Menurut ajaran agama Islam, akhlak yang mulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Malah tujuan nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah s.w.t adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia adalah cerminan kebersihan hati yang diterjemahkan menerusi tingkah laku sipemiliknya. Jadi, jika seseorang itu beriman dan mengamalkan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t, maka akan terbitlah sifat-sifat mulia dalam bentuk budi pekertinya.
Sebaliknya jika seseorang itu memiliki jiwa yang kotor, maka tingkah lakunya banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu yang cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Dewasa ini kita berhadapan dengan segala macam karenah dan musibah yang berpunca daripada kelunturan penghayatan akhlak yang mulia di kalangan anggota masyarakat. Daripada masalah ‘buli’ di kalangan pelajar sekolah hinggalah kepada onar yang dibuat oleh mat rempit; dan daripada soal karenah birokrasi penjawat bawahan hinggalah kepada masalah akhlaqiah golongan atasan, semua ini adalah berpunca daripada kurang penghayatan serta pengamalan kepada akhlak Islamiah yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam satu hadis, Saidatina Aishah r.a pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah s.a.w. Jawapan yang diberikan oleh Umm al-Mukminin ini kepada soalan tadi amat ringkas sekali. Walaupun ringkas, namun ia mempunyai pengertian yang besar di mana beliau menyatakan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran.
Al-Quran adalah satu panduan hidup yang lengkap buat umat manusia. Jadi apabila Saidatina Aishah r.a. menjawab bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran, secara jelas menunjukkan bahawa unsur akhlak ini bukan satu unsur yang kecil yang boleh dipandang remeh oleh kita semua.
Dalam hal ini juga, kita tidak menafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi dalam pembangunan tamadun bangsa. Malah sejarah sendiri telah membuktikan bahawa bangsa yang mempunyai budaya ilmu yang baik mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh bangsa Yunani purba serta umat Islam suatu ketika dahulu telah mencapai kegemilangan masing-masing menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi.
Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak memungkinkan kegemilangan tadi dapat bertahan untuk suatu tempoh yang lama.
Masyarakat Yunani purba walaupun berilmu, namun mereka gagal dari segi penghayatan dan amalan ilmu. Secara dasarnya mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun dari segi amalan adalah sebaliknya.
Begitu juga dengan tamadun Islam. Jatuh bangun tamaddun Islam sepanjang sejarah lalu ada kaitan yang rapat dengan pengamalan ajaran agama. Asuhan dan didikan Rasulullah s.a.w yang menekankan unsur pengukuhan akidah, penghayatan budaya ilmu dan pembinaan sahsiah berjaya mengangkat masyarakat Arab jahiliah –yang kemudiannya menerima ajaran Islam-untuk membina satu empayar pemerintahan dan membangunkan satu peradaban yang jauh mengatasi tamadun bangsa lain yang sezaman dengannya suatu ketika dahulu.
Kelunturan terhadap pegangan agama dan nilai murni yang dianjurkan agama Islam yang terutama di kalangan para pemimpin kemudiannya menghumban maruah bangsa ke tahap yang paling rendah. Paling menyedihkan apabila masyarakat Islam sendiri menolak pandangan alam Islam dalam sistem pemerintahan. Hakikatnya inilah yang berlaku di Turki selepas kejatuhan empayar Othmaniah dahulu di mana pemimpin Turki mengisytiharkannya sebagai sebuah negara sekular yang tiada hubungkait dengan dunia Islam. Ini secara tidak langsung menafikan kepentingan unsur akidah dan peranan akhlak Islamiah dalam usaha membangunkan bangsa dan negara.
Hasilnya hari ini tiada sebuah pun negara Muslim yang disenaraikan sebagai negara maju walaupun mereka mempunyai sumber alam yang banyak. Sebaliknya negara-negara yang didiami oleh umat Islam lebih terkenal dengan ciri-ciri kemunduran, selalu berlaku pergolakan siasah, selalu berlaku kekacauan, kadar rasuah yang tinggi, tadbir urus yang lemah dan sebagainya.
Keadaan ini juga boleh kita lihat di kalangan umat Islam di Malaysia pada hari ini. Perangkaan tahun 2008 menunjukkan bahawa 48.7% atau 13.67 juta penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kaum Melayu yang secara amnya beragama Islam. Tetapi jumlah yang ramai bukan satu bukti yang menunjukkan masyarakat Islami di Malaysia terkehadapan di dalam pelbagai bidang kehidupan.
Memang tidak dinafikan terdapat ramai tokoh-tokoh Melayu yang beragama Islam yang menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa dan negara. Namun pada masa yang sama, orang Melayu juga dilihat begitu menonjol menerusi salah laku mereka yang sama sekali tidak selaras dengan ajaran agama Islam yang menganjurkan umatnya supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan harian.
Lihat saja kepada gejala mat rempit, penagihan dadah, buang anak dan jenayah akhlaqiah. Kebanyakan yang terbabit adalah terdiri daripada masyarakat Melayu yang kononnya beragama Islam. Ilmu semata-mata tidak menjanjikan kejayaan yang dihasratkan. Justeru jika kita ingin melihat masyarakat Melayu di negara membangun dalam ertikata yang sebenar, dan seterusnya dapat mempertahankan kemajuan yang dicapai tadi untuk satu tempoh yang lama, kita tidak seharusnya mengabaikan unsur pengamalan dan penghayatan akhlak di dalam setiap peringkat pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak.
Usaha ini tidak seharusnya terhad kepada peranan ibu bapa dan guru-guru, malah ia perlu melibatkan anggota masyarakat dan juga pihak pembuat dasar. Kerjasama semua pihak di dalam usaha pengukuhan akhlak modal insan ini dilihat amat perlu. Di sini kita melihat gabung jalin di antara sistem pendidikan oleh ibu bapa dan guru dengan sistem pemantauan oleh jiran dan ahli masyarakat; serta sistem penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa boleh membantu memperkukuhkan penghayatan nilai murni dan akhlak mulia di kalangan anggota masyarakat.