Pada kelazimannya, pekerja akan menghabiskan sekurang-kurangnya sepertiga daripada harinya di tempat kerja. Keadaan ini menjadikan tempat kerja sebagai “rumah kedua” bagi kebanyakan orang. Disebabkan faktor ini, persekitaran tempat kerja yang selamat adalah penting bagi majikan dan pekerja. Bagaimanapun, dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda, usaha menyediakan tempat kerja yang selamat menjadi lebih mencabar.
Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan mendedahkan bahawa kira-kira 30% daripada 230 kluster jangkitan COVID-19 di negara ini berkait dengan tempat kerja. Sehingga akhir Oktober 2020, 37 kluster berkait tempat kerja masih aktif.
Risiko penularan di tempat kerja boleh berlaku kerana banyak sebab. Antaranya adalah kerana ruang pejabat yang sempit, sesak dan kurang pengudaraan. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan sesama rakan sekerja termasuklah bagi mereka yang bekerja dalam suasana bilik yang mempunyai pendingin hawa.
Demikian juga bagi pekerja yang banyak berurusan secara bersemuka dengan pelanggan. Oleh sebab pendedahan sebegini, risiko jangkitan adalah tinggi. SOP yang ditetapkan boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan tetapi ia banyak bergantung kepada sikap dan pematuhan individu itu sendiri.
Sewaktu makan misalnya, kita perlu membuka pelitup muka yang dipakai. Sekiranya kita memilih untuk makan beramai-ramai dengan kawan-kawan sekerja, maka perkara ini sebenarnya meningkatkan risiko jangkitan jika ada dalam kalangan mereka yang positif. Namun hakikatnya, ramai yang suka makan secara beramai-ramai sekalipun ada SOP yang menghadkan jumlah orang di satu-satu meja.
Keselesaan dan kemesraan bersama-sama menjamu selera merupakan naluri manusia yang normal. Bagaimanapun, dalam keadaan pandemik yang sedang berlaku sekarang ini, setiap orang seharusnya memikirkan risiko jangkitan yang boleh berlaku. Pemikiran yang merasakan bahawa tidak mungkin kita boleh dijangkiti harus diketepikan kerana virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 tidak mengenal mangsa.
Tempat kerja yang menjadi rumah kedua juga menjadi zon selesa bagi kebanyakan orang. Apabila berada di tempat kerja, ramai yang merasakan tiada keperluan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Perkara asas seperti pemakaian pelitup muka, pengalaman etika bersin dan batuk, penjagaan kebersihan terutamanya tangan, penjarakan fizikal dan larangan bersalam sering diabaikan.
Hal ini berlaku kerana kita beranggapan bahawa rakan-rakan sekerja di sekeliling sebagai ahli keluarga kedua kita. Memang benar, kita seharusnya mempunyai rasa kebersamaan dan kekeluargaan yang tinggi bersama rakan sekerja. Walau bagaimanapun, kealpaan atau sikap acuh tidak acuh terhadap SOP hanya akan mendedahkan risiko jangkitan ke atas diri sendiri. Realitinya, majikan hanya boleh mengeluarkan garis panduan dan memberikan peringatan serta nasihat. Selebihnya berbalik kepada disiplin pekerja sendiri.
Oleh sebab wujudnya risiko penularan di tempat kerja ini, maka kerajaan telah memutuskan supaya kebanyakan pekerja menjalankan kerja dari rumah. Arahan ini dikeluarkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 terutamanya yang berpunca di tempat kerja. Namun, secara logiknya, arahan bekerja dari rumah ini tidak mungkin dapat diteruskan untuk satu tempoh yang lama.
Atas sebab itu, wujud keperluan untuk memastikan kita dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat. Perkara ini menuntut kefahaman berkenaan risiko COVID-19 dalam kalangan semua pihak terutamanya majikan dan pekerja. Seterusnya, pematuhan terhadap SOP juga perlu dipertingkatkan menerusi penerapan disiplin kendiri dan peraturan yang dibangunkan di tempat kerja kerana pematuhan ini mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.
Dalam hubungan ini, konsep “ihsan” boleh diterapkan dalam mewujudkan suasana tempat kerja yang selamat. Ihsan boleh difahami dari beberapa sudut. Pertama, ihsan dalam konteks perlakuan yang betul dan baik berasaskan kepada belas kasihan dan perikemanusiaan. Dalam mendepani ancaman COVID-19, seorang pekerja yang mempunyai ihsan akan memastikan agar tindak-tanduknya tidak membawa ancaman atau risiko kepada rakan pekerja atau pelanggan.
Ihsan juga boleh difahami dalam erti kata mempunyai kesedaran bahawa segala tingkah laku kita diperhatikan oleh Allah SWT. Rasa taqarrub (dekat kepada Allah SWT) membantu ke arah pematuhan kepada SOP kerana pastinya kita tidak mahu melakukan sesuatu yang membawa kepada kerosakan atau kebinasaan baik kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.
Satu hadith Rasulullah SAW menekankan perkara ini yang juga menjadi satu kaedah dalam fiqh. Sabda baginda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud, “Tidak boleh melakukan perkara yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” Pematuhan kepada SOP merupakan satu usaha ke arah menghindar kemudaratan, dan tindakan ini merupakan satu penzahiran ihsan sesama rakan sekerja mahupun dengan pelanggan yang berurusan dengan kita.
Allah SWT tidak suka akan kerosakan atau kemudaratan. Jika kita mempunyai ihsan yang membawa kepada rasa dekat kepada Allah SWT, pastinya kita akan menghindarkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang tidak disukai oleh Allah SWT.
Dalam suasana semasa dengan ancaman COVID-19 yang masih berleluasa, kita perlu sedar bahawa setiap daripada kita memikul tanggungjawab untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mewujudkan suasana selamat di mana sahaja kita berada termasuklah di tempat kerja. Penerapan konsep ihsan dalam tingkah laku kita merupakan satu ikhtiar untuk memastikan agar pematuhan kepada SOP dapat dipertingkatkan.