Tamadun Islam sejak awal dibina atas semangat ingin tahu dan kesungguhan Kaum Muslimin yang mematuhi perintah Allah SWT untuk memerhati alam dan diri sendiri. Tujuannya ialah memahami tanda-tanda Tuhan dan memperbaiki diri sebagai hamba-Nya.
Asas peradaban ini ialah maruah insan yang diperkukuh oleh prinsip akhlak, bukan semata-mata undang-undang atau etika. Shari‘ah berfungsi sebagai pelengkap, sementara landasan sebenar kehidupan Muslim ialah nilai moral berasaskan wahyu dan bimbingan rohani. Akhlak tidak ditentukan oleh manusia, tetapi oleh wahyu dan dipercontohkan oleh Rasulullah SAW yang digelar makarim al-akhlaq, iaitu akhlak yang termulia, dan uswatun hasanah, iaitu suri teladan yang terbaik. Oleh itu, pendidikan akhlak sentiasa menjadi kunci dalam membentuk peribadi Muslim yang seimbang dan adil.
Dalam pembingkaian inilah Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), memainkan peranan penting sebagai organ dalam badan pemikir negara. Koleksi Tamadun Islam dalam pemeliharaannya menghimpunkan karya tokoh etika dan moral Islam yang luas, meliputi bidang usuluddin, hadis, fiqh, tasawuf, falsafah, dan siyasah.
Antara yang menonjol dalam koleksi ini ialah dua terjemahan karya agung yang mencerminkan dua sisi penting etika Islam: hubungan antarabangsa dan pembentukan sahsiah peribadi. Karya tersebut ialah Kitab al-Siyar oleh Imam Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani dan Kitab al-Futuwwah oleh Shaykh Muhammad ibn al-Husayn al-Sulami.
Imam al-Shaybani, tokoh abad kelapan Masihi, merupakan murid utama Imam Abu Hanifah dan guru kepada Imam al-Shafi‘i. Beliau dikenang sebagai pelopor undang-undang antarabangsa Islam melalui Kitab al-Siyar, yang dalam terjemahan moden dikenali sebagai The Islamic Law of Nations. Karya ini menghuraikan hukum jihad, syarat perdamaian, serta layanan terhadap bukan Muslim di bawah pemerintahan Islam.
Menariknya, Kitab al-Siyar turut membincangkan isu-isu yang mendahului undang-undang antarabangsa moden seperti perlindungan tawanan perang, hak pelarian, layanan terhadap diplomat, larangan penggunaan senjata beracun, serta perlindungan wanita, kanak-kanak dan orang awam.
Prinsip-prinsip ini pernah diamalkan dalam rundingan diplomatik dengan Imperaturia Byzantine mengenai perjanjian damai dan pertukaran tawanan. Jelas bahawa Islam sejak awal menekankan bahawa kuasa politik dan ketenteraan mesti dipandu oleh prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Al-Sulami, seorang ulama sufi dari Nishapur pada abad ke-10 Masihi, menekankan pembinaan sahsiah peribadi melalui Kitab al-Futuwwah, yang dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai The Way of Sufi Chivalry.
Karya al-Sulami memperkenalkan konsep futuwwah atau kesatria rohani, yang menekankan sifat keberanian, keikhlasan, kemurahan hati, dan belas ihsan. Nilai ini digarap daripada teladan Ali bin Abi Talib RA yang masyhur dengan keberanian dan keluhuran akhlaknya. Karya ini sarat dengan ayat al-Quran, hadis, dan kisah teladan yang menegaskan kepentingan mendahulukan orang lain, menolak keburukan dengan kebaikan, serta menjaga maruah diri.
Kisah sahabat yang sanggup menangguhkan minum air ketika parah di medan perang demi mendahulukan rakannya menjadi lambang kesatria sejati. Bagi generasi muda, karya ini memberi pedoman untuk tidak terperangkap dalam budaya individualistik, sebaliknya membina sahsiah madani berteraskan kasih sayang, persaudaraan, dan tanggungjawab sosial.
Dua karya ini memperlihatkan hubungan rapat antara pembinaan diri dan pembentukan dasar awam. Kitab al-Futuwwah mengasuh “kenal diri” yang benar—iaitu meletakkan nafsu haiwani di bawah penguasaan akal budi dan nilai ihsan—lalu melahirkan individu yang memilih tujuan hidup yang luhur lagi tertinggi berbanding kepentingan diri. Individu seperti inilah yang menjadi warga bertanggungjawab: memelihara hak jiran, menghormati undang-undang, dan mengutamakan kebaikan bersama.
Pada skala yang lebih luas, Kitab al-Siyar menyediakan kerangka etika bagi kuasa—bagaimana keputusan politik, diplomasi, dan pertahanan dipandu oleh prinsip kemanusiaan. Di sinilah kelihatan kesinambungan: warga berakhlak menyokong dasar yang adil; dasar yang adil pula menyuburkan budaya berakhlak.
Perkaitan kedua-duanya dengan wacana Malaysia Madani hari ini amat jelas. Masyarakat berilmu menuntut integriti kepimpinan, hormat pada undang-undang, dan perlindungan golongan rentan—semuanya teras yang telah dihuraikan oleh al-Shaybani.
Dalam masa yang sama, menjayakan Malaysia Madani memerlukan warganegara yang berjiwa besar, sedia berkhidmat dan berkorban—nilai yang disemai oleh al-Sulami. Dari keluarga ke sekolah, dari masjid ke pejabat, futuwwah mendorong budaya tolong-menolong dan belas ihsan; manakala kerangka siyar memastikan urusan kuasa—daripada keselamatan hingga hubungan luar—tidak terlepas daripada neraca moral.
Kesimpulannya, pembinaan masyarakat dan negara madani bermula daripada insan yang mengenal dirinya, lalu membina akhlak berdasarkan agama sebagai cara hidup yang menyeluruh. Kitab al-Futuwwah membentuk jiwa kesatria rohani yang mengutamakan adab, kasih sayang, dan tanggungjawab bermasyarakat, manakala Kitab al-Siyar menetapkan prinsip keadilan dan kemanusiaan dalam urusan antarabangsa.
Kedua-duanya saling melengkapi: keutuhan diri menghasilkan masyarakat berakhlak, dan masyarakat berakhlak melahirkan negara yang adil. Inilah makna tamadun dalam Islam—peradaban yang tumbuh daripada agama, menyatukan individu dengan negara dalam pandangan alam Islam.