Rantaian makanan yang semakin kompleks pada hari ini seringkali dikaitkan dengan kesan kepada perubahan iklim dunia dengan peningkatan gas rumah hijau, penebangan hutan, penggunaan tanah dan kemusnahan biodiversiti. Sumbangan sektor makanan dan pemakanan kepada pembebasan gas rumah hijau dianggarkan mencecah sebanyak 15% sehingga 31%. Di samping pelbagai aktiviti dalam sistem makanan menyumbang kepada pengeluaran gas rumah hijau, jenis kumpulan sesuatu makanan yang dimakan juga turut menjadi faktor. Oleh itu, tabiat makan yang sihat dan lestari perlu dilihat secara holistik dengan memberi penekanan tentang prinsip pemeliharaan dua elemen iaitu kesihatan dan alam sekitar.
Pemakanan yang kurang memberi impak kepada alam sekitar akan menyumbang kepada sekuriti makanan dan zat makanan yang baik untuk kesihatan kehidupan sehingga generasi seterusnya. Diet yang lestari akan melindungi dan mengekalkan kewujudan biodiversiti dan ekosistem, senang diperolehi, mudah dan murah secara ekonomi, berzat, selamat dan sihat di samping mengoptimakan penggunaan sumber manusia dan semula jadi. Secara idealnya, diet lestari merangkumi diet sihat dan kedua-duanya mempunyai hubungan sinergi.
Peranan masyarakat pengguna amat penting dalam membuat pilihan terhadap variasi makanan yang sihat. Dalam masa yang sama juga perlu menjaga persekitaran serta tidak meninggalkan kesan yang tidak diingini demi kelangsungan sumber dan alam untuk generasi yang akan datang. Kelestarian dalam konteks diet dan makanan ini bukan sekadar melibatkan pilihan jenis makanan, tetapi juga sikap dan tingkahlaku pengguna terhadap penggunaan lestari, etika dan persepsi terhadap tabiat pemakanan sihat turut menjadi faktor penting.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah membangunkan panduan pemakanan sihat dengan mengintegrasikan unsur kesihatan dan kelestarian. Usaha ini dilihat sejajar dengan prinsip diet sihat dan lestari yang menekankan pemilihan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam sajian harian dan mengurangkan pengambilan daging. Di samping itu, masyarakat dididik untuk mempelbagaikan pilihan makanan, mengurangkan pengambilan makanan terproses, menekankan keseimbangan zat, dan mengelakkan pengambilan pewarna dan perisa tambahan. Panduan yang diketengahkan ini seharusnya dipraktiskan oleh masyarakat pengguna kerana ia menepati prinsip tabiat pemakanan sihat dan lestari.
Pendidikan yang mengakar akan melahirkan pengguna yang bijak dan bersikap rasional dalam pengambilan makanan, penggunaan barangan dan perkhidmatan seharian. Pendidikan amat penting bagi membudayakan sikap dan meningkatkan kesedaran kepada penggunaan lestari dalam konteks makanan dan pemakanan. Etika pemakanan yang bersederhana sepertimana yang dianjurkan dalam Islam dapat mengelakkan pembaziran dan mengurangkan sisa makanan. Secara tidak langsung, ini akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Secara teori, amalan ini kelihatan mudah dilaksanakan tetapi akan menjadi sukar sekiranya tiada kesedaran dan keprihatinan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini.
Aspek pemakanan lestari akan membantu memelihara kesihatan fizikal dan juga kesihatan alam sekitar. Oleh itu, prinsip diet sihat dan lestari iaitu berdasarkan pemilihan makanan yang bijak dan betul, mengurangkan pembuangan sisa makanan, memaksimumkan pengambilan sumber semulajadi dan segar serta pengasingan bahan buangan perlu diamalkan untuk meminimakan kesan kepada alam sekitar seterusnya bagi mendapatkan hidup yang berkualiti pada masa kini dan akan datang