Pertemuan YAB Perdana Menteri dengan kakitangan awam baru-baru ini adalah satu saat yang ditunggu-tunggu. Ini kerana, kakitangan mahupun orang awam ingin mengetahui apakah bentuk pembaharuan perkhidmatan awam yang akan dicadangkan beliau.
Dalam pertemuan tersebut, YAB Perdana Menteri telah mencadangkan agar pegawai-pegawai sektor swasta (terutamanya dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC) diserapkan ke perkhidmatan awam dan sebaliknya, pegawai kerajaan juga akan berpeluang diserap ke sektor swasta. Cadangan yang diberikan ini pastinya untuk memperbaiki perkhidmatan awam termasuklah mengubah sikap penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Sebenarnya, masalah sikap adalah satu masalah yang telah lama berakar umbi di kalangan penjawat awam. Masalah sikap ini seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti lewat memberikan perkhidmatan, tidak mesra, tidak cekap, kurang pengetahuan dan sebagainya. Lebih buruk lagi apabila penjawat awam di negara ini juga sering dikaitkan dengan keengganan untuk berubah.
Oleh itu, sememangnya amat sukar untuk mengubah sikap tidak baik yang disebutkan di atas. Jikapun boleh sikap itu diubah, ini pasti mengambil masa yang sangat panjang. Ini kerana mengubah sikap adalah satu tugas yang sukar dan jika tiada kesungguhan maka perubahan yang diharapkan hanyalah tinggal angan-angan semata.
Sebenarnya, usaha pembaharuan perkhidmatan awam dan mengubah sikap penjawat awam bukanlah satu usaha baru. Pembaharuan yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan pembangunan negara. Sejak awal kemerdekaan, pembaharuan perkhidmatan awam dilakukan untuk memenuhi keperluan negara yang baru merdeka dan mengubah sistem pentadbiran kolonial kepada yang bersifat tempatan. Apabila negara semakin berkembang maju pula, pembaharuan demi pembaharuan terus dilaksanakan demi memenuhi permintaan-permintaan semasa dalam pembangunan negara.
Seiring dengan matlamat untuk mencapai taraf negara maju pula, pembaharuan perkhidmatan awam juga amat diperlukan kerana kemajuan itu menjadikan persekitaran semasa berkembang dan berubah dengan begitu cepat sekali. Jika perkhidmatan awam tidak bersedia dalam persekitaran begini maka kemajuan yang ingin kita capai mungkin tidak akan terlaksana.
Dalam hal ini juga, sikap penjawat awam juga perlu berubah dengan cepat. Namun, bagaimanakah perubahan sikap ini boleh dicapai? Pada pandangan penulis, perubahan ini hanya boleh dilakukan jika kita dapat memahami punca kepada masalah tersebut.
Terdapat pelbagai punca yang boleh disenaraikan di sini. Antaranya adalah kurang latihan, persekitaran kerja yang tidak memberangsangkan, tiada pengiktirafan, tidak bangga dengan tugas yang dilaksanakan dan sebagainya. Di antara punca yang disebutkan ini, penulis ingin menyentuh lebih lanjut kepada rasa bangga atau kepuasan terhadap kerja atau tugasan yang dilaksanakan.
Dalam laporan Asean Conference on Civil Service Matters pada tahun 1993, disebutkan bahawa “pegawai-pegawai [penjawat awam] perlu digalakkan bukan sahaja untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi [mereka juga hendaklah] mendapatkan kepuasan peribadi apabila melaksanakan tugas dengan jayanya”. Ini menunjukkan bahawa masalah tiadanya kepuasan dalam melaksanakan kerja sudah lama dibincangkan dan perbincangan ini bukan sahaja perbincangan peringkat tempatan tetapi telah menjangkau perbincangan peringkat lebih tinggi iaitu dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Perlulah kita ingat di sini bahawa apabila seseorang itu tidak mempunyai kepuasan dalam tugas mereka maka mereka akan menunjukkan rasa ketidakpuasan dalam kerja mereka. Mungkin kerana inilah sebahagian penjawat awam tidak suka bermanis muka atau bercakap kasar semasa melayan pelanggan. Jadi, persoalannya, kenapakah penjawat awam tidak mendapat kepuasan dari pekerjaan mereka? Adakah ini kerana mereka tidak bangga dengan kerjaya mereka?
Selalunya, apabila kita tidak merasa bangga dengan kerja yang dilakukan, maka kerja yang dihasilkan itu tidak akan mencapai mutu yang tinggi. Malah dalam banyak keadaan kita akan sentiasa mencari salah dan mencipta pelbagai alasan di atas kerja yang tidak bermutu itu.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Manusia yang paling dikasihi Allah SWT ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar…” (Riwayat Ibnu Abi Dunya).
Ini menunjukkan bahawa dalam pandangan hidup Islam sendiri, berbuat baik dan memberikan keselesaan kepada orang lain adalah sangat dituntut dan akan mendapat balasan yang baik. Oleh itu, seharusnya, perasaan tidak bangga di kalangan penjawat awam terhadap kerja yang mereka lakukan hendaklah dihapuskan. Ini kerana tugas yang mereka laksanakan iaitu memberi perkhidmatan kepada orang ramai adalah satu tugas yang mulia.
Sikap dan pemikiran penjawat awam terhadap kerja dan kerjaya perlulah berubah. Seharusnya, mereka bukan sahaja berusaha memuaskan hati orang lain iaitu orang awam tetapi lebih penting adalah mendapatkan kenikmatan sendiri dari tugas yang berjaya dilaksanakan dengan baik. Apabila perasaan ini berjaya dipupuk, rasa bangga terhadap tugasan akan terbina. Apa yang pasti, hanya penjawat awam yang bangga dengan tugasnya akan dapat melaksanakan kerja itu dalam apa jua keadaan atau persekitaran. Apatah lagi, perkhidmatan yang diberikan itu begitu mulia dan bukan calang-calang orang yang dapat melaksanakan tugas tersebut. Oleh itu, berbanggalah dengan kerja anda!