surah al-Baqarah ayat 52, 56, 185 dan 243, Surah al-Maidah ayat 6 dan 89, Surah al-An’Aam ayat 53 dan 63, Surah al-A’raaf ayat 10, 17, 58, 144 dan 189, Surah al-Anfaal ayat 26, Surah Yunus ayat 22, Surah Ibrahim ayat 5 dan 37, Surah An-Nahl, ayat 14 dan 78, Surah Al-Anbiyaa’ ayat 80, Surah al-Hajj ayat 36, Surah al-Mu’minun ayat 78, Surah al-Furqaan ayat 62, Surah al-Qasas ayat 73, Surah ar-Ruum ayat 46, Surah Luqman ayat 31,Surah as-sajadah ayat 9, Surah Saba’ ayat 13 dan 19, Surah Faatir ayat 12, Surah Yaasiin ayat 35 dan 73, Surah Az-Zumar ayat 66, Surah al-Mu’min ayat 61, Surah Asy-Syura ayat 33, Surah al-Jaathiyah ayat 12, Surah al-Waaqi’ah ayat 70, Surah al-Mulk ayat 23,
Tanda kesyukuran ini juga sepatutnya kita lahirkan terhadap alam yang kita diami ini iaitu hubungan kita dengan alam. Menghargai alam ini juga seharusnya dapat kita zahirkan dalam bentuk amalan hijau. Tujuaan utama amalan ini adalah untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau di samping penjimatan kos.
Sebagai contoh, kad-kad ucapan Hari Raya yang kita terima dalam bentuk maya adalah salah satu langkah amalan hijau. Penggunaan kertas terutama yang diimport akan melibatkan banyak pembebasan gas karbon dioksida. Begitu juga ketika mengadakan jamuan hari raya. Penggunaan mangkuk polistirena dan plastik sepatutnya digantikan dengan bahan-bahan-bahan mesra alam atau bekas-bekas seperti kaca yang tidak dipakai buang. Selepas menyambut Hari Raya pula, masyarakat kita telah dibudayakan mengadakan rumah terbuka samada di rumah-rumah atau di pejabat-pejabat. Oleh itu, perlu ada satu garis panduan berkaitan dengan amalan hijau apabila menyambut perayaan.
Cara pengiraan jumah pembebasan gas rumah hijau ini dapat dibahagikan kepada tiga skop utama iaitu skop satu (pelepasan secara langsung), skop ke dua (pelepasan daripada penggunaan elektrik) dan skop ketiga (pelepasa secara tidak langsung termasuk pelepasan daripada perjalanan perniagaan dan pelepasan daripada pusat data.
Di Malaysia ini, isu pembebasan gas rumah hijau ini bukanlah suatu isu baru. Punca utama adalah berpunca daripada pembakaran bahan api fosil oleh industri. Pengangkutan menyumbang antara 10-19 peratus pelepasan karbon daripada setiap individu terhadap alam sekitar dari segi pengeluaran dan penggunaan bahan api.
Beberapa langkah-langkah berikut mungkin boleh dilaksanakan ke arah amalan hijau. Berbasikal adalah satu amalan yang amat baik sekali terutama dari segi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida, penjimatan kos, penjagaan kesihatan serta mengurangkan kesesakan. Kini, bandaraya New York Amerika Syarikat telah melancarkan satu program berbasikal yang terbesar di dunia yang antara lain adalah untuk menggalakkan penduduknya mengubah cara hidup dengan menggunakan basikal sebagai pengangkutan seharian.
Selain itu, faktor pemakanan juga dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon. Pemakann ini bergantung kepada jenis makanan yang dipilih, bahan yang digunakan bagi membungkus makanan serta cara penghantaran makanan. Makanan organik merupakan makanan yang tidak menggunakan racun perosak serta baja buatan manusia kerana racun perosak dan baja buatan manusia akan menambahkan pelepasan karbon dioksida,
Akhir sekali, Kehidupan kita ini adalah sebuah putaran. Pada sekitar tahun 30,40 dan 50an, berjalan kaki, berbasikal, mengunakan sampan adalah sumber pengangkutan utama waktu itu, kereta hanya dimiliki oleh golongan tertentu, rumah-rumah tidak mempunyai penghawa dingin, seterika tidak menggunakan elektrik tetapi menggunakan arang, industri-industri lebih berasaskan kraftangan dan seni, pembukaan tanah-tanah atau penerokaan hutan dilakukan secara manual menggunakan kapak, gergaji tidak menggunakan jentera-jentera berat.
Tetapi selepas revolusi industri berbagai-bagai produk ciptaan manusia telah memasuki pasaran dan akhirnya sampai ke Malaysia seterusnya ke kampung-kampung. Alat penghawa dingin kini telah menjadi perkara biasa penduduk kampung. Berbagai-bagai jenis kenderaan yang menggunakan petrol dan disel di hasilkan, industri-industri berat tumbuh seperti cendawan, akhirnya apa yang dihasilkan oleh manusia menyebabkan pembebasan gas rumah hijau yang merupakan ancaman kepada dunia pada hari ini.
Kini manusia sedikit demi sedikit cuba menggurangkan penggunaan teknologi. Konsep amalan hijau ini akhirnya menemukan cara supaya manusia kembali kepada asal atau back to basis atas dasar pembebasan gas rumah hijau.