Hubungan dan kebergantungan manusia terhadap air tidak dapat dinafikan sama sekali. Air penting dalam kehidupan manusia. Selain kelangsungan hidup (makan dan minum), manusia juga memerlukan air untuk tujuan santai dan hiburan.
Kepentingan sumber air boleh juga dilihat dari sudut pandang agama. Dalam pandangan hidup Islam, pentingnya air itu boleh dilihat dari aspek kewujudannya. Air diwujudkan lebih awal daripada manusia, malah lebih awal daripada kewujudan alam itu sendiri. Ayat 17, surah Hūd menjelaskan antara maksudnya, “…sedang Arasy-Nya, berada di atas air…” Sebuah hadis daripada Imam al-Bukhari memperkukuhkan kenyataan ini dengan maksudnya bahawa, “Tuhan telah ada, dan belum ada sesuatu selain-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas air.”
Semasa proses kejadian manusia, elemen air juga penting. Dalam ayat 19, surahʿAbasa serta ayat 12 hingga 14, surah al-Muʾminūn disebutkan tentang “air mani” serta “air benih” dan kedua-duanya ini jelas mengandungi elemen “air.” Malah, disebutkan pula dalam ayat 54, surah al-Furqān yang maksudnya, “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air…” Pun begitu, bukan sahaja manusia, air juga ialah elemen penting dalam penciptaan haiwan dan ini ditunjukkan dalam ayat 45, surah al-Nūr, yang sebahagiannya bermaksud, “Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air…”
Selain kehidupan duniawi, air juga ialah elemen penting dalam kehidupan ukhrawi. Disebutkan dalam ayat 15, surah Muhammad bahawa terdapatnya beberapa sungai yang mengalir di dalam syurga dan mutu airnya tidak akan berubah rasa serta baunya. Malah terdapat beberapa ayat lain yang turut menyokong kenyataan kewujudan sungai di syurga misalnya dalam ayat 17, surah al-Baqarah dan ayat 43, surah al-Aʿrāf.
Berdasarkan penjelasan tersebut, maka jelaslah bahawa air dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Malah, tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa “air ialah kehidupan.” Hal yang demikian kerana, tanpa air, kehidupan tidak mungkin bermula. Oleh itu, merosakkan sumber air bermakna merosakkan kehidupan secara keseluruhannya. Persoalannya, mengapakah manusia bermaharajalela merosakkan sumber air atau bersikap “acuh tak acuh” terhadap sumber tersebut?
Seperti mana yang diketahui umum, isu pencemaran air menjadi isu hangat sepanjang tahun 2020. Masalah air di Selangor yang berlaku beberapa bulan ini, jelas disebabkan pencemaran bahan kimia. Keadaan tersebut menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di Selangor dan sekitarnya. Keadaan ini amat memalukan bagi sebuah negeri termaju di Malaysia berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)nya. Pada tahun 2019, Selangor menyumbang hampir 24 peratus kepada KDNK Malaysia dan mengekalkan status sebagai penyumbang pelaburan tertinggi di Malaysia. Bukan sahaja Selangor, isu pencemaran sungai turut berlaku di Johor misalnya di Sungai Kim Kim yang telah menyebabkan kesan serta-merta kepada penduduk sekitar dalam bentuk gangguan pernafasan sehingga perlu diberikan rawatan segera. Hakikatnya, masalah pencemaran sungai ini tidak tertakluk di dua buah negeri ini sahaja tetapi berlaku di mana-mana, sama ada diketahui mahupun tidak.
Jika ingin menelusuri kesilapan demi kesilapan pengurusan sumber air di negara ini, sebuah makalah ringkas seperti ini sebenarnya tidak cukup untuk membincangkan semuanya. Ini disebabkan masalah muncul daripada pelbagai aspek misalnya dari aspek dasar negara, perundangan, pemantauan, ekonomi, politik (tadbir urus) dan sebagainya. Oleh itu, makalah ringkas ini hanya menumpukan kepada aspek umum sahaja iaitu kesilapan dari segi pemikiran manusia terhadap sumber air.
Cara berfikir manusia terhadap sumber air akan menentukan cara manusia menggunakannya. Kesilapan utama terletak pada fikiran yang menyangka bahawa sumber air adalah banyak, melimpah-ruah dan tidak mungkin habis. Malaysia ialah sebuah negara yang kaya dengan sumber air. Pada tahun 2016, Malaysia menerima 907 juta meter padu hujan tahunan. Purata jumlah hujan tahunan negara juga tinggi, iaitu antara 2,000mm dan 4,000mm setahun. Nyatalah bahawa Malaysia kaya dengan sumber air hingga boleh menjual air kepada negara jiran, Singapura. Dengan kekayaan sumber air ini, adalah mustahil Malaysia berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih. Namun, hakikatnya, tidak semua air hujan akan menjadi sumber air bersih kerana sebahagiannya turun di kawasan laut, longkang dan sebagainya. Ini ialah sumber air yang tidak boleh digunakan oleh manusia.
Ramai juga antara kita silap berfikir bahawa hal-hal pengurusan air ini hanyalah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Pengguna hanya tahu mengguna dan tidak punya peranan yang signifikan. Apakah logiknya di situ? Hakikatnya, peranan pengguna amat besar. Antaranya, menjadi pengguna bijak menggunakan air secara berhemah. Pengguna juga harus bersikap aktif dan mampu menyuarakan pandangan terhadap pengurusan air di negara ini serta membuat aduan bila perlu.
Kesilapan lain meliputi sangkaan bahawa sumber air ialah air yang keluar daripada paip air semata-mata. Sebenarnya, sumber air terdiri daripada air sungai, air bawah tanah, empangan, tasik dan sebagainya. Untuk air ini sampai kepada pengguna, ia perlu dirawat terlebih dahulu. Ini bukanlah tugasan yang mudah. Kos untuk membina, mengurus serta menyelenggara sumber air adalah terlalu tinggi. Bagi pengguna, tentunya sudah biasa membayar bil air yang rendah tetapi percayalah, jumlah yang dibayar itu tidak menggambarkan kos menguruskan sumber air secara keseluruhannya.
Akhir sekali, wujudnya pemikiran secara terpisah dalam pengurusan pelbagai sumber alam di negara ini. Misalnya, mereka yang menguruskan sumber air tidak bersinergi dengan mereka yang menguruskan sumber hutan. Sedangkan hakikatnya, sumber hutan amat penting dalam memastikan kesejahteraan sumber air. Realitinya, hutan ketika ini dimusnahkan sesuka hati. Jika ini terus berlaku, adakah kita pasti kelestarian sumber air dapat dikekalkan? “Tepuk dada tanyalah selera,” inilah jawapan kepada persoalan yang dilontarkan itu.
Kesimpulannya, air ialah satu nikmat. Maka, janganlah kita kufur terhadap nikmat tersebut. Jika nikmat ini ditarik balik, wujudkah lagi kehidupan selepas itu? Ingatlah, Allah SWT telah memusnahkan kaum-kaum yang kufur nikmat-Nya, misalnya kaum Nabi Nuh, Nabi Hud (kaum ‘Ad), Nabi Saleh (kaum Tsamud), Nabi Syuaib (kaum Madyan) dan sebagainya. Biar apa pun alasan kemusnahan kaum-kaum ini, hakikatnya mereka yang kufur nikmat Allah SWT akan mendapat balasan daripada apa yang mereka kerjakan (ayat 41, surah al-Rūm).